WQ-FF Kumpul Dana Agregat RM46.7 Juta Sehingga Disember 2022

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Dana bercirikan wakaf (WQ-FF) telah mengumpul dana agregat berjumlah RM46.7 juta sehingga Disember 2022, menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC). 

Pengerusinya, Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata walaupun jumlahnya mungkin sedikit rendah, ia adalah petunjuk yang jelas bahawa WQ-FF berada dalam landasan yang tepat.

Beliau berkata enam WQ-FF telah dikeluarkan selepas pelancaran Rangka Kerja WQ-FF pada 2020.

“WQ-FF membolehkan pelabur memberikan sebahagian daripada dividen mereka daripada unit amanah atau dana borong kepada projek amal atau kebajikan dalam bentuk tunai,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Wakaf dan Pasaran Modal Islam hari ini.  

Awang Adek berkata rangka kerja itu telah diperluaskan pada tahun lepas untuk merangkumi Amanah Pelaburan Hartanah Islam (REIT) dan dana dagangan bursa Islam untuk meningkatkan dan meluaskan lagi pilihan produk. 

Beliau berkata Rangka Kerja WQ-FF telah dapat menggalakkan kerjasama yang lebih baik antara Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) dan majlis agama Islam negeri. 

“Kami gembira dengan perkembangannya setakat ini. Terdapat peningkatan dalam usaha semua pihak untuk meninjau dan mengenal pasti potensi pembangunan aset wakaf,” katanya.

Awang Adek berkata kewangan sosial Islam, terutamanya wakaf, mempunyai banyak ruang untuk pertumbuhan, memanfaatkan pelbagai instrumen pasaran modal Islam yang boleh didapati untuk menyokong pembiayaan kemampanan selain menangani ketidakseimbangan dan pembangunan sosio-ekonomi.

Bagi mengoptimumkan instrumen kewangan Islam, katanya SC dan semua pihak berkepentingan perlu berusaha ke arah matlamat yang sama dengan tujuan yang sama, iaitu meletakkan kewangan sosial Islam yang tinggi dalam agenda nasional, sejajar dengan tumpuan yang semakin meningkat terhadap pembiayaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) di peringkat global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam ucapan berkata wakaf memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan masyarakat. 

“Wakaf menyerlah sebagai instrumen kewangan sosial yang dinamik dan lebih fleksibel dari segi spesifikasi penyumbang, penerima dan implementasi berbanding zakat.

“Oleh itu, wakaf berpotensi untuk menjadi sumber kewangan alternatif, terutamanya dalam kalangan segmen komuniti berpendapatan rendah dan berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Dalam konteks ini, katanya SC harus diberi pengiktirafan sebagai “thought leader” atau peneraju dalam usaha pembangunan dan penerapan konsep wakaf dalam industri pasaran modal.

Katanya pemerkasaan instrumen kewangan Islam dengan unsur wakaf seperti bon dan saham wakaf, pertumbuhan platform dana khalayak atau crowdfunding yang patuh syariah serta integrasi teknologi terkini seperti blockchain dan fintech dalam pengurusan dana wakaf – merupakan batu loncatan penting untuk inovasi dan perkembangan wakaf di Malaysia.

Katanya kesinambungan instrumen berunsurkan kewangan sosial Islam seperti wakaf mampu menyumbang kepada kewujudan inklusi kewangan yang telah dikenal pasti sebagai faktor penting dalam merealisasikan beberapa matlamat pembangunan lestari (SDG) seperti pembasmian kemiskinan dan penjanaan pekerjaan berkualiti.

“Saya percaya apabila pihak SC mengadakan kerjasama strategik bersama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri iaitu Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN), segala perancangan yang diatur akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya. 

Beliau turut mengumumkan SC akan bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan, termasuk ahli-ahli akademik untuk menerbitkan buku waqaf SC edisi kedua yang bertujuan untuk memperkukuh dan memperlengkap Pelan Induk Wakaf Nasional yang bakal dilancarkan, yang akan menjadi sumber rujukan utama untuk perkembangan wakaf melalui pasaran modal Islam di Malaysia. 

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Pembayar Cukai Diseru Bersedia Awal Supaya Pelaksanaan e-Invois Berjalan Lancar

GEORGE TOWN, 23 Sept (Bernama) — Semua pembayar cukai digesa supaya tidak berlengah dan menunggu saat akhir untuk melaksanakan e-Invois, sebaliknya membuat persediaan awal bagi memastikan proses itu berjalan lancar, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata langkah proaktif akan membantu perniagaan dan organisasi menguruskan peralihan kepada sistem percukaian digital dengan lebih baik.

“Sekiranya terdapat sebarang cabaran atau perkara yang memerlukan perbincangan lanjut, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sentiasa bersedia untuk berbincang bagi memastikan isu dan cabaran yang dihadapi pembayar cukai dapat diatasi,” katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Mega e-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menggalakkan peserta industri, persatuan perdagangan, badan profesional dan perniagaan memberikan cadangan bersifat membina untuk kerajaan menambah baik pelaksanaan e-Invois demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berharap program kesedaran dan pendidikan berkaitan e-Invois yang dilaksanakan LHDN dapat dimanfaatkan sepenuhnya, terutama oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menjelang pelaksanaan fasa baharu bermula 2026.

Program jelajah itu adalah usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran, pemahaman dan pengetahuan mengenai pelaksanaan e-Invois.

Beliau berkata kerajaan telah bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan e-Invois mandatori dengan memperkenalkan dua fasa baharu iaitu fasa keempat bagi perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta dan sehingga RM5 juta mulai 1 Jan, 2026, serta fasa kelima untuk perniagaan dengan jualan tahunan sehingga RM1 juta bermula 1 Julai, 2026.

Selain itu, nilai ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois turut dinaikkan daripada jualan tahunan di bawah RM150,000 kepada di bawah RM500,000 bagi memberi manfaat kepada peniaga mikro dan kecil, katanya.

Setakat ini, lebih 102,800 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois dengan pengeluaran lebih 563 juta e-Invois, sekali gus menunjukkan sambutan positif terhadap inisiatif digitalisasi percukaian.

Selepas program itu, Menteri Kewangan II turut memanfaatkan peluang dengan turun padang ke beberapa premis pembayar cukai di sekitar Relau, dekat sini.

Beliau mengadakan lawatan kerja dua hari di Pulau Pinang sejak semalam, tiba di kawasan premis perniagaan itu pada 9.30 pagi dan menyantuni kalangan pemilik premis di kawasan itu.

Amir Hamzah bersama-sama pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut memberi penerangan kepada pemilik perniagaan pembayar cukai mengenai e-Invois supaya mereka dapat memahami perkara dengan jelas.

Lawatan turun padang itu juga bertujuan memberikan penerangan dan mendapat maklum balas secara langsung berkaitan dengan pelaksanaan e-Invois yang akan melibatkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mulai 1 Jan, 2026.

Hadir sama dalam lawatan turun padang itu ialah Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Pelaksanaan e-Invois adalah sebahagian usaha kerajaan yang selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bertujuan memperkukuh infrastruktur perkhidmatan digital serta mempercepat pendigitalan ekosistem operasi perniagaan dan pentadbiran percukaian di Malaysia.
— BERNAMA