Malaysia Airlines Jangka Penghantaran Lima Pesawat A330neo Menjelang Suku Pertama 2025


KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) — Malaysia Airlines menjangkakan penghantaran lima pesawat Airbus A330neo menjelang suku pertama 2025, selepas ketibaan A330neo pertamanya bulan depan, kata Pengarah Urusan kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Datuk Kapten Izham Ismail.

Beliau berkata dengan pesawat baharu itu kumpulan akan menggunakan pesawat A350 ke Paris, selain laluan utama semasa, iaitu ke London dan Doha.

“Perluasan (laluan) ke Paris tahun depan menandakan permulaan lembaran baharu yang menjanjikan, dipenuhi dengan potensi dan peluang,” katanya pada sidang media di Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia 2024 (MATTA Fair 2024) di sini hari ini.

Izham berkata walaupun Malaysia Airlines menghadapi beberapa rintangan, syarikat penerbangan itu sentiasa dalam keadaan berwaspada.

“Kami tetap komited sepenuhnya untuk mendapatkan semula keyakinan pelanggan kami dan memberikan pengalaman luar biasa yang  sewajarnya mereka terima.Transformasi sesebuah organisasi tidak datang sekelip mata, pastinya ia akan menempuh pelbagai cabaran.

“Kita tidak sepatutnya berselindung di sebalik tirai dan inilah yang dilakukan MAG. Cita-cita kami adalah untuk menjadi syarikat penerbangan yang hebat menjelang 2025,” katanya.

Sementara itu, Izham berkata keputusan MAG baru-baru ini untuk mengurangkan kapasiti sebanyak 20 peratus bagi memastikan kemampanan dan kebolehpercayaan operasi adalah perlu sejajar dengan wawasan jangka panjangnya dan mengemudi cabaran jangka pendek yang dihadapi.

“Malaysia Airlines ialah syarikat penerbangan yang selamat. Itulah sebabnya kami melakukan ini (untuk merasionalkan rangkaian),” katanya.

Izham menjelaskan bahawa terdapat banyak isu (untuk ditangani) selain tenaga kerja dan sumber seperti enjin, rantaian bekalan, kapal terbang yang semakin uzur dan kelewatan penghantaran pesawat baharu.

“Setiap tahun, kami melatih kira-kira 80 hingga 200 jurutera. Kami telah menaikkan gaji jurutera dengan ketara dan kenaikan gaji baru-baru ini adalah bulan lepas,” katanya.

Izham menekankan bahawa fokus kini adalah untuk mengutamakan pelanggan, memastikan jadual penerbangan yang boleh dipercayai, sambil memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik.

“Cabaran yang timbul ekoran kelewatan global dalam bahagian pesawat dan penghantaran baharu disebabkan isu rantaian bekalan menjejaskan keupayaan kami untuk beroperasi pada kapasiti penuh.

“Walaupun menghadapi rintangan, MAG proaktif dalam usaha untuk mengubah keadaan dan telah bekerjasama rapat dengan pengeluar peralatan asli (OEM) bagi memastikan penghantaran alat ganti tepat pada masanya dan boleh dipercayai sambil memastikan program penyelenggaraan pesawat yang komprehensif,” katanya. 

Izham berkata MAG bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menambah tenaga kerja dan meningkatkan tenaga kerja kejuruteraan mahirnya, dan pada masa yang sama, menambah baik pakej imbuhan untuk memantapkan bakal tenaga kerja kumpulan itu.

“MAG telah melaksanakan pelan penyelenggaraan yang komprehensif dan memberi tumpuan kepada pelaksanaannya. Operasi menunjukkan tanda-tanda peningkatan, dengan prestasi tepat masa meningkat daripada 85 peratus kepada 90 peratus dalam beberapa hari kebelakangan ini.

“Kami tetap komited untuk mencapai penstabilan penuh dan memulihkan rangkaian kami menjelang akhir tahun,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Maybank IB Unjur Harga Minyak Mentah US$70 Setong Pada 2025


KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) — Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengunjurkan harga minyak mentah Brent tidak menentu dan lebih lemah tahun ini iaitu pada purata US$70 setong berbanding US$80 setong tahun lepas.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Maybank IB berkata pasaran minyak mungkin menyaksikan lebihan bekalan kerana Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mungkin akan menarik balik pengurangan pengeluaran.

Bank pelaburan tersebut memetik laporan Unjuran Tenaga Jangka Pendek (STEO) daripada United States Energy Information Administration untuk November 2024 yang menyatakan pengeluar OPEC+ mungkin melaksanakan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari dalam tempoh 18 bulan, bermula April 2025.

“Namun, sebarang lonjakan dalam ketegangan geopolitik boleh meningkatkan premium perang ke atas harga minyak mentah disebabkan kebimbangan gangguan bekalan seperti yang kita lihat semasa krisis Rusia-Ukraine, apabila harga minyak meningkat sekitar 50 peratus (Brent: US$80 setong kepada US$120 setong),” katanya.

Bagi Malaysia, Maybank IB berkata perbelanjaan modal (capex) Petronas berpotensi lebih rendah serta ini bermakna banyak syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) yang berorientasikan domestik mungkin menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan pada 2025 selepas Petros dilantik secara rasmi sebagai pengagregat gas tunggal untuk Sarawak.

“Di bawah senario penangguhan capex Petronas, kami menjangkakan ini memberi impak kepada nama-nama OGSE yang terdedah dalam subsegmen penerokaan dan pembangunan, terutamanya kapal sokongan luar pesisir, fabrikasi luar pesisir, pelantar penggerudian serta pemasangan dan pengoperasian,” katanya.

Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pandangan positif terhadap sektor ini iaitu memihak kepada syarikat pengangkutan, penyimpanan dan pengagihan yang defensif dengan Dialog sebagai pilihan utama mereka.

Selain itu, ia memihak kepada pemain pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) yang bersedia untuk menyertai pelaburan capex global dalam bidang perairan laut dalam dan ultra dalam, dengan menamakan Bumi Armada sebagai pilihan utama mereka.

— BERNAMA