KitaJagaKita: Qardh al-Hasan

Kita semua pastinya secara peribadi atau mengenali mereka yang kehidupannya terjejas akibat pelaksanaan PKP terutamanya dalam hal sumber pendapatan.

Dalam satu laporan kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) terhadap impak PKP ke atas golongan miskin bandar, didapati bahawa terdapat tiga ancaman besar iaitu ancaman kehilangan atau terjejas pendapatan, akses makanan terganggu dan akhir sekali keadaan atau kondisi tempat tinggal yang membahayakan.

Baca di sini: http://www.krinstitute.org

1. Pendapatan

Daripada sudut pendapatan, PKP sangat menjejaskan mereka yang kerjanya tidak mampu dilakukan daripada rumah seperti pemandu lori, pengawal keselamatan, penjaga kaunter, dan kontraktor. Majoriti pekerjaan mereka dikategorikan sebagai pekerjaan dengan skil rendah.

Selain daripada itu, 20% pula bekerja sendiri dan membuat bisnes kecil-kecilan, PKP menjejaskan terus sumber pendapatan mereka.

Lebih membimbangkan mereka tidak mempunyai sekuriti sosial seperti simpanan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Justeru, mereka tidak mempunyai simpanan akaun 2 untuk dikeluarkan. Mereka juga tidak mempunyai caruman SOCSO, lantas menafikan hak mereka mendapatkan bantuan RM600 akibat tiada pendapatan.

2. Makanan

Daripada sudut akses makanan pula, mereka kehilangan akses makanan itu apabila pasar tani, pasar malam ditutup sepanjang tempoh PKP. Rata-rata, mereka bukanlah golongan yang mampu memborong banyak dek kerana pendapatan harian yang diterima dan perlu kerap keluar mendapatkan keperluan rumah paling kurang sekali seminggu.

PKP dijangka menambah beban mereka akibat kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung dan kos barangan yang lebih tinggi di pasaraya.

3. Tempat Tinggal

Ancaman ketiga dan terakhir adalah kondisi tempat tinggal yang tidak sejahtera. Bayangkan tipikal satu blok PPR mempunyai 17 tingkat dan 316 unit rumah. 1455 orang dalam satu bangunan berkongsi lif sekiranya ia berfungsi. Suasana padat seperti itu tentunya menambah risiko jangkitan penyakit terutamanya dalam keadaan pandemik seperti ini.

Keadaan sesak dalam rumah ini bakal mengganggu waktu tidur, menghilangkan tumpuan dan fokus anak-anak untuk belajar, dan seterusnya menjekaskan hubungan kekeluargaan baik antara ibubapa dan anak, malah antara adik beradik.

 Justeru, selaku rakyat biasa apa yang boleh kita lakukan?

Satu mekanisme kewangan yang terdapat dalam Shariah adalah pemberian Qardh al-Hasan. Qardh Al-Hasan adalah gabungan dua perkataan iaitu, Qardh yang bermaksud pinjaman atau hutang, dan al-Hasan bermaksud baik.

Mengapa baik? Ini kerana pinjaman itu diberikan bagi membantu kenalan kita menyelesaikan masalahnya tanpa mengharapkan sebarang pulangan serta manfaat ke atas hutang tersebut. Bahasa mudahnya pinjam RM1,000 bayar RM1,000.

Dalam Al-Quran beberapa disebut tentang Qardh al-Hasan ini antaranya dalam Surah Al-Baqarah ayat 245 yang bermaksud:

”Siapakah yang mahu meminjamkan pinjaman kepada Allah, iaitu Qardh al-Hasan (pinjaman yang baik), maka Allah melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan pergandaan yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepadanyalah kamu dikembalikan.”

Juga disebut dalam hadis riwayat Ibn Majah bahawasanya:

Anas bin Malik berkata bahawa Rasulullah bersabda:

”Aku melihat pada waktu malam di-Isra’kan, pada pintu syurga tertulis: sedekah dibalas sepuluh kali ganda dan Qardh lapan belas kali. Aku bertanya, Wahai Jibril, mengapa Qardh lebih utama daripada sedekah? Ia menjawab, kerana peminta sedekah, meminta padahal ia mempunyai sesuatu, sedangkan yang meminjam tidak akan meminjam kecuali kerana keperluan.”

Juga para ulama dalam membicarakan hokum Qardh al-Hasan mengatakan bahawa sekiranya kita bersedekah kita hanya memberi manfaat kepada seorang manakala andai kita memberi Qardh al-Hasan, apabila kita memberikan sejumlah pinjaman kepada seseorang, apabila dia membayarnya semula jumlah itu kemudian dapat diberikan kepada orang lain pula untuk dimanfaatkan.

Begitulah ganjaran yang disebut dalam Islam kepada mereka yang memberikan pinjaman yang baik. Bagi yang meminjam pula, ingatlah anda ada kewajipan untuk membayar semula hutang.

Antara institusi kewangan yang telah memperkenalkan konsep Qardh al-Hassan adalah Bank Islam, rujuk Pembiayaan Mikro BangKIT Bank Islam untuk Pelajar dan Usahawan Muda. Terdapat juga pihak Koperasi yang mula memperkenalkan konsep yang sama (pinjaman tanpa riba) adalah Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM), rujuk Dana Noriba: Pinjaman Tanpa Riba Dan Faedah.

Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus kepada pengurusan kewangan, pembasmian kemiskinan, dan pembinaan masyarakat madani.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ke Mana Perginya Duit Caruman PERKESO Kita Dilaburkan?

Bila sebut tentang PERKESO (SOCSO), perkara pertama yang terlintas di fikiran kebanyakan pekerja di Malaysia mestilah slip gaji bulanan yang kena potong, tuntutan elaun kemalangan, atau paling tidak pun isu skim wajib baru yang tengah hangat diperkatakan sekarang.

Gambaran Kasar Aliran Wang PERKESO (2024):

Untuk memudahkan kefahaman struktur kewangan mereka:

  • Duit Masuk (Kutipan caruman): ~RM7.58 Bilion
  • Duit Masuk (Untung pelaburan kasar): ~RM2.10 Bilion
  • Duit Keluar (Bayar pampasan/faedah pencarum): ~RM6.20 Bilion

Ini menunjukkan daripada RM7.58 Bilion yang dikutip, hampir RM6.20 bilion dipulangkan semula kepada pekerja/pencarum dalam bentuk bayaran pampasan dan faedah, manakah bakinya menjadi lebihan bersih dana institusi tersebut.

Tetapi, pernah tak anda terfikir: Ke mana perginya berbilion ringgit wang caruman yang dikumpul setiap bulan? Adakah ia sekadar disimpan di dalam bank atau sebenarnya “bekerja keras” menghasilkan untung?

Sebagai portal yang celik kewangan, hari ini kami nak bedah Laporan Tahunan PERKESO 2024 untuk melihat di mana institusi keselamatan sosial ini melaburkan dana mereka, dan berapa pula keuntungan kasar yang mereka berjaya jana!

1. Poket PERKESO Tengah Makin Lebat

Sebelum kita sembang bab kaunter saham mana mereka borong, mari kita tengok prestasi kewangan makro mereka terlebih dahulu.

Menurut laporan rasmi, jumlah Aset di bawah Pengurusan (AUM) PERKESO telah meningkat sebanyak 7.01% kepada sekitar RM36.87 Bilion!

Dari segi hasil atas pelaburan, strategi proaktif pasukan pelaburan mereka nampaknya membuahkan hasil:

  • Pendapatan Pelaburan Kasar (2024): Mencecah ~RM2.17 Bilion.
  • Pertumbuhan: Naik sebanyak 18.27% berbanding RM1,835.30 juta pada tahun 2023.
  • Kadar Pulangan (ROI) Kasar: Melonjak naik kepada 6.64% (berbanding 5.89% pada tahun sebelum).

Untung lebih RM2 bilion setahun ini bukanlah satu angka yang kecil. Jadi, di mana lubuk pelaburan mereka?

2. Di Mana PERKESO Melabur? (Pecahan Portofolio)

Sama seperti KWSP atau PNB, PERKESO menggunakan rangka kerja Alokasi Aset Strategik (SAA) bagi memastikan dana pelaburan mereka mampan, kalis inflasi dan yang paling penting mampu menampung tuntutan bayaran faedah pekerja bagi jangka masa panjang.

Berikut adalah instrumen utama pelaburan mereka:

  • 62.81% Pendapatan Tetap (Fixed Income)
  • 27.52% Ekuiti
  • 6.77% Pasaran Wang
  • 2.90% Pelaburan Alternatif

A. Pasaran Saham (Ekuiti)

Jika anda rasa pelaburan saham ini berisiko, bagi dana gergasi seperti PERKESO, pasaran ekuiti tersiar di Bursa Malaysia merupakan antara lubuk buat duit terbesar mereka untuk tahun 2024. Peningkatan pendapatan pelaburan kasar mereka disumbangkan secara signifikan oleh keuntungan penjualan saham apabila pasaran saham berada dalam momentum yang baik.

Buat masa ini, kita hanya melihat cebisan portfolio melalui pengumuman Bursa Malaysia dan laporan media, bukannya gambaran penuh seperti yang didedahkan oleh KWSP. Tetapi nampaknya tiada langsung perincian senarai pegangan saham seperti yang dibuat oleh KWSP.

KWSP setiap tahun akan dedahkan:

  • Top 30 pegangan Bursa Malaysia
  • Nilai pegangan
  • Peratus pegangan
  • Kadang-kadang siap cerita prestasi mengikut aset dan pasaran luar negara.

Jadi orang ramai boleh tahu:

  • KWSP pegang saham Maybank berapa banyak
  • CIMB
  • Public Bank
  • Tenaga
  • YTL Power
  • Sunway dan sebagainya.

Menariknya, orang ramai sebenarnya tidak mengetahui pegangan saham PERKESO secara menyeluruh. Sebaliknya, sesuatu pelaburan hanya mendapat perhatian apabila ia menjadi berita atau melibatkan pengumuman kepada Bursa Malaysia.

Antara contoh yang pernah berlaku ialah:

Cypark Resources

Cypark Resources merupakan antara pegangan saham yang diketahui dimiliki oleh PERKESO. Pada tahun 2023, PERKESO menjadi pemegang saham utama selepas pegangan melepasi ambang pelaporan Bursa Malaysia. Ketika itu, Ketua Eksekutif PERKESO menjelaskan bahawa pelaburan dalam Cypark dibuat kerana syarikat tersebut mempunyai good fundamental value serta selari dengan fokus ESG organisasi. Sehingga kini, PERKESO masih tersenarai sebagai pemegang saham utama dengan pegangan sekitar 6.66% atau 54.83 juta saham.

Pharmaniaga (2025)

Pada Jun 2025 pula, The Edge Malaysia melaporkan bahawa PERKESO sedang berbincang untuk menyertai private placement Pharmaniaga Berhad dan berpotensi muncul sebagai pemegang saham yang besar sekiranya urus niaga itu dimuktamadkan. Walau bagaimanapun, Pharmaniaga menjelaskan ketika itu bahawa belum ada keputusan muktamad mengenai pelabur yang akan mengambil bahagian dalam private placement tersebut.

Berjaya Food Berhad

Pada tahun 2021, PERKESO muncul sebagai pemegang saham utama Berjaya Food selepas pegangannya melepasi 5%. Walaupun pegangan itu kini telah berkurangan, PERKESO masih tersenarai sebagai antara pemegang saham terbesar syarikat dengan pegangan sekitar 2.30% atau 48.48 juta saham.

99 Speed Mart Retail Holdings

PERKESO turut menjadi salah satu daripada 14 cornerstone investors semasa IPO 99 Speed Mart pada tahun 2024. Namun, setiap cornerstone investor diperuntukkan pegangan di bawah 5%, menyebabkan PERKESO tidak muncul dalam senarai pemegang saham utama. Keadaan ini bermaksud orang ramai mengetahui penglibatan PERKESO ketika IPO, tetapi tidak dapat mengesan sama ada pegangan tersebut masih dikekalkan selepas syarikat disenaraikan.

Pelabur asas (cornerstone investors) ialah pelabur institusi yang bersetuju membeli saham lebih awal sebelum IPO dibuka kepada orang ramai, sekali gus memberi keyakinan kepada pasaran terhadap penyenaraian tersebut.

B. Bon Domestik & Sukuk (Sekuriti Hutang)

Bagi mengimbangi risiko pasaran saham yang turun naik, PERKESO meletakkan sebahagian besar dana dalam instrumen berpendapatan tetap (fixed income) iaitu bon korporat dan sukuk domestik. Ini memberikan aliran pendapatan faedah yang stabil setiap tahun.

Antara sektor-sektor utama dalam negara yang disokong oleh dana bon PERKESO termasuklah:

  • Perbankan & Perkhidmatan Kewangan
  • Tenaga & Utiliti (Sektor kritikal negara)
  • Pengangkutan & Telekomunikasi
  • Hartanah & Kewangan Awam

C. Aset Kewangan Sedia Untuk Dijual

Aset kewangan sedia untuk dijual boleh diibaratkan sebagai “stok pelaburan” yang boleh dijual pada bila-bila masa jika pengurus dana melihat peluang yang lebih baik. Ia lazimnya terdiri daripada saham, bon, sukuk, REIT dan instrumen pelaburan lain yang mudah diniagakan di pasaran.

Kantung kecairan PERKESO dalam kategori aset ini adalah sangat besar. Nilai aset kewangan sedia untuk dijual di bawah kumpulan PERKESO dilaporkan mencecah RM32.88 bilion. Ini memberikan fleksibiliti tinggi kepada pengurus dana mereka untuk bertindak mengikut kitaran ekonomi semasa.

D. Hartanah Fizikal & Deposit Tunai

PERKESO juga mempunyai pegangan dalam pasaran hartanah bagi menjana pendapatan bersih melalui hasil sewaan serta modal apresiari. Di samping itu, dana selebihnya diletakkan dalam instrumen pasaran wang dan deposit tegar bersama institusi kewangan berlesen demi keperluan kecairan tuntutan faedah harian pekerja.

3. Untung Bilion-Billion Tapi Belanja Pun Besar?

Satu fakta menarik yang pekerja perlu tahu ialah: Walaupun pendapatan pelaburan mereka mencecah RM2.17 Bilion, kos tanggungjawab atau belanja tanggungan (tuntutan pampasan/faedah) yang PERKESO perlu bayar semula kepada pekerja yang ditimpa musibah juga meningkat sebanyak 7.29% kepada ~RM6.2 Bilion!.

Peningkatan bayaran keluar (payout) ini disebabkan oleh pertambahan bilangan penerima faedah serta peluasan skim perlindungan kepada sektor pekerja asing dan bekerja sendiri (SKSPS).

Melalui data ini, jelaslah bahawa PERKESO bukan sekadar menyimpan duit caruman. Wang tersebut digulung masuk ke dalam ekosistem korporat Malaysia demi menjana pulangan berbilion ringgit untuk memastikan kantung institusi ini sentiasa sihat dan kalis risiko masa depan.

Penafian: Artikel ini disediakan untuk tujuan pendidikan dan perkongsian maklumat semata-mata. Analisis adalah berdasarkan Laporan Tahunan PERKESO 2024, pengumuman Bursa Malaysia, prospektus syarikat serta laporan media yang boleh diakses oleh orang awam. Sebarang contoh pegangan saham yang dinyatakan tidak semestinya mewakili keseluruhan portfolio pelaburan PERKESO, kerana senarai penuh pegangan ekuiti tidak didedahkan dalam laporan tahunan. Artikel ini bukan bertujuan membuat sebarang dakwaan atau spekulasi terhadap strategi pelaburan PERKESO, dan bukan merupakan nasihat pelaburan.