Syarikat Unicorn Indonesia Kenangan Coffee Tembusi Pasaran Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) — Rangkaian kedai kopi Indonesia berstatus unicorn, Kenangan Coffee melebarkan sayapnya ke pasaran Malaysia menerusi pembukaan rasmi outlet di Suria KLCC, menjadikannya premis antarabangsa pertama di luar Indonesia.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Edward Tirtanata berkata pengembangan syarikat itu ke luar pasaran Indonesia dimulakan di Malaysia dan beroperasi di bawah jenama Kenangan Coffee untuk outlet antarabangsanya.

Beliau berkata, pemilihan Malaysia sebagai negara pertama pelan pengembangan syarikat itu adalah berkait rapat dengan peningkatan memberangsangkan budaya kopi di negara ini, terutama konsep pantas ‘beli-dan-balik’ atau ‘grab-and-go’ selain kedua-dua negara itu yang mempunyai banyak persamaan dari segi profil cita rasa.

“Masa depan sektor makanan dan minuman (F&B) juga cerah di Malaysia, sejajar dengan transformasi negara ini ke arah negara ekonomi digital berpendapatan tinggi dengan tumpuan utama terhadap pendigitalan yang juga seiring dengan tumpuan operasi perniagaan kami.

“Malah, Kenangan Coffee ini bermula daripada matlamat kami untuk menjadikan kopi berkualiti pada harga berpatutan dan mudah diakses oleh semua golongan. Kami juga amat teruja untuk berkongsi perisa kopi Indonesia dengan rakyat negara ini,” katanya pada majlis perasmian outlet tersebut di sini, hari ini.

Edward berkata, syarikat itu menyasarkan pembukaan sehingga 10 outlet di Malaysia menjelang akhir suku pertama 2023 dengan empat lokasi kini dalam perancangan dan dijangka beroperasi akhir tahun ini.

Empat lokasi terbabit adalah MyTown Cheras, Pavilion Kuala Lumpur, NU Sentral KL dan Sunway Pyramid di Petaling Jaya.

“Sebelum memasuki pasaran baharu, khususnya di rantau ini, kami menyasarkan untuk membuka sehingga 100 outlet dan ini tertakluk kepada tahap pengembangan bagi setiap negara terbabit.

“Bagi pasaran Malaysia, kami sememangnya merancang untuk bertapak di negara ini secara meluas,” katanya.

Syarikat yang ditubuhkan pada 2017, telah berjaya melebarkan sayapnya ke lebih 850 outlet di 64 bandar di sekitar Indonesia dan muncul sebagai syarikat pertama di Asia Tenggara mencapai status unicorn bagi kategori F&B pada Disember tahun lepas.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/syarikat-unicorn-indonesia-kenangan-coffee-tembusi-pasaran-malaysia/

Previous ArticleNext Article

Ramssol Tembusi Pasaran EV Indonesia Menerusi Kerjasama Pajakan Motosikal

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) — Anak syarikat tidak langsung Ramssol Group Bhd, PT Rider Gate Indonesia memeterai perjanjian kerjasama dengan PT Smoot Motor Indonesia dan PT Swap Energi Indonesia bagi melancarkan ekosistem pajakan motosikal elektrik (EV) bersepadu di Indonesia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ramssol berkata perjanjian selama tiga tahun itu menandakan kemasukan rasminya ke dalam pasaran mobiliti elektrik Indonesia yang sedang berkembang pesat.

“Di bawah perjanjian tersebut, Rider Gate Indonesia akan menggerakkan sebanyak 500 unit motosikal elektrik menjelang akhir tahun kewangan 2025, dengan rancangan penambahan jumlah kenderaan itu secara berperingkat sepanjang tempoh kontrak, sejajar dengan peningkatan penggunaan serta permintaan daripada rakan-rakan penunggang” katanya.

Menurut Ramssol, kerjasama itu menyatukan tiga pemain utama dalam ekosistem kenderaan elektrik bagi membangunkan model pajakan EV bersepadu yang menggabungkan aspek pembiayaan, bekalan kenderaan dan perkhidmatan pertukaran bateri yang mudah diakses.

“PT Smoot, pengedar borong motosikal elektrik dua roda di bawah jenama Smoot Elektrik, akan membekalkan motosikal tersebut, manakala PT Swap, peneraju dalam infrastruktur pertukaran bateri dan pemasangan bateri motosikal elektrik dua roda, akan menyediakan serta menyelenggara komponen dan rangkaian pertukaran bateri.

“Sementara Rider Gate Indonesia pula akan membeli motosikal daripada PT Smoot dan memajakannya kepada rakan-rakan penunggang melalui model berasaskan teknologi yang fleksibel, mampu milik dan cekap dari segi operasi,” kata syarikat itu.
— BERNAMA