BNM Ambil Pendekatan Berhemat Tangani Risiko Keberhutangan Isi Rumah Tinggi

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) — Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan berhemat dan berhati-hati dalam menangani risiko keberhutangan isi rumah bagi memastikan perkara itu tidak menimbulkan kesan negatif kepada kestabilan sistem kewangan negara.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata kerajaan sedar mengenai risiko keberhutangan isi rumah yang tinggi, justeru pendekatan yang lebih mampan akan dilaksanakan.

“Oleh yang demikian, kerajaan sedang melaksanakan reformasi dan perubahan struktur terhadap ekonomi domestik berteraskan Kerangka Ekonomi MADANI supaya daya saing dan prestasi ekonomi negara dapat dipertingkatkan.

“Melalui usaha ini, pendapatan serta kesejahteraan rakyat akan dapat dipertingkatkan seterusnya membantu untuk mengurangkan peratusan hutang isi rumah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai dasar dan usaha kerajaan untuk mengurangkan peratusan hutang isi rumah.

Lim berkata antara usaha berterusan kerajaan termasuk melaksanakan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab sejak 2012 untuk memastikan individu meminjam mengikut kemampuan membayar balik pinjaman dalam tempoh yang ditetapkan untuk mengelakkan bebanan hutang berlebihan.

“Kedua, meningkatkan tahap celik kewangan rakyat menerusi Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) agar pengguna perkhidmatan kewangan mempunyai keupayaan dan keyakinan untuk membuat keputusan kewangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata usaha lain ialah menggalakkan isi rumah yang ingin membuat keputusan kewangan yang besar seperti pembelian rumah untuk mengikuti program pendidikan kewangan secara talian yang disediakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Beliau berkata pada akhir 2023, jumlah hutang isi rumah secara agregatnya berjumlah RM1.53 trilion.

Sebahagian besar hutang isi rumah digunakan bagi tujuan pengumpulan harta yang merangkumi pinjaman perumahan (60.5 peratus), pembelian harta bukan kediaman (5.3 peratus), dan pembelian sekuriti (4.3 peratus), katanya.

Beliau berkata manakala baki 29.9 peratus pula bagi tujuan perbelanjaan seperti pinjaman untuk pembelian kenderaan (13.2 peratus), pembiayaan peribadi (12.6 peratus) dan kad kredit (3.0 peratus).

Lim turut berkata isi rumah yang mempunyai masalah pengurusan kewangan dan hutang digalakkan untuk mendapatkan nasihat dan perkhidmatan penyusunan semula hutang daripada pihak bank dan AKPK.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk membenarkan isi rumah mengeluarkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengurangkan beban keberhutangan isi rumah.

“Pada masa sekarang, sesiapa yang menghadapi masalah memulangkan hutang isi rumah ini, kami galakkan mereka tampil kepada kita, terutama melalui AKPK untuk menyelesaikan atau menstrukturkan semula  kewangan supaya mereka boleh mengatasi keadaan kewangan.

“Kerajaan akan cuba membantu sebab setiap individu itu, keadaannya berlainan. Jadi, kita berharap mereka akan tampil ke hadapan dan kita akan memberikan nasihat yang sewajarnya,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.