
Sub Topik
Perhatian pasaran pada minggu ini akan terarah kepada Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping, di mana pelabur terdesak untuk mendapatkan bukti-bukti positif hasil pertemuan dua pemimpin tersebut di Jepun pada hujung minggu ini.
S&P 500 mencapai paras tertinggi pada Khamis lalu (20 Jun 2019) selepas bank pusat Amerika Syarikat (Federal Reserve) menyatakan kesediaan mereka untuk memotong kadar faedah. Kenyataan yang berbaur ‘dovish’ itu adalah disebabkan risiko perang perdagangan Amerika Syarikat dan China yang semakin memuncak sehingga mengheret sektor teknologi ke kancah persaingan di antara dua kuasa besar itu.
Kenaikan di Wall Street memberikan kesan positif kepada pasaran Asia dan Eropah dengan harapan kos pinjaman yang lebih rendah dapat merancakkan lagi ekonomi. Namun, kedudukan pasaran saham tidak mungkin dapat bertahan jika tiada khabar gembira dalam mesyuarat negara Kumpulan-20 (G20).
Bagi meneruskan kenaikan dalam masa terdekat, syaratnya adalah pertemuan positif antara Trump dan Xi di mana mereka dijangka akan bertemu di Jepun dalam perhimpunan negara G-20 yang bermula pada hari Jumaat (28 Jun 2019).
Berikut adalah lima tema utama yang bakal mempengaruhi lanskap pasaran dunia global sepanjang minggu ini.
1. Mesyuarat Kumpulan Negara G-20

Geopolitik dunia pada separuh pertama tahun 2019 boleh dikatakan berlangsung tidak menentu terutamanya daripada segi perdagangan global sehingga memberi kesan kepada volatility (turun-naik) pasaran. Perang perdagangan AS-China dilihat semakin memuncak dan tidak menunjukkan sebarang petanda untuk reda dalam masa terdekat.
Harapan ketika ini adalah kepada pertemuan Trump-Xi dalam perhimpunan negara G-20 bagi menyelesaikan pertikaian yang telah berlangsung sejak tahun lalu. Walaubagaimanapun, ramai penganalisis meragui sama ada pertemuan dua pemimpin itu bakal membuahkan penyelesaian disebabkan pertikaian yang kini melangkaui soal tariff selepas halangan yang dikenakan terhadap Huawei.
Terbaru, Jabatan Perdagangan AS pada Jumaat (21 Jun 2019) yang lalu telah menambah beberapa lagi syarikat China yang terlibat dalam teknologi ketenteraan, masuk ke dalam senarai keselamatan kebangsaan “entity-list” yang menghalang mereka daripada membeli peralatan dari Amerika Syarikat.
2. Data Ekonomi Penting Amerika Syarikat

Beberapa data ekonomi penting dari Amerika Syarikat dijangka bakal mempengaruhi pasaran global pada minggu ini. Di antaranya adalah data keyakinan pengguna yang dikeluarkan oleh Conference Board (CB) pada hari Selasa (25 Jun 2019) pada pukul 10 malam.
Selain daripada itu, data tempahan barangan tahan-lama (Durable Goods) pula akan dikeluarkan pada hari Rabu (26 Jun 2019) pada pukul 8.30 malam. Data ini signifikan kepada pasaran, kerana ianya menunjukkan peningkatan pelaburan oleh syarikat swasta di Amerika Syarikat.
Paling penting pada minggu ini adalah data perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) yang menjadi keutamaaan Federal Reserve dalam mengukur inflasi. Data ini akan dikeluarkan pada hari Jumaat (28 Jun 2019) pada pukul 8.30 malam. Dengan kesediaan The Fed untuk menurunkan kadar faedah, data kali ini akan menjadi perhatian pasaran bagi melihat sejauh mana keyakinan bank pusat untuk melonggarkan kredit di Amerika Syarikat.
3. Data Inflasi Zon-Eropah

Data inflasi Zon-Eropah akan dikeluarkan pada hari Jumaat (28 Jun 2019) pukul 5 petang. Data terbaru ini dijangka akan mempengaruhi bank pusat Eropah (ECB) dalam menentukan halatuju dasar monetari di blok tersebut. Presiden European Central Bank (ECB), Mario Draghi pada minggu lalu menunjukkan kesediaan mereka untuk menambah rangsangan dalam ekonomi jika inflasi kekal lemah.
Inflasi di Zon-Eropah berada di bawah sasaran 2% sejak tahun 2013 dan data bulan Mei mencatat kadar inflasi di paras 1.2%.
Menurut
tinjauan, 80% daripada 45 penganalisis ekonomi menjangkakan bank pusat akan
memotong kadar deposit. Daripada jumlah itu, majoriti berpendapat kadar deposit akan
diturunkan pada mesyuarat ECB bulan September.
4. Pasaran Minyak Mentah Dan Iran

Minggu lalu, kita telah memperkatakan tentang serangan terhadap tangki minyak di Timur Tengah. Terbaru Presiden Trump pula mengarahkan serangan balas terhadap Iran selepas negara itu menjatuhkan dron Amerika Syarikat, tetapi telah menarik semula arahan tersebut pada saat akhir.
Sebagai balasan selepas serangan dron itu, Amerika Syarikat telah menambah sekatan yang lebih besar terhadap Iran pada hari Sabtu (22 Jun 2019). Ketegangan di Timur Tengah di antara Amerika Syarikat dan Iran telah melonjakkan harga minyak mentah sehingga 9% pada minggu lalu, terutamanya penanda aras West Texas Intermediate (WTI) yang merupakan kenaikan terbesar sejak November 2016.
Di antara peristiwa besar yang dinanti-nantikan para pelabur komoditi hitam adalah pertemuan di antara Presiden Trump dan Presiden Xi di Jepun, kerana ia juga bakal memperbaharui keyakinan pelabur kepada ekonomi global yang kian perlahan.
5. Bitcoin Mencecah $11,000 USD

Rally (kenaikan) yang berlangsung selama dua minggu berjaya menolak matawang kripto terbesar dunia iaitu Bitcoin, ke paras $11,000 USD pada minggu lalu. Matawang digital ini telah merekodkan 40% kenaikan dalam tempoh hanya dua bulan.
Ramai berpendapat kenaikan pasaran matawang digital ketika ini banyak dipandu oleh kemasukan Facebook ke pasaran ini dengan matawang digital Libra. Ia perkara sama yang berlaku dua tahun lalu, di mana kemasukan syarikat-syarikat besar dunia ke pasaran matawang digital banyak memangkin kenaikan pasaran secara keseluruhan.
Ada juga yang berpendapat, kecenderungan bank pusat global untuk melonggarkan dasar monetari turut menyumbang kepada kenaikan Bitcoin di mana pelabur beralih ke pasaran matawang digital.
Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.