Penerangan Deposit Sewa Rumah. Istilah 1+1, 2+1, 2+1+1

Apa itu Deposit sewa

DEPOSIT SEWA RUMAH

Apabila mencari rumah sewa, antara perkara utama yang akan dilihat ialah deposit. Namun masih ramai yang salah faham istilah deposit ini sama ada daripada pihak penyewa atau tuan rumah.

➡ 1+1
➡ 2+1
➡ 2+1+1

Apa maksud semua ini?

Segelintir tuan rumah enggan memulangkan kembali deposit penyewa manakala sebahagian penyewa pula menganggap ia sebagai ‘advance sewa’ untuk bulan-bulan terakhir.

Seringkali juga tuan rumah dimaki di alam maya kononnya cekik darah dengan meminta deposit yang tinggi, malah ada yang memberi hujah bahawa deposit semua ni tak perlu. Namun ada juga penyewa yang mengambil kesempatan apabila deposit rendah dikenakan kepada mereka.

Apa sebenarnya maksud dan konsep deposit ini?

Deposit didefinisikan sebagai sebahagian daripada bayaran berupa wang yang dibayarkan (sebahagian lagi adalah hutang). Penggunaan istilah ‘deposit’ ini menyebabkan sebahagian penyewa menganggapnya sebagai bayaran ‘advance sewa’ untuk bulan terakhir.

Namun, pada pandangan saya, penggunaan terma ‘deposit’ rumah sewa adalah satu “misnomer”. Terma yang betul ialah cagaran. Cagaran bermaksud sesuatu yang dijadikan sebagai jaminan. Contohnya jika ada kerosakan atau tunggakan, maka cagaran ini akan digunakan oleh tuan rumah. Jika semua ok, cagaran akan dipulangkan.

Sebelum menyerahkan rumah sewa, kebiasaannya tuan rumah akan meminta wang cagaran sebanyak 1 atau 2 atau 3 bulan sewa, bergantung kepada :

  1. kondisi rumah (kosong atau berperabot)
  2. budi bicara tuan rumah
  3. kebolehpercayaan terhadap penyewa

Contohnya jika sewa bulanan ialah RM700, maka:

➡ 1+1 : 700 (cagaran) + 700 (sewa bulan pertama) = 1,400
➡ 2+1 : 1400 (cagaran) + 700 (sewa bulan pertama) = 2,100
➡ 2+1+1 : 1400 (cagaran sewa) + 700 (cagaran utiliti) + 700 (sewa bulan pertama) = 2,800

RUMAH SEWA TANPA DEPOSIT?

Jarang dan sukar nak jumpa tuan rumah yang menyewakan rumah tanpa deposit kerana tuan rumah berdepan dengan RISIKO, contohnya:

  1. Penyewa bertangguh-tangguh bayaran sewa, sedangkan tuan rumah perlu membayar ansuran di bank setiap bulan. Jika lewat, CCRIS tuan rumah akan tercalar. Lebih teruk, dah la tak bayar sewa, kemudian lari menghilangkan diri.
  2. Penyewa keluar awal daripada tarikh tamat kontrak, maka tuan rumah mungkin rugi 1-2 bulan rumah kosong kerana perlu mencari penyewa baru akibat daripada penyewa melanggar kontrak tempoh sewaan.
  3. Kerosakan rumah yang disebabkan oleh penyewa contohnya paip patah, pintu pecah (penyewa memang suka terkunci tombol dari dalam), tombol rosak, saluran sumbat (dengan gumpalan rambut, minyak beku, spender), jubin pecah dan lain-lain. Kerosakan yang disebabkan oleh penyewa sepatutnya ditanggung oleh penyewa.
  4. Perabot ‘dilunyaikan’. Contohnya sofa hancur, cermin muka pecah, almari patah dan lain-lain. Ini juga adalah kerosakan disebabkan oleh penyewa, bukannya ‘wear and tear’, kecuali jika perabot memang uzur.
  5. Bil-bil tertunggak yang tidak dilangsaikan oleh penyewa, kadangkala hingga berbulan-bulan lamanya. Biasanya ini hanya disedari apabila penyewa telah keluar rumah.
  6. Rumah bersepah dengan sampah yang setahun tak buang, toilet yang setahun tak cuci, siling bersawang yang setahun tak dibersihkan, lantai berkulat yang setahun tak dimop. Sepatutnya rumah sewa yang dipulangkan diberi dalam keadaan yang sama ketika penyewa mula-mula masuk. Jika tidak, kos pembersihan patut ditanggung penyewa.

Ini cuma 6 contoh sahaja. Jika tiada duit cagaran tadi, adakah penyewa sanggup keluarkan duit sendiri? Bunyi macam mustahil. Jika duit cagaran dah digunakan untuk bayaran sewa bulan-bulan terakhir, kemudian apabila penyewa keluar baru perasan tunggakan bil mencecah RM1000, adakah penyewa yang dah keluar akan hulurkan duit RM1000 tu?

Namun begitu, ada juga segelintir tuan rumah yang buat duit cagaran tadi macam duit dia. Duit cagaran diambil dan dijolikan sehingga menyebabkan tak mampu untuk pulangkan semula kepada penyewa selepas tamat kontrak sewa.

Kepada tuan rumah, tegaskan kepada penyewa awal-awal bahawa duit deposit / cagaran BUKANLAH ‘ADVANCE PAYMENT’ untuk sewa, supaya 1-2 bulan terakhir mereka tak paksa tuan rumah guna duit cagaran sebagai bayaran sewa. Jika tidak, apabila mereka keluar kelak, tuan rumah sudah tiada apa-apa duit cagaran untuk menyelesaikan apa-apa risiko di atas yang mungkin jadi realiti. Terpaksa keluar duit poket sendiri.

PERJANJIAN SEWA BERTULIS

Akhir sekali, buat perjanjian sewa secara bertulis dan catat dengan terperinci duit deposit / cagaran ini. Kalau ada pertikaian, rujuk perjanjian ini. Iyalah, kalau sekadar sembang, akhirnya akan ada pihak yang gebang.

Kredit Kepada: Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi

Anda Nak Beli Rumah, Tapi Adakah Anda Tahu Tahap Kewangan Anda?

Takut-takut ianya kurang memuaskan, nanti nak apply pinjaman tak lepas pula.

  • Bagaimana pula dengan hutang kad kredit, bayar tepat pada masanya atau tidak?
  • Pernahkah anda terlibat dengan sebarang masalah undang-undang atau muflis?
  • Berapa pula Debt to service ratio (DSR) anda?

Dengan TechRevo, kini anda boleh dapatkan laporan kewangan dengan cepat dan mudah.

Bukan itu sahaja, semua pengiraan berkenaan dengan permohonan pinjaman akan dilakukan berdasarkan apa yang bank mahu.

Yang lagi bestnya, di penghujung laporan nanti ada pilihan bank dengan tawaran terbaik khusus untuk anda.

Dengan harga promosi RM14.90, anda akan dapat:

✅ Ketepatan 99% pengiraan DSR + kelayakan pinjaman perumahan
✅ Laporan CCRIS untuk 12 bulan
✅ Kes undang-undang, muflis

Dapatkan laporan TechRevo hari ini juga -> https://tinyurl.com/techrevo

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Prestasi REIT Patuh Syariah di Bursa Malaysia pada Tahun 2025

REIT atau Real Estate Investment Trust ialah cara mudah untuk melabur dalam hartanah tanpa perlu membeli bangunan sebenar. Tak perlu fikir loan tak lepas, tak perlu bayar maintenance, tak perlu hadap penyewa dari neraka. Cuma beli unit REIT, kerja macam biasa dan tunggu dividen sewa masuk setiap suku tahun.

Di Bursa Malaysia hanya beberapa REIT yang disahkan patuh syariah dan fokus artikel ini ialah meninjau prestasi mereka sepanjang tahun 2025, termasuk latar belakang asas, pergerakan harga serta aspek dividen.

REIT Patuh Syariah?

Sehingga artikel ini ditulis, 5 REIT yang disenaraikan di Bursa Malaysia ini berstatus patuh syariah :

  1. AXREIT (Axis REIT)
  2. ALAQAR (Al-’Aqar Healthcare REIT)
  3. KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC REIT)
  4. ALSREIT (Al-Salam REIT)
  5. AMEREIT (AME REIT)

Sejarah ringkas:

  • Axis REIT ialah REIT pertama di Malaysia yang mempunyai portfolio hartanah yang terdiri terutamanya daripada pejabat dan industri (industrial/logistik), disenarai pada 3 Ogos 2005.
  • Al-’Aqar ialah REIT penjagaan kesihatan Islamik pertama di Asia seperti Hospital KPJ, disenarai pada 10 Ogos 2006.
  • KLCC REIT tertumpu pada hartanah komersial premium seperti Menara Berkembar Petronas, Menara 3 Petronas dan Menara ExxonMobil, disenarai di pasaran Bursa Malaysia pada 9 Mei 2013.
  • Al-Salam REIT banyak aset runcit dan F&B, contohnya restoran dan premis perniagaan yang mula disenarai di Bursa Malaysia pada 29 September 2015.
  • AME REIT pula memberi fokus kepada industri dan logistik, seperti kilang dan gudang.

Beberapa shopping mall popular di Malaysia berada di bawah REIT berbeza:

  • Mid Valley Megamall & The Gardens Mall → IGB REIT
  • Pavilion Kuala Lumpur → Pavilion REIT
  • Sunway Pyramid → Sunway REIT

Dari segi volum dan nilai dagangan: 2025 menunjukkan peningkatan yang baik. Sebagai contoh, bulan Jun 2025: nilai dagangan adalah sebanyak RM 1.317 billion manakala bukan Julai 2025 sebanyak RM 1.178 billion.

REITHarga terkiniAnggaran perubahan
AXREIT~ RM2.14 (Okt 2025)+24%
ALAQAR~ RM1.28 (Okt 2025)–5.8%
KLCC REIT~ RM8.70 (Okt 2025)+7.6%
ALSREIT~ RM0.46 (Okt 2025)+24%
AME REIT~ RM1.60 (Okt 2025)+13%

Kenaikan harga bukanlah pengukur utama bagi REIT kerana majoriti pelabur melabur dalam REIT kerana ingin mendapatkan dividen. Setiap REIT di atas juga semuanya mengagihkan dividen kepada para pelabur. 

Dividen bagi tahun kewangan 2025 sehingga artikel ini ditulis:

  • AXREIT = 2.50 + 2.65 + 2.65 = 7.80 sen.
  • KLCC REIT = 7.38 + 7.24 = 14.62 sen.
  • AME REIT = 1.96 + 2.16 = 4.12 sen.
  • ALSREIT = 0.51 + 0.47 = 0.98 sen. (setakat ini)
  • ALAQAR = 1.74 + 1.73 = 3.47 sen. (setakat ini)

Kiraan Jika Melabur RM10,000 Dalam AXREIT

Jumlah unit dibeli:

RM10,000 ÷ RM2.14 = ≈ 4,673 unit

Jumlah dividen diterima:

4,673 unit × RM0.078 = ≈ RM364.50

Ringkasnya:

  • Pelaburan RM10,000 dalam AXIS REIT bagi tahun 2025 dijangka beri pulangan tunai sekitar RM360–RM370 setakat ini.
  • Jika AXIS REIT tambah satu lagi agihan pada hujung tahun (contohnya total dividen naik ke 10 sen), jumlah dividen boleh meningkat ke sekitar RM467.

Cara Melabur Dalam REIT di Bursa Malaysia

1️⃣ Buka Akaun CDS & Trading

  • Sama seperti beli saham biasa.
  • Boleh guna platform seperti M+ Online, CGS iTrade, Maybank Trade, RHB Invest, Kenanga One Trade dan lain-lain.

2️⃣ Pilih REIT Yang Sesuai

Fokus pada:

  • Jenis aset – komersial, industri, kesihatan, runcit
  • Sejarah dividen
  • Occupancy rate

3️⃣ Beli Di Bursa Malaysia

  • Minimum pelaburan adalah 1 lot = 100 unit.
  • Kalau harga AXREIT RM2.14, 1 lot ≈ RM214 sahaja.

Risiko Utama

  • Jika kadar faedah (OPR) naik, harga REIT boleh jatuh. REIT biasanya pinjam duit bank untuk beli atau naik taraf bangunan. Bila kadar pinjaman naik, kos kewangan (interest expense) meningkat. Contoh: Axis REIT ada pinjaman RM1 bilion. Kalau kadar faedah naik 0.5%, kos tambahan dalam RM5 juta setahun. Keuntungan bersih REIT akan berkurang → dividen juga boleh menurun.
  • Nilai hartanah dan kadar sewa boleh terjejas jika ekonomi perlahan.
  • Tak semua REIT sama kukuh, pelabur perlu semak laporan tahunan.

Dulu kita selalu pandang twin tower KLCC dengan penuh bangga.
Sekarang kita boleh pandang dengan senyuman kecil sebab walaupun bahagian kita cuma 0.000001%, sekurang-kurangnya kita secara tidak langsung berkongsi pendapatan sewa dan nilai aset tersebut. Ini contohhhh……

Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.