10 Jenis Risiko Yang Ada Dalam Pelaburan

Seorang pelabur saham atau unit amanah (unit trust) yang berpengalaman tentunya biasa membaca prospektus dana atau syarikat, info memo, dan lampiran penerangan produk (product highlight/disclosure sheet). Dalam dokumen ini akan diperincikan pengurusan, jenis pelaburan, strategi, dan sebagainya.

Antara yang biasa dinyatakan adalah tentang risiko-risiko pelaburan tersebut. Terdapat beberapa jenis risiko yang disebut dalam dokumen-dokumen tersebut secara ringkas seperti berikut:

1. Risiko Pasaran (Market Risk) – bawah risiko ini terdapat tiga jenis risiko utama yang berkaitan:

  • Risiko ekuiti (Equity Risk) – merujuk kepada kenaikan dan penurunan harga sekuriti ekuiti dalam pasaran yang tidak mampu dikawal dan tertakluk kepada pelbagai faktor.
  • Risiko kadar faedah (Interest Rate Risk) – ada beberapa syarikat yang menawarkan dana patuh Shariah menggunakan istilah Risiko Kadar Keuntungan (Profit Rate Risk) merujuk kepada perubahan kadar faedah dalam pasaran yang memberi kesan kepada nilai bon atau Sukuk bagi dana patuh Shariah.
  • Risiko Matawang (Currency Risk) – merujuk kepada perubahan nilai mata wang terutama bagi dana yang mempunyai pendedahan kepada pelaburan di luar negara dan melibatkan pelaburan dalam matawang berbeza.

2. Risiko Kecairan (Liquidity Risk) – merujuk kepada risiko pelabur di mana pelabur akan mengalami kehilangan modal pelaburan akibat tidak mampu menjual unit pelaburan pada harga yang sama atau lebih berbanding harga belian apabila terpaksa menjual unit dalam keadaan mendesak.  

3. Concentration Risk – merujuk kepada pelaburan yang tertumpu kepada satu jenis pelaburan sahaja.

4. Risiko Kredit (Credit Risk) – merujuk kepada ketidakmampuan penerbit bon/Sukuk membayar pulangan kepada pelabur akibat bankrap atau sebagainya.

5. Reinvestment Risk – merujuk kepada kehilangan atau kerugian modal pelaburan akibat pelaburan semula ke dalam instrumen pelaburan seperti bon atau Sukuk yang mempunyai kadar pulangan lebih rendah.

6. Risiko Inflasi (Inflation Risk) – merujuk kepada risiko kadar inflasi lebih tinggi daripada pulangan pelaburan kita.

7. Risiko Persekitaran (Horizon Risk) – merujuk kepada keadaan-keadaan yang tidak dijangka seperti bencana alam, krisis ekonomi, pandemik yang memberi kesan kepada pelaburan itu.

8. Longevity Risk – merujuk kepada kemungkinan penggunaan dana pelaburan yang lebih lama disebabkan umur panjang sehingga pulangan pelaburan tidak lagi mampu menanggung kos kehidupan pelabur.

9. Risiko Pelaburan Asing – merujuk kepada pelaburan di negara yang mungkin menukar dasar luar mereka sehingga dana di negara itu tidak dapat dikeluarkan dan perlu digunakan dalam negara tersebut.

Ini adalah ringkasan sembilan risiko biasa yang disebut dalam mana-mana dokumen pelaburan khususnya bagi pelaburan unit amanah. Namun, di Malaysia terdapat satu jenis risiko pelaburan yang wujud yang perlu diketahui oleh pelabur khususnya pelabur Muslim.

10. Risiko Ketidakpatuhan Shariah atau Shariah Non-Compliance Risk. Risiko ini merujuk kepada beberapa isu antaranya:

  1. Ketidakmampuan penasihat Shariah bersepakat menentukan status Shariah seseuatu pelaburan oleh syarikat pengurus dana.
  2. Perubahan fatwa atau resolusi Shariah yang menukar status pelaburan daripada patuh Shariah ke tidak patuh Shariah.
  3. Kesilapan atau kecuaian pengurus dana dalam membeli saham atau sekuriti tidak patuh Shariah sehinggalah dijumpai kesilapan itu oleh pegawai pematuhan Shariah atau Penasihat Shariah

Kesemua isu ini memberi risiko kepada pelabur di mana pelabur terpaksa menyucikan sebahagian pulangan hasil pelaburan tadi yang telah menjadi tidak patuh Shariah. Sekiranya kita betul-betul membaca prospektus, kita akan mendapati rata-rata pengurus dana atau syarikat akan menyatakan bahawa risiko ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pelabur dan mereka tidak akan menanggung liabilti tersebut.

Walaupun isu seperti ini sangat jarang berlaku atau mungkin belum pernah menjadi isu umum, elok seandainya risiko ini kita ketahui dalam membuat apa-apa keputusan pelaburan.

Antara langkah yang boleh diambil adalah menyemak siapakah badan penasihat Shariah bagi syarikat pengurus dana tersebut, adakah mereka mempunyai kredibiliti atau tidak.

Semoga panduan ini membantu kita menjadi pelabur yang celik dalam membuat apa-apa keputusan pelaburan.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.

Jemput baca juga Saham Yang Dibeli Menjadi Tidak Patuh Shariah?

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

55 Juta Unit IOIPG REIT Dikhaskan Untuk Bumiputera

Selama ni kita datang IOI City Mall untuk shopping, makan, tengok wayang atau sekadar jalan-jalan cukupkan 10,000 langkah.

Kali ni ada berita baik.

IOI Properties Group Bhd (IOIPG) telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menubuhkan dan menyenaraikan IOIPG REIT di Bursa Malaysia. REIT ini akan mempunyai portfolio aset bernilai kira-kira RM7.58 bilion.

Dan antara perkara paling menarik untuk pelabur runcit ialah sebanyak 715.6 juta unit diperuntukkan untuk tawaran runcit.

Daripada jumlah tersebut, 55 juta unit dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

Jadi, apa sebenarnya yang bakal kita dapat melalui REIT ini?

Apa yang ada dalam IOIPG REIT?

Portfolio IOIPG REIT bukan sekadar satu bangunan.

Antara aset yang akan dimasukkan ialah:

  • IOI City Mall Phase 1 & 2
  • IOI City Towers
  • PFCC Towers
  • Putrajaya Marriott
  • Le Méridien Putrajaya
  • Moxy Putrajaya
  • Four Points by Sheraton Puchong
  • W Kuala Lumpur
  • Courtyard by Marriott Penang

Dan sudah tentu, nama yang paling mudah dikenali ialah IOI City Mall.

Mall yang kita kenal sebagai tempat shopping dan makan itu sebenarnya merupakan salah satu aset utama dalam portfolio REIT ini.

Jadi macam mana kita boleh “jadi landlord”?

Konsep REIT sebenarnya agak mudah.

Bayangkan satu hartanah bernilai berbilion ringgit.

Tak ramai individu mampu membeli hartanah tersebut secara terus.

Jadi, aset itu dimasukkan ke dalam satu struktur REIT dan dibahagikan kepada unit.

Pelabur pula membeli unit tersebut.

Secara tidak langsung, pelabur memiliki kepentingan dalam portfolio hartanah berkenaan.

Sebab itu orang selalu gambarkan REIT sebagai cara untuk memiliki sebahagian daripada hartanah yang besar tanpa perlu membeli keseluruhan bangunan.

Dalam kes IOIPG REIT, saiz awalnya ialah 5.5 bilion unit, dengan harga jangkaan 90 sen seunit.

Pelabur runcit dapat 715.6 juta unit

Ini antara bahagian yang paling menarik.

Daripada keseluruhan struktur tawaran, 715.6 juta unit akan diperuntukkan melalui tawaran runcit.

Dan 55 juta unit daripada tawaran tersebut dikhaskan untuk pelabur Bumiputera.

Kenapa ada allocation khas untuk Bumiputera?

Peraturan SC menetapkan penyenaraian tertentu, termasuk REIT, perlu memenuhi keperluan penyertaan ekuiti Bumiputera. Bagi penyenaraian yang tertakluk kepada syarat tersebut, 12.5% daripada jumlah unit selepas penyenaraian perlu diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan/diiktiraf.

Pada masa yang sama, sehingga 1.48 bilion unit pula akan ditawarkan kepada pelabur institusi, termasuk institusi Bumiputera yang diluluskan dan pelabur institusi lain.

Bukan sekadar tengok harga 90 sen

Harga indikatif yang disebut ialah 90 sen seunit.

Tapi pelabur jangan berhenti setakat:

“90 sen je? Murah ni.”

Dalam REIT, perkara yang lebih penting ialah aset yang berada di belakang unit tersebut dan kemampuan aset itu menjana pendapatan.

Contohnya:

Berapa banyak hasil sewaan?
Bagaimana kadar penghunian?
Berapa tinggi hutang?

Dan akhirnya, berapa banyak pendapatan yang boleh diagihkan kepada pemegang unit?

Sebab kita bukan sekadar membeli “nama IOI”.

Kita membeli unit dalam satu portfolio aset yang sepatutnya menghasilkan pendapatan.

Kenapa IOI Properties buat REIT?

Bagi IOI Properties, penyenaraian REIT ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk membuka nilai daripada aset matang yang dimiliki kumpulan.

Cadangan asal yang diumumkan pada April 2026 menyaksikan aset bernilai RM7.58 bilion dipindahkan ke REIT, dengan struktur transaksi melibatkan penerbitan 5.5 bilion unit pada harga indikatif 90 sen serta RM2.65 bilion dalam bentuk tunai melalui pembiayaan.

Struktur sebegini membolehkan IOI Properties mendapatkan semula modal daripada aset sedia ada dan pada masa sama mengekalkan pendedahan kepada portfolio hartanah melalui REIT.

Bila IOIPG REIT akan disenaraikan?

IOIPG REIT disasarkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku keempat 2026, tertakluk kepada syarat dan proses yang ditetapkan.

Jadi buat masa ini, perkara yang paling menarik untuk ditunggu ialah prospektus rasmi dan butiran akhir tawaran.

Satu perkara yang masih belum boleh dipastikan buat masa ini ialah status Syariah IOIPG REIT. Ini kerana i-REIT mempunyai keperluan Syariah tersendiri, termasuk berkaitan sumber pendapatan sewaan dan aktiviti penyewa. Bursa Malaysia sendiri membezakan REIT konvensional dengan i-REIT, iaitu REIT yang mematuhi prinsip Syariah.

Sebab dekat situlah pelabur boleh tengok dengan lebih jelas tentang harga tawaran akhir, struktur agihan, hasil sewaan, kewangan REIT dan potensi agihan pendapatan.

Kesimpulan

Penyenaraian IOIPG REIT di Bursa Malaysia menandakan satu lagi perkembangan menarik dalam pasaran modal tempatan. Bagi orang ramai, ia membuka ruang untuk menukar peranan daripada sekadar penyumbang pendapatan perniagaan di mall tersebut, kepada penerima sebahagian daripada hasil sewaannya menerusi agihan dividen kelak.

Laporan asal The Star mengenai kelulusan IOIPG REIT

Maklumat rasmi IOI Properties mengenai cadangan IOIPG REIT

Syarat Asas: Wajib Ada Akaun CDS

Bagi yang baru pertama kali mendengar tentang peluang pelaburan seperti ini, penting untuk diingat bahawa pembelian unit REIT di Bursa Malaysia tidak boleh dibuat secara terus di kaunter pusat beli-belah.

  • Anda perlu memohon unit IPO tersebut menerusi e-IPO di dalam perbankan dalam talian seperti: Maybank2u atau aplikasi broker seperti CGSI.
  • Di sini syaratnya anda wajib ada Akaun CDS yang terikat dengan akaun bank anda supaya unit yang anda mohon itu ada “bekas” untuk disimpan.

Proses pembukaan akaun CDS kini boleh dilakukan secara dalam talian (online) dengan caj minima dan ia merupakan langkah pertama yang perlu disiapkan awal sekiranya anda berhasrat untuk terlibat dalam pasaran saham tempatan.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.