Pembahagian Faraid Bagi Harta Pusaka Pasangan Suami Isteri Yang Mati Serentak

Suami adalah salah seorang waris kepada harta pusaka isterinya apabila si isteri meninggal dunia. Begitu juga sebaliknya jika si suami meninggal dunia, isteri juga adalah seorang daripada waris yang berhak mendapat bahagian faraid daripada harta pusaka suami.

Dari sudut berapa bahagian faraid suami dan isteri, kiraannya berbeza-beza mengikut keadaan. Sama ada pasangan tersebut tiada anak langsung, hanya ada anak perempuan sahaja, ada anak lelaki dan perempuan, masih ada ibubapa atau tidak; semuanya akan memberi kesan kepada pembahagian faraid suami isteri.

Pembahagian pusaka suami atau isteri yang mati jelas. Masalahnya bagaimana kalau kedua-dua suami dan isteri meninggal dunia serentak. Macam mana nak kira bahagian faraid harta pusaka mereka?

Insiden kematian serentak ini berkemungkinan berlaku dalam kes kemalangan jalan raya, kebakaran, runtuhan bangunan, bencana alam, lemas dan pembunuhan di mana dalam kejadian tersebut tidak dapat ditentukan siapa antara mereka meninggal dunia terlebih dahulu dan siapa yang meninggal dunia kemudian.

Dalam keadaan kematian yang biasa, pegawai perubatan yang mengesahkan kematian akan mengisytiharkan dan merekodkan tarikh dan masa kematian. Walaubagaimanapun, dalam insiden kematian yang berlaku serentak, sebagai contoh disebabkan kemalangan jalan raya, pegawai perubatan sukar menentukan masa yang tepat bila sebenarnya si mati meninggal dunia.

Pendapat Jumhur (Majoriti) Ulama

Bagi kes ahli keluarga yang meninggal secara serentak yang tidak dapat ditentukan siapa meninggal terlebih dahulu seperti kejadian kapal karam, kebakaran, tertimbus dalam runtuhan, kemalangan jalan raya jumhur ulama kecuali daripada Mazhab Hanbali berpendapat bahawa mereka itu tidak saling mewarisi harta antara satu sama lain kerana syarat pewarisan ialah waris (al-waris) hendaklah masih hidup sewaktu kematian orang yang mewariskan hartanya (al-muwarris) sedangkan dalam kes kematian serentak syarat tersebut tidak dipenuhi.

Dalam kejadian yang tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu di kalangan ahli keluarga, maka mereka tidak saling mewarisi harta antara satu sama lain.

Sebagai contoh, satu pasangan suami isteri meninggal dunia akibat kemalangan di sebuah lebuh raya. Apabila ambulans dan pihak keselamatan sampai di tempat kejadian, kedua-duanya telah meninggal dunia, jadi mereka tidak dapat memastikan siapa yang mati dulu dalam kemalangan tersebut. Oleh itu, pembahagian harta pusaka suami dan isteri adalah dengan mengambil kira mereka itu sudah tidak mempunyai suami atau isteri.

Jika pada keadaan biasa, jika isteri meninggal dunia, bahagian faraid suami adalah ½ (pasangan yang tiada zuriat) daripada keseluruhan nilai harta pusaka isteri. Tetapi apabila berlaku insiden mati serentak, suami terus tidak dikira sebagai salah seorang waris pusaka isteri.

Hal ini sepertimana yang pernah diriwayatkan oleh Kharijah bin Zaid bin Thabit daripada bapanya dan dia telah berkata:

“Aku telah diarahkan oleh Abu Bakar al-Siddiq r.a. untuk membahagikan harta pusaka kepada penduduk Yamamah, orang yang hidup mewarisi harta daripada orang yang mati. Manakala orang mati tidak mewarisi harta sesama mereka. Dan aku juga telah diperintahkan oleh Umar r.a. untuk membuat pembahagian pusaka kepada waris si mati yang meninggal akibat wabak taun yang melanda Amwas (sebuah kampung di Palestin). Terdapat kabilah tertentu yang seluruh anggota keluarganya meninggal dunia. Oleh itu, orang yang mati mewariskan harta mereka kepada warisnya yang hidup dan orang yang mati secara bersama-sama itu tidak saling mewarisi harta antara mereka.”

Keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-83 yang bersidang pada 22–24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan telah memutuskan hukum pewarisan bagi kes kematian serentak seperti berikut:

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah memutuskan bahawa mana-mana ahli keluarga yang meninggal dunia secara serentak dalam kejadian yang sama atau sebaliknya dan tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu bagi menentukan hak pewarisan, maka mereka tidak akan saling mewarisi antara satu sama lain kerana berdasarkan syarat-syarat pewarisan, waris (al-warith) hendaklah masih hidup semasa kematian orang yang mewariskan (al-muwarrith). Oleh itu, harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambil kira bahagian ahli keluarga yang mati bersamanya. Bagi merekodkan waktu kematian, perakuan pakar perubatan hendaklah diterima pakai dan dicatatkan dalam Sijil Kematian.”

Kematian serentak suami dan isteri adalah antara perkara yang paling merisaukan kebanyakan pasangan. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka meninggal dunia dalam keadaan meninggalkan anak-anak yang masih di bawah umur (18 tahun).

Banyak persoalan yang sukar dijawab seperti, “Siapa yang akan menjaga kebajikan anak-anak?”,
“Duit pusaka untuk anak-anak nanti, siapa yang akan uruskan?”, “Adakah penjaga harta boleh dipercayai dan akan amanah?” dan bermacam-macam lagi soalan.

Oleh itu sebagai ibubapa, pastikan kita sudah bersedia untuk menghadapi situasi-situasi yang tiada siapa boleh jangka.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Isteri Boleh Tuntut Sebagai Harta Sepencarian

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.