5 Perkara Yang Boleh Kita Buat Untuk Hadapi ‘Kecemasan Wang’ Akibat Wabak Covid-19

Pandemik yang sedang melanda seluruh dunia bukan sahaja telah menyebabkan krisis kesihatan tetapi juga krisis ekonomi akibat daripada pergerakan rakyat yang dikawal, operasi perniagaan dihadkan dan pintu sempadan yang ditutup.

Ramai yang kehilangan pekerjaan, gaji dipotong, dan diberikan notis berhenti kerja. Semua terkesan, dari peniaga yang menjual nasi lemak di tepi jalan sehingga ke syarikat penerbangan dan pelancongan.

Jabatan Perangkaan Malaysia melalui satu kaji selidik yang dijalankan terhadap 168,182 responden menyatakan hanya 6.2 peratus responden tidak terkesan dari segi kewangan akibat wabak covid 19. Jumlah kerugian negara pula dianggarkan sekitar RM2.4 bilion setiap hari.

Dalam menghadapi suasana yang mencabar ini, berikut diberikan sedikit panduan apa yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan beban kewangan.

1. Ambil Moratorium 6 Bulan

Peka dengan masalah aliran tunai, kerajaan dengan kerjasama bank telah membuat satu inisiatif memberikan moratorium 6 bulan kepada semua pembiayaan iaitu pembiayaan peribadi, pembiayaan perumahan, dan pembiayaan sewa beli kereta.

Ini bermakna komitmen bulanan kita telah berkurang dan membantu masalah aliran tunai. Bayangkan jika komitmen hutang kita sebanyak RM2,000 sebulan, kita telah dapat membuat penjimatan sebanyak RM12,000 dalam tempoh 6 bulan.

Manfaatkan moratorium yang diberi dengan berbelanja secara bijak.

2. Pertimbangkan Pembiayaan Semula Perumahan (Refinance)

Dengan penurunan kadar OPR yang diumumkan baru-baru ini oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kita boleh pertimbangkan membuat refinancing untuk memanfaatkan kadar keuntungan bank yang rendah dan mendapatkan lebihan tunai.

Tapi harus diingat, kos lain masih perlu dikeluarkan seperti kos peguam, duti setem, dan takaful. Buat kira-kira adakah berbaloi dan kalau boleh cari bank yang tawarkan zero moving cost atau kos yang paling minima.

Baca: Buat Refinance Rumah Dengan Overdraf (OD), Apa Fungsi OD?

3. Pengeluaran KWSP

Manfaatkan inisiatif kerajaan melalui Pengeluaran i-Lestari iaitu pengeluaran maksimum sehingga RM 500 sebulan yang berkuatkuasa bagi tempoh 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021.

Baca: 8 Soalan Berkenaan Pengeluaran i-Lestari KWSP

Jika masih hadapi masalah kewangan, boleh pertimbangkan pengeluaran ansuran bulanan pembiayaan perumahan (selepas tempoh moratorium tamat tempoh).

KWSP memang bertujuan untuk simpanan pada hari persaraan tetapi jika kita menghadapi masalah kewangan pada saat getir ini, apa salahnya kita memanfaatkan segala sumber yang ada.

4. Penstrukturan Dan Penjadualan Pembiayaan

Jika masalah kewangan yang kita hadapi terus berlarutan, berhubunglah dengan pihak bank untuk membuat penstrukturan atau penjadualan semula.

Jangan mengelakkan diri jika pihak bank telefon. Jika kita lari masalah tidak akan selesai dan mungkin akan dikenakan pelbagai caj lain.

Boleh layari laman web bank yang berkenaan bagi maklumat lanjut.

5. Dapatkan Khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Jika telah berbincang dengan pihak bank berkenaan penstrukturan atau penjadualan semula tetapi masih menemui jalan buntu, boleh dapatkan khidmat nasihat AKPK. Kebiasaannya pihak bank sendiri juga akan mengesyorkan pelanggan untuk mendapatkan khidmat nasihat AKPK.

AKPK akan membantu kita membuat penjadualan semula pembayaran bulanan mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan. Boleh layari laman web AKPK bagi maklumat lanjut.

Semoga dengan panduan di atas dapat memberi manfaat kepada kita dalam menghadapi situasi yang getir ini. Dalam tempoh ini, beri keutamaan kepada keperluan berbanding kehendak.

Pastikan setiap langkah yang diambil dapat memberikan peluang kepada kita memperbaiki situasi kewangan masing-masing.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Belajar Lebih Mendalam Ilmu Pengurusan Dan Perancangan Kewangan

This image has an empty alt attribute; its file name is f43e1f03-7456-4bfb-8308-2551068a4c35-700x700.jpg

Baru-baru ini Tuan Afyan Mat Rawi telah melancakan E-Learning Seminar Bijak Merancang Wang yang merangkumi modul mengurus kewangan bermula dengan pembentukan mindset kewangan yang betul dan kemudian diikuti dengan profil kewangan dari mula mendapat gaji, mengumpul harta, menguruskan hutang, membuat simpanan, melanggan takaful, merancang persaraan, membayar zakat sehinggalah kepada pengurusan wasiat dan pusaka.

Ia dibangunkan sejak lebih 10 tahun dan dipersembahkan kepada ribuan peserta melalui siri-siri ceramah, program, bengkel dan Seminar Bijak Merancang Wang di seluruh negara.

Sambil duduk di rumah, kita layan 17 video untuk perbaiki kewangan diri. Siap dapat bonus eBook Bijak Merancang Wang lagi.

Dapatkan E-learning Seminar Bijak Merancang Wang di sini: https://www.majalahlabur.com/ESeminarBMW

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pemohon Pembiayaan Peribadi Lebih RM100,000 Wajib Hadiri Modul Pendidikan Kewangan – BNM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) — Pengguna yang memohon pinjaman peribadi melebihi RM100,000 perlu menghadiri dan melengkapkan modul pendidikan kewangan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Dalam dokumen dasar pembiayaan peribadi yang dikeluarkan di sini hari ini, bank pusat berkata syarat-syarat ini merupakan antara keperluan baharu yang ditetapkan oleh BNM.

Dokumen dasar itu bertujuan memperkenalkan amalan pembiayaan yang berhemah dan bertanggungjawab berhubung dengan penyediaan pembiayaan peribadi oleh penyedia perkhidmatan kewangan, di samping menggalakkan gelagat peminjaman yang bertanggungjawab dalam kalangan pengguna kewangan.

Ia juga untuk memastikan pelaporan yang jelas daripada penyedia perkhidmatan kewangan berhubung jangkaan sedia ada BNM mengenai penggunaan tempoh maksimum 10 tahun untuk pembiayaan yang ditawarkan di bawah produk pembiayaan rumah atau dijamin oleh harta tanpa halangan bagi kegunaan peribadi.

Ia juga melarang tawaran pembiayaan peribadi di mana caj faedah/keuntungan dikira menggunakan kaedah kadar rata dan/atau Peraturan 78 yang merujuk kepada kaedah pengiraan faedah/keuntungan.

Di samping itu, ia juga mengukuhkan jangkaan untuk penyedia perkhidmatan kewangan mendedahkan kadar faedah/keuntungan yang berkesan kepada pengguna kewangan.

Dengan persaingan yang sengit dalam pasaran kredit runcit, perubahan telah diperhatikan dalam amalan pemberian pinjaman oleh penyedia kredit dalam segmen pembiayaan peribadi, menurut gambaran keseluruhan dokumen dasar. Keadaan ini menyumbang kepada pinjaman yang tidak mampu ditanggung oleh isi rumah.

Apa yang menjadi kebimbangan utama adalah kemunculan produk pembiayaan baharu yang nampak seperti pinjaman mampu milik tetapi sebenarnya menggalakkan pengumpulan hutang yang tidak berhemah. Pengguna kewangan tidak mampu menanggungnya tanpa risiko kesulitan yang ketara sepanjang tempoh pembiayaan disebabkan kekurangan simpanan kewangan yang mencukupi.

Menurut dokumen itu, penyedia perkhidmatan kewangan dikehendaki menjalankan penilaian kesesuaian dan kemampuan membayar bagi setiap kemudahan pembiayaan baharu dan tambahan yang ditawarkan kepada pengguna kewangan, tetapi keperluan yang lebih khusus diperlukan untuk mencegah perkembangan tidak sihat dalam segmen pembiayaan peribadi.

Dokumen dasar ini terpakai kepada semua bank berlesen, bank Islam berlesen dan institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan, berkuat kuasa mulai hari ini.
— BERNAMA