3 Cara Nak Elak Perbalahan Keluarga Dalam Pentadbiran Harta Pusaka

Apabila bercakap soal pengurusan harta pusaka, kita sering mendengar banyak berlaku perbalahan dalam keluarga yang berebutkan harta pusaka arwah. Kadangkala, cerita-cerita perbalahan yang kita dengar itu, tak terjangkau dek fikiran dan nurani manusiawi kita.

Tak sangka adik-beradik boleh sampai menghalau keluar dari rumah dan tanah pusaka arwah ayah. Tak terfikir keluarga mertua sampai hati menafikan hak faraid balu kepada anak lelaki mereka.

Semua ini benar-benar berlaku dalam masyarakat kita.

Akhirnya, hubungan antara ahli keluarga berantakan dan porak peranda dan lebih malang, bila ahli keluarga terlalu sibuk berebut harta, sehingga urusan hutang arwah tidak dilangsaikan.

Malanglah arwah tersebut, tergantung rohnya kerana tidak selesai urusannya di dunia.

Walaubagaimanapun, tidaklah semua kes pengurusan pusaka berakhir dengan perbalahan antara keluarga.

Banyak juga kes-kes pentadbiran harta pusaka yang dapat diselesaikan secara baik. Terutamanya apabila si mati telah membuat perancangan yang rapi terhadap pengagihan harta pusakanya.

Sebagai contoh rumah akan ditinggalkan kepada isteri dan anak-anak, sebahagian kecil daripada wang KWSP nak diberikan kepada ibubapa dan juga perancangan sedekah dan waqaf untuk masjid dan maahad tahfiz.

Harta pusaka yang telah lengkap perancangan sebegini, jauh lebih mudah untuk diuruskan. Sebab itu penting bagi setiap orang merancangan harta dengan baik.

Dalam pada masa yang sama, terdapat 3 cara untuk waris menguruskan harta pusaka si mati agar tidak berlaku perbalahan sesama mereka.

Kunci utama bagi mengelakkan perbalahan dalam mengagihkan harta pusaka adalah; melepaskan hak faraid.

Maksud melepaskan hak faraid adalah seorang waris itu melepaskan haknya terhadap harta pusaka si mati dengan hasrat untuk memberikan bahagian hartanya kepada waris lain.

Sebagai contoh, seorang ibu mempunyai hak faraid sebanyak 1/6 daripada harta pusaka anaknya. Tetapi ibu tersebut melepaskan hak itu dan tidak menuntut bahagian faraidnya.

Jom kita tengok 3 cara melepaskan hak faraid bagi mengelakkan perbalahan keualrga.

1. Melepaskan Hak Tanpa Mengharap Apa-Apa Balasan

Sebagai contoh, seorang ibu melepaskan semua hak faraid terhadap anak lelakinya kerana kesian kepada menantu dan cucu-cucunya. Jadi si ibu memberikan semua bahagian harta pusaka yang sepatutnya dia peroleh kepada mereka.

Ini adalah antara pilihan yang mulia. Atas dasar sifat kasih sayang dan prihatin seorang ibu mertua yang tidak mahu melihat menantu dan cucunya hidup susah selepas pemergian ketua keluarga.

2. Melepaskan Hak Faraid, Diganti Dengan Sedikit Saguhati

Ada juga kes yang mana ketika dalam perundingan bersama semua waris, kami sebagai orang tengah, mencadangkan agar seseorang waris itu melepaskan hak faraidnya dengan balasan, waris yang menerima bahagian faraid tersebut memberikan sedikit wang saguhati.

Sebagai contoh, seorang bapa melepaskan hak faraidnya terhadap rumah anaknya (diberikan kepada menantu dan cucu). Dalam masa yang sama menantu sebagai tanda terima kasih kepada bapa mertuanya, memberikan sedikit wang saguhati yang dipersetujui bersama.

3. Melepaskan Hak Faraid Dengan Imbalan Wang Yang Sama Nilai Dengan Bahagian Yang Dilepaskan

Secara teorinya yang ketiga ini tidaklah benar-benar dinamakan sebagai melepaskan hak. Lebih tepat ditakrifkan sebagai tebus hak.

Cara ini biasa digunakan apabila melibatkan harta tak alih. Ia boleh dilakukan dengan syarat waris yang sanggup membayar itu mampu.

Sebagai contoh, rumah pusaka diserahkan kepada isteri dan anak-anak, bapa yang juga waris faraid akan diberikan sejumlah wang tunai yang sama nilai dengan bahagian faraid.

Bahagian faraid bagi bapa adalah 1/6. Andaikan nilai rumah tersebut RM250,000, maka jumlah wang tunai yang perlu dibayar kepada bapa adalah RM41,000. Satu jumlah yang besar jika si mati tidak meninggalkan wang tunai.

Kesimpulannya, pentadbiran harta pusaka sebenarnya boleh dijalankan tanpa berlakunya perbalahan keluarga jika semua waris faham dan tahu cara menguruskannya.

Ini kerana perbalahan selalu terjadi kerana masing-masing merasakan waris lain ingin mengambil hak mereka.

Oleh itu, jalan yang lebih mudah adalah dengan merujuk kepada perunding-perunding harta pusaka kerana mereka lebih berpengalaman dalam menguruskan kes-kes urus pusaka.

Baca juga Layakkah Adik Beradik Tiri Mendapat Harta Pusaka Saya Sekiranya Saya Meninggal Dunia?

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.