7 Salah Faham Pelaburan Saham

Terdapat beberapa mitos dan salah faham mengenai pelaburan saham. Rata-rata mereka yang belum pernah terlibat dalam pelaburan saham, seperti sudah ada beberapa tanggapan negatif terhadapnya.

Jom kita layan sama-sama dan ambil tahu kebenaran di sebalik mitos dan salah faham tersebut.

1. Melabur Saham Adalah Judi

Photo by Miroslav Jonas on Unsplash

Inilah salah satu sebab mengapa orang ramai menjauhkan diri bila sebut pasal pasaran saham. Turun naik harga saham di pasaran bergantung kepada banyak faktor seperti ekonomi, politik, prestasi perniagaan, tingkah laku orang yang terlibat dalam pasaran, perkembangan teknologi, dan sebagainya.

Harga saham tidak turun atau naik ikut nasib. Selalunya ada alasan di sebalik setiap pergerakan atau hala tuju pasaran. Ini tidak seperti judi di kasino, di mana ianya bergantung sepenuhnya kepada nasib seseorang pemain.

Sama ada pasaran saham adalah perjudian atau tidak, bergantung kepada cara anda menggunakannya. Sudah tentu jika kita hanya memilih saham secara rawak dan semata-mata bergantung kepada nasib untuk berjaya, maka samalah kita seperti orang yang berjudi.

Walaubagaimanapun, jika kita mendekati pasaran saham secara profesional, belajar ilmu Fundamental Analysis dan Technical Analysis, buat penyelidikan yang rapi sebelum membeli atau menjual sesuatu saham, maka kita tidak bergantung kepada nasib dalam pelaburan.

Jika kita merupakan seseorang yang telah membuat kajian dan Trading Plan sebelum membuat sebarang  keputusan pelaburan dalam pasaran saham, maka kita bukan berjudi tetapi merupakan seorang pelabur atau pedagang. Kita tahu apa yang kita lakukan dan sekaligus memberi kelebihan kepada kita dalam pasaran saham.

2. Melabur Saham Dapat Jadi Jutawan Segera

Ciri-ciri skim cepat kaya

Melabur dalam saham sama seperti sebuah perniagaan. Kita boleh menghasilkan wang, dan dalam masa yang sama kita juga boleh kehilangan wang. Seperti mana-mana pelaburan, melabur di pasaran saham mempunyai risikonya.

Faktor terbesar kejayaan dalam pelaburan saham adalah penyelidikan dan pengurusan risiko. Ramai yang pernah meraih pulangan lebih daripada 100 peratus atau lebih.

Walaubagaimanapun, ia memerlukan masa untuk belajar dan menimba pengalaman. Oleh itu, lebih banyak kita belajar, kita mampu meminimakan kerugian yang dialami dan mampu memaksimakan keuntungan.

3. Pasaran Saham Hanya Untuk Orang Kaya Dan Golongan Elit

Sesetengah orang berpendapat bahawa, mereka yang terlibat dalam pelaburan saham hanyalah golongan elit dan yang kaya-raya saja. Kita kena ada modal berpuluh-puluh atau beratus-ratus ribu untuk bermula.

Percayalah, ini adalah mitos dan ianya tidak benar sama sekali.

Pasaran saham dibuka kepada semua orang, asalkan dapat memenuhi syarat dan asas undang-undang yang telah ditetapkan (18 tahun ke atas dan tidak bankrap).

Dalam dunia yang serba moden, sekarang kita boleh jual beli saham terus secara online. Memang cukup mudah dan cepat.

Tapi sebelum itu, kena buka akaun CDS terlebih dahulu – boleh rujuk Cara Buka Akaun CDS. Kosnya RM10 sahaja.

Dengan modal RM100 pun dah boleh mula. Tak percaya, jemput baca Ada modal RM100 cukup tak untuk melabur saham?

4. Pelabur Yang Berjaya Perlu Mempunyai Hubungan Dengan Mereka Yang Terkenal

‘Saya banyak berkawan dengan broker saham, tidak hairanlah kini saya berjaya menakluki pasaran saham’

Tidak dinafikan jika kita mempunyai perhubungan persahabatan dengan mereka-mereka yang tersohor dan handal dalam pasaran saham, ianya mampu memberi kelebihan kepada diri kita.

Namun, terlalu banyak pelabur yang berjaya telah membuktikan bahawa, tanpa perhubungan dengan individu terkenal pun; mereka mampu meraih pulangan yang baik. Terima kasih kepada internet yang menjadikan dunia berada di hujung jari.

Kita dengan mudah dapat mengakses laman web yang berbeza-beza untuk mengumpulkan maklumat. Terdapat banyak analisis dan ulasan yang dikongsi oleh pelabur lain, yang boleh kita gunakan sebagai rujukan tambahan.

5. Untuk Berjaya, Kita Perlu ‘Power’ Dalam Ilmu Kewangan

Photo by Kaboompics .com from Pexels

Ini merupakan salah satu mitos yang perlu kita hapuskan. Sudah tentu, mempunyai ilmu kewangan dapat membantu kita, namun itu bukanlah penentu.

Ini kerana, ramai pelabur sebenarnya kantoi kerana mereka gagal mengawal emosi. Bila dah beli saham, tak ikut Trading Plan. Harga saham dah cecah Target Price, tapi kita tak jual; dengan harapan harga saham akan naik lagi. Akhirnya harga saham tadi turun semula ke harga yang kita beli, lebih teruk kalau ianya turun di bawah harga beli. Elok-elok boleh untung, disebabkan tamak akhirnya terus rugi.

Begitu juga halnya apabila harga saham dah turun dan cecah paras Cut Loss, tapi kita tak jual; dengan harapan esok lusa harga saham akan naik semula. Ini menyebabkan kita terpaksa menanggung kerugian yang amat besar.

6. Cara Cepat Untuk Buat Duit

Sekiranya kita mempunyai modal yang besar dan boleh membeli dan menjual saham dalam kuantiti yang banyak, maka kita boleh buat duit dengan mudah dan cepat. 

Walaubagaimanapun, hanya segelintir orang yang mempunyai wang sebanyak itu. Kalau ada pun, dah dikira level jerung, game mereka pun berbeza daripada kita pelabur runcit.

Apa akan jadi jika kita mempunyai dana yang kecil tetapi mempunyai ‘high-expectations’ terhadap pelaburan saham? Semestinya kesan buruk menanti kita.

Jika kita baru nak bermula, cara terbaik adalah dengan mula dengan modal yang kita berani untuk hilang sepenuhnya, dan lakukannya secara berperingkat.

7. Nak Untung Melabur Saham Semudah ‘ABC’

‘Aku hanya perlu pilih satu saham, lalu melabur dengan wang yang aku ada. Kemudian, tunggu dan jual untuk menikmati keuntungan’.

Jika kita mempunyai tahap keyakinan seperti ini ianya tidak salah, namun dikhuatiri ianya mentaliti yang kurang sesuai. Nak berjaya dalam pelaburan saham tidak semudah membeli dan menjual.

Kita perlu juga tahu saham mana yang sesuai, dan bila waktu terbaik untuk beli saham tersebut. Kena buat Fundamental Analysis untuk tahu saham apa yang boleh kita beli, dan kena buat Technical Analysis untuk tahu bila masa terbaik untuk beli saham tersebut.

Mengenal pasti dua perkara utama ini, memerlukan usaha, penyelidikan dan analisa. Semuanya adalah sebuah proses.

Previous ArticleNext Article

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Stratus Global: Memanfaatkan Fasa Kenaikan Capex Semikonduktor

Nilai saksama (FV) sebanyak MYR1.55 diberi berdasarkan P/E 24x FY27F (Mac)

Stratus Global merancang untuk mengumpul MYR285j daripada IPO, dengan tujuan utama untuk membiayai usaha pengembangan fasiliti, pejabat luar negara dan usaha R&D. Disokong oleh rekod prestasi selama 28 tahun dalam penyelesaian sistem pengendalian bahan automasi (AMHS) bilik bersih untuk industri semikonduktor dunia, margin yang kukuh dan kitaran menaik jangka panjang dalam capex semikonduktor, kami menjangkakan pertumbuhan perolehan yang teguh kelak. Pada P/E FY28F 12.4x, penilaiannya tampak menarik apabila dibandingkan dengan purata lima tahun Indeks Teknologi Bursa Malaysia (KLTEC) dan CAGR perolehan tiga tahunnya sebanyak 24%.

Dilindungi oleh pengetahuan kejuruteraan yang mendalam

Sejak 1998, kumpulan ini telah membina AMHS berasaskan penyampai proprietari, AMHS hibrid dan penyelesaian ASRS, yang dilengkapi dengan perisian sistem kawalan peralatan (TCS) dalaman miliknya, untuk industri semikonduktor dunia. Penyelesaiannya menerima pensijilan ISO 9001, ISO 14001 dan ISO 45001, dan diguna pakai oleh pelanggan multinasional bahagian depan (untuk mengendalikan pembikin wafer 200mm dan juga 300mm) dan pelanggan semikonduktor bahagian belakang merentasi benua Asia, Eropah dan Amerika Utara.

Stratus menjalankan reka bentuk, pembikinan, pemasangan dan pengujian hampir kesemuanya secara dalaman, tidak seperti syarikat pesaing yang menggunakan sumber luar. Hal ini menawarkan perbezaan penting yang menyokong marginnya yang lebih tinggi, sementara syarat-syarat ketat untuk mengendalikan wafer menetapkan halangan tinggi untuk kemasukan pasaran.

Pengembangan fasiliti dan geografi bakal mendorong pertumbuhan

Usaha pengembangan fasiliti Bayan Lepas milik Stratus yang sedang berjalan, dengan sasaran siap pada 3QCY28, akan menambah ruang lantai sebanyak 150-200% dan meningkatkan kapasiti hasil kumpulan daripada USD50-100j sekarang (1 syif kepada 2 syif) kepada USD200-400j selepas pengembangan selesai.

Perkara ini menyokong pelaksanaan buku pesanan belum bayarnya bernilai MYR108.4j (setakat 3 Jun 2026; MYR75.4j akan diiktiraf pada FY27F dan MYR33.0j pada FY28F), di samping pertanyaan yang kukuh dan pengembangan kapasiti bagi pelanggan-pelanggan sedia ada. Pada masa yang sama, kumpulan ini merancang untuk menubuhkan pejabat sokongan jualan dan kejuruteraan di Jepun, Taiwan, Jerman dan AS, sekali gus meluaskan capaian semikonduktor bahagian depan dan belakangnya.

Fasa kenaikan berstruktur semikonduktor memperkukuh permintaan

SEMI menjangkakan capex akan terus diperuntukkan untuk menyokong kapasiti fabrikasi wafer 300mm sehingga tahun 2030, sekali gus menaikkan peratusan penguasaan keupayaan wafer terpasang dunia. WSTS meramalkan industri semikonduktor secara amnya akan berkembang 89.9% pada tahun 2026 berikutan permintaan E&E dan pusat data (DC) yang berpacukan kecerdasan buatan (AI), dengan QYResearch mengunjurkan industri AMHS semikonduktor dunia akan meningkat pada kadar CAGR 5.4% sehingga 2031 kepada paras USD4.5bn.

Dengan mengoperasikan fasilitifasiliti wafer 300mm lebih awal daripada beberapa pesaing AMHS lain, Stratus berkedudukan baik untuk memanfaatkan fasa peningkatan ini, dibantu oleh Strategi Semikonduktor Nasional Malaysia dan Rancangan Malaysia yang Ke-13.

Ramalan dan penilaian

Kami memperoleh FV MYR1.55 dengan mengenakan P/E 24x pada EPS 6.45 sen untuk FY28F, selaras dengan P/E purata 5 tahun yang direkodkan oleh KLTEC dan CAGR perolehan tiga tahunnya 24% (PEG 1x). Risiko utama, penumpuan pada pelanggan tunggal, kitaran capex semikonduktor, hasil tidak menentu berasaskan projek, dan turun naik FX kerana hasilnya diniagakan dalam USD.

Perihal Syarikat

Stratus Global merupakan syarikat yang menyediakan penyelesaian automasi kilang yang bertapak di Pulau Pinang. Ia berkepakaran dalam penyelesaian sistem pengendalian bahan automasi (AMHS) bilik bersih bagi industri semikonduktor dunia.

Gambaran Am Kewangan Dan Penilaian

Gambaran Am Syarikat

Rancangan Dan Strategi Masa Depan

  • Pengembangan fasiliti.
  • Pengembangan perniagaan pasaran dari segi geografi
  • Pengembangan pasaran dalam rantaian nilai semikonduktor.

Butiran IPO

Risiko Utama

i. Ketiadaan perjanjian bekalan berjangka panjang;
ii. Kitaran capex semikonduktor;
iii. Penangguhan projek;
iv. Kebergantungan pada pasukan pengurusan utama dan jurutera berkepakaran;
v. Turun naik FX kerana hasil yang diniagakan dalam mata wang USD.