Rakyat Malaysia Kaya Luar Biasa…

Apa nak buat bila nampak ada orang kaya yang melampau-lampau? Tak kiralah mereka selebriti, tokoh terkemuka atau sesiapa sahaja.

Janganlah kita sakit hati atau dengki. Janganlah kita mengecam mereka. Zaman sekarang bukan senang nak mencari duit sehingga boleh menjadi kaya raya.

Mereka yang super rich ini biasanya tidak menayang harta benda mereka. BBNU saja yang akan tayang lebih-lebih.

Tapi, sekiranya anda mempunyai maklumat kekayaan luar biasa mereka sebenarnya ada unsur-unsur pelarian cukai, jadilah rakyat yang bertanggungjawab dan sila hubungi pihak LHDNM.

Tidak kiralah jika anda pekerja di audit firm yang bos anda bersekongkol ‘mengadjust’ income mereka.

Tidak kiralah jika anda seorang akauntan yang dipaksa oleh majikan untuk menghasilkan kerugian perniagaan yang sengaja direka.

Tidak kiralah jika anda seorang rakan kongsi bisnes yang tahu partner anda sendiri tak laporkan pendapatan yang berjuta-juta setahun tu kepada LHDNM.

Tidak kiralah jika anda seorang penjawat awam yang tahu bos anda sendiri selalu terima rasuah berkepuk-kepuk daripada kartel tender.

Tidak kiralah jika anda seorang ahli kongsi gelap yang tahu bos anda ada menyembunyikan duit, kripto, atau aset lain dekat akaun bank luar negara.

Takkan nak duduk diam dan bersetuju dengan apa yang mereka buat?

Sebagai mewakili rakyat Malaysia yang telah membayar cukai tanpa gagal sejak tahun pertama bekerja lagi, kami menyeru agar kita bersama-sama melaporkan kemungkaran ini.

Maklumat yang diberikan tersebut berkemungkinan dapat membantu memberi keadilan kepada pembayar cukai yang lain. Adalah lebih baik jika disertakan bersama dokumen-dokumen sokongan, invois atau penyata bank yang boleh membuktikan wujud unsur pelarian cukai.

Bagaimana Membuat Laporan?

Ini maklumat yang kami jumpa di laman web LHDNM.

i. Menulis surat

Bahagian Sumber Pelarian Cukai,
Jabatan Perisikan Dan Profiling Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Aras 3, Menara 2, No. 3, Jalan 9/10, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

ii. E-mel : [email protected]

iii. Telefon : 03-8913 3990 (talian terus) atau 03-8913 3800 (samb: 120579, 120129 atau 120578) atau 016-945 9589.

iv. Hadir sendiri ke pejabat LHDN di alamat seperti yang tertera di atas. ATAU mana-mana Pejabat Pengarah Negeri ATAU pejabat Cawangan Siasatan (CSi), LHDNM.

Butiran maklumat pelarian cukai diperlukan:

i. Nama, no. kad pengenalan, alamat penuh
ii. Bagaimana pelarian cukai pendapatan dilakukan
iii. Dokumen rujukan (jika ada)
iv. Maklumat lain yang penting atau berkaitan

Jaminan Kerahsiaan

Sila ambil perhatian bahawa sumber maklumat yang membawa kepada kajian kes akan dirahsiakan mengikut keperluan peruntukan kerahsiaan di bawah Seksyen 138, Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sukarela

Laporkanlah pendapatan yang betul dengan sukarela. Apakah maksud sukarela? Mungkin semasa di sekolah dulu kita pernah belajar tentang Ehsan. Buat baik tanpa dipaksa oleh individu lain kerana merasa wujudnya Tuhan yang Maha Melihat.

Semakin ramai pembayar cukai yang memiliki sifat ini, semakin tinggilah pematuhan cukai dan akhirnya akan meningkatkan lagi dana bagi pembangunan negara.

Baca juga 4 Sebab Anda Perlu Lapor Pendapatan Setiap Tahun

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.