Cara Pengiraan Zakat ASB

Adalah merupakan kewajipan bagi individu Muslim untuk membayar zakat apabila mereka memenuhi syarat-syaratnya. Ramai yang masih tercari-cari cara pengiraan zakat ASB.

Mari hadam cara pengiraan ini untuk memudahkan urusan anda ketika hendak membuat pembayaran zakat ASB. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.

Kaedah Pengiraan Zakat ASB

Pengiraan zakat ke atas pelaburan ASB boleh dikategorikan berdasarkan kepada beberapa kaedah dan situasi seperti berikut:

1. Pelaburan Dibuat Menggunakan Wang Sendiri

Bagi situasi ini pengiraan zakat adalah berkadar langsung dengan jumlah pelaburan dan keuntungan (dividen, bonus dan pendapatan ASB) yang diperolehi.

Formulanya adalah seperti berikut:

[Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan + Dividen/ Pendapatan ASB ] x 2.5% (Kadar Zakat)

Contoh (i):
RM 200,000 (Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan) + RM 16,500 (Dividen / Pendapatan ASB 2017 iaitu 8.25%)

= RM 216,500 x 2.5%
= RM 5,412.50
Justeru, zakat yang wajib ditunaikan adalah sebanyak RM 5,412.50

Contoh (ii):
RM 15,000 (Baki Akhir Tahun Modal Pelaburan) + RM 1,237.50 (Dividen/Pendapatan ASB 2017 iaitu 8.25%)
= RM 16, 237.50 x 2.5%
= RM 405.93
Justeru, zakat yang wajib ditunaikan adalah sebanyak RM 406 (setelah dibundarkan).

2. Pelaburan Dibuat Dengan Pembiayaan ASB

Bagi situasi ini, pengiraan zakat hanya akan dikenakan ke atas dividen atau keuntungan yang diperolehi sahaja. Adapun bagi modal pelaburan, tidak dikenakan zakat ke atasnya kecuali setelah berlakunya penebusan sijil pelaburan ataupun setelah selesai tempoh bayaran balik pembiayaan.

Formula kiraan adalah seperti berikut:

Dividen / Pendapatan ASB x 2.5%

Contoh kaedah kiraan seterusnya cuba meraikan beberapa bentuk kaedah pelaburan yang lazimnya diamalkan oleh para pelabur ASB dengan menggunakan fasiliti pembiayaan ASB.

Kes 1: Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi TIDAK DIGUNAKAN untuk membuat pembayaran semula pembiayaan.

Contoh (i):
Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan] Dividen/ Pendapatan ASB 2017 8.25% dari RM 200,000 = RM 16,500
= RM 16,500 x 2.5%
= RM 412.50
Justeru, zakat yang dikenakan adalah RM 412.50

Contoh (ii):
Modal Pelaburan RM 50,000 [dalam bentuk sijil pelaburan] Dividen/ Pendapatan ASB 2107 8.25% dari RM 50,000 = RM 4,215
= RM 4,215 x 2.5%
= RM 103.12
Justeru, zakat yang dikenakan adalah RM 103.

Dalam contoh (ii), nilai dividen yang diperolehi tidak melebihi nisab tahunan zakat pada tahun 2017 iaitu RM 14,083. Mengapa dikenakan zakat juga? Hal ini memerlukan sedikit perincian. Dalam contoh (ii) di atas, pendapatan dari ASB itu dicampurkan dengan kesemua pemilikan harta individu yang telah cukup haulnya untuk dizakatkan.

Maka kecukupan nisab dikira secara relatif dengan dicampurkan harta-harta lain yang berada di bawah pemilikan individu terbabit.

Namun, jika individu yang terbabit tidak mempunyai harta-harta lain yang cukup haul dan sedia dizakatkan, maka zakat *TIDAK DIKENAKAN ke atas dividen/pendapatan ASB yang tidak mencukupi nisab itu tadi.

Kes 2: Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi DIGUNAKAN bagi membuat pembayaran semula pembiayaan.

Dalam kes ini, zakat hanya akan dikenakan ke atas baki atau lebihan dividen/pendapatan ASB yang masih ada selepas ditolak jumlah pembayaran semula pembiayaan.

Contoh (i):

Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan] Dividen / Pendapatan ASB 2017 8.25% dari RM 200,000 = RM 16,500

Jumlah pembayaran semula pembiayaan selama setahun (dikira berdasarkan tempoh ansuran bulanan pembiayaan pelaburan ASB selama maksimum 30 tahun)
= RM 1,099 (sebulan) x 12 (bulan) = RM 13,188
= RM 16,500 (dividen/pendapatan ASB) – RM 13,188 (bayaran semula pembiayaan)
= RM 3,312
= RM 3,312 x 2.5%
= RM 82.80

Justeru, zakat yang dikenakan adalah *RM 82.50*. Situasi kenaan zakat ini adalah sama seperti contoh (ii) dalam Kes 1 di atas.

Contoh (ii):
Modal Pelaburan Maksimum RM 50,000 [dalam bentuk sijil pelaburan] Dividen/ Pendapatan ASB 2017 8.25% dari RM 50,000 = RM 4,215

Jumlah pembayaran semula pembiayaan selama setahun (dikira berdasarkan tempoh ansuran bulanan pembiayaan pelaburan ASB selama 15 tahun)
= RM 275 (sebulan) x 12 (bulan) = RM 4,812
= RM 4,215 (dividen/pendapatan ASB) – RM 4,812 (bayaran semula pembiayaan)
= (-) RM 597

Oleh kerana bayaran semula pembiayaan melebihi jumlah dividen yang diterima, maka *TIDAK ADA ZAKAT* dikenakan. Juga tidak dikenakan zakat jika jumlah dividen menyamai jumlah pembayaran semula pembiayaan.

3. Perolehan Selepas Penyerahan Semula Sijil Pembiayaan Pelaburan ASB

Sebahagian pelabur menggunakan kaedah membuat pembiyaan pelaburan ASB dan dalam tempoh tertentu membuat penyerahan semula sijil (surrender) dan menyelesaikan bayaran baki pembiayaan untuk mendapatkan keuntungan dan pulangan.

Kes 1: Penyerahan semula sijil pelaburan lebih awal sebelum tamat tempoh pembiayaan.

Contoh (i) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun ke-5 dalam tempoh pembiayaan selama 25 tahun:

[Pulangan tunai selepas penyerahan sijil pelaburan + dividen tahun semasa ASB] x 2.5%
[RM 22,002.61 (lebihan tunai penyerahan sijil pelaburan bernilai RM 200,000) + RM 16,500 (dividen tahun semasa ASB)] = RM 36,502.61
= RM 36, 502.61 x 2.5%
= RM 912.56
Zakat dikenakan adalah *RM 912.56*

Contoh (ii) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun akhir pembiayaan / selepas tamat tempoh pembiayaan 25 tahun.
[RM 200,000 (nilai penyerahan sijil pada tahun akhir pembiayaan/selepas tamat tempoh pembiayaan) + RM 16,500 (nilai dividen semasa ASB)] = RM 216,500
= RM 216,500 x 2.5%
= RM 5,412
Zakat dikenakan adalah sebanyak *RM 5,412.*

Dengan penjelasan ini, diharapkan agar dapat memberikan manfaat dan kefahaman yang jelas kepada para pelabur dan muzakki. Semoga Allah Ta’ala menerima segala amalan dan kebaikan yang dilakukan dan menjadikannya sebagai pemberat mizan di Hari Pembalasan.

Hj Ahmad Husni bin Dato’ Abd Rahman
Pemangku Penolong Pengurus
Unit Syariah & Penerangan Khas PPZ-MAIWP

Jom berzakat secara online di www.zakat.com.my

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.