7 Perkara Di Sebalik MRTT Yang Tak Ramai Orang Tahu

Bagi pembeli rumah, mesti pernah dengar tentang MRTT (Mortgage Reducing Term Takaful) dan MLTT (Mortgage Level Term Takaful). Dan pada kebiasaannya, kita seolah-olah diwajibkan untuk mengambil salah satu sebelum pembiayaan perumahan kita diluluskan oleh pihak bank.

Baca: Apa Perbezaan Takaful Rumah MRTT Dengan MLTT?

Namun, tak ramai yang tahu apa sebenarnya di sebalik MRTT ini. Jom baca perkongsian menarik Tuan Adam Mustapha yang merupakan seorang perunding Takaful.

Pentingnya Ada Perlindungan

Saya dan isteri membeli rumah pertama kami pada tahun 2016. Setelah membuat sedikit tinjauan, kami memutuskan untuk membeli satu unit rumah teres dua tingkat di Serene Heights, sebuah projek perumahan oleh UEM Sunrise yang terletak di Semenyih.

Ketika itu saya baru sahaja melepaskan kerjaya saya eksekutif kanan di UEMS kerana mahu mengusahakan rumah penerbitan saya sendiri; satu keputusan yang sedikit pun tidak saya sesali.

Oleh sebab itu, pembiayaan rumah tersebut dibuat atas nama isteri, memandangkan dia bekerja tetap maka lebih mudah untuk mendapat kelulusan bank.

Setelah memohon daripada beberapa buah bank, kami akhirnya memutuskan untuk menerima tawaran daripada Bank Hari Hari Mau kerana kadar keuntungan yang dicaj mereka paling rendah berbanding yang lain.

Namun ada satu kejadian yang saya tidak boleh lupa sampai sekarang. Pegawai yang bertugas menguruskan pembiayaan kami itu mengesyorkan kami untuk mengambil MRTT bagi melindungi pembiayaan rumah tersebut sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Ketika itu pengetahuan saya tentang urusan pembelian rumah amatlah minimal, walaupun baru sahaja menghadiri kursus hartanah dengan Faizul Ridzuan ketika itu. Namun begitu saya sempat bertanya kepada rakan-rakan yang lebih arif dan kata mereka, saya boleh uruskan sendiri MRTT itu tanpa perlu melalui pihak bank.

Namun pegawai bank tersebut menyebut jika kami tidak mengambil MRTT ketika membuat permohonan pembiayaan, kadar keuntungan yang dicaj akan menjadi lebih tinggi.

Setelah berbincang, kami memutuskan untuk mengambil MRTT separuh sahaja dari nilai rumah yang kami beli, untuk tetap layak mendapatkan ‘diskaun’ pada caj yang dikenakan bank.

Kini, setelah menjadi Life Planner dan perunding takaful AIA, barulah saya faham apa yang terjadi lebih lima tahun yang dahulu tu.

Dan ini apa yang saya belajar:

1. Tak wajib pun ambil MRTT yang ditawarkan bank. Kalau pegawai bank tu tetap kata wajib, dia berbohong dan kau orang ada hak untuk laporkan pada pihak bank. Dan sekiranya ini berlaku, boleh cuba tips ni.

Beritahu pada pegawai bank tersebut, “Kalau macam tu takpelah, saya ambil dengan bank lain.” Tengok apa respon pegawai tu.

2. Walaupun kadar keuntungan yang dicaj bank menjadi sedikit lebih tinggi berbanding bila ambil MRTT dengan bank, jangan lupa bila kau orang ambil MRTT tu, ia dikira sekali dengan jumlah pembiayaan kau orang.

Maknanya kadar keuntungan yang dikenakan bank, dikenakan ke atas jumlah MRTT sekali!

3. MRTT selalunya tak lindungi keseluruhan nilai rumah; sama ada tak lindungi keseluruhan tempoh pembiayaan atau nilai rumah yang dibeli. Tak percaya?

Boleh tengok jadual MRTT dalam dokumen pembiayaan kau orang. Jarang sangatlah MRTT lindungi keseluruhan nilai rumah. Jadi ada jurang perlindungan (protection gap) yang besar di situ.

4. Nak ambil MRTT ok je, tiada masalah. Cuma kau orang kena pastikan yang kau orang jelas dan faham dengan semua syarat dan terma-terma yang dikenakan tu.

Tapi ambil juga MLTT (baca: hibah takaful) untuk melengkapkan MRTT kau orang tu.

MRTT boleh guna untuk bayar baki pembiayaan sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini manakala MLTT pula boleh tampung sekiranya MRTT tak mencukupi dan boleh beri pampasan segera kepada keluarga.

Percayalah, mereka akan memerlukannya!

5. Sebenarnya lebih untung apabila kau orang ambil MLTT (mortgage level term takaful) sebab dia lindungi keseluruhan nilai rumah dan tidak akan berkurang mengikut masa.

Jadi kalau rumah kau orang bernilai RM500,000 misalnya, bila kau orang ambil MLTT bernilai RM500,000, maka nilai itu akan kekal sebanyak itu sampai bila-bila.

6. Bila kau orang ambil MRTT dengan pihak bank, sekiranya berlaku kematian, maka wang itu akan diberikan kepada pihak bank terlebih dahulu untuk menyelesaikan baki pembiayaan dan barulah lebihan (jika ada) akan diberikan kepada waris.

Tetapi jika kau orang ambil MLTT dengan syarikat takaful, wang itu akan diberikan kepada waris terlebih dahulu. Wang tersebut bolehlah digunakan untuk perbelanjaan kecemasan atau perbelanjaan lain bagi meringakan beban keluarga yang telah ditinggalkan.

7. Urusan untuk menuntut MRTT bukannya sekejap. Boleh mengambil masa dari 3 bulan hinggalah ke setahun, barulah wang tersebut akan dilepaskan. Bila ambil MLTT dengan syarikat takaful, urusan tuntutan adalah sangat mudah dan pantas.

Dalam masa lima hari pun dah boleh dapat wang tersebut! Atas kesedaran inilah, tidak lama selepas saya menjadi Life Planner AIA, saya terus mengambil pelan MLTT dengan AIA berjumlah RM500,000 dan saya juga menyuruh isteri untuk turut mengambil pelan yang sama.

Jadi jumlah keseluruhan plan MLTT kami adalah RM1 juta. Itu belum lagi dikira plan hibah saya sedia ada yang berjumlah RM500,000 dan MRTT yang sudah diambil.

Boleh katakan saya berpuas hati dan lega dengan jumlah perlindungan yang telah kami sediakan. Alhamdulillah.

Mahal? Memang mahal bayar bulan-bulan, tapi saya tak kisah langsung sebab saya tahu itu satu keperluan dan bukannya beban.

Sekiranya apa-apa yang tidak diingini berlaku kepada saya, sekurang-kurangnya saya boleh berasa tenang mengetahui yang saya ada tinggalkan sejumlah wang buat keluarga tersayang untuk mereka teruskan kehidupan.

Rugi? Sedikit pun tak rugi. Sekiranya tiada apa-apa yang berlaku kepada saya, pertamanya alhamdulillah lah.

Kedua, dengan strategi yang betul, ada caranya untuk saya boleh dapat balik semua wang yang telah saya sumbangkan kepada plan ini apabila tiba tempoh matang nanti.

Jadi apa yang ruginya? Maka sangatlah penting untuk kau orang review plan pembiayaan kau orang untuk pastikan nilai rumah kau orang dilindungi secukupnya.

Malang tu tak pernah berbau kan?

Kredit: FB Adam Mustapha

Previous ArticleNext Article

Kenapa Ejen Insurans & Takaful Banyak Sangat ‘Award’?

Pernah tak anda tengah sedap melayan TikTok atau Instagram Reels, tiba-tiba lalu video rakan anda yang bergelar ejen insurans atau takaful? Video bukan biasa-biasa ya. Siap ada suntingan transisi slow-motion, berjalan penuh gaya atas permaidani merah pakai tuxedo atau gaun labuh, pegang trofi berkilat sebesar lengan dan diiringi muzik latar belakang jenis yang menaikkan bulu roma.

Bagi orang luar, situasi ini kadangkala menimbulkan persoalan: “Eh, bulan lepas rasa dah menang award, bulan ni ada award lagi? Bukan ke syarikat atau agensi mereka sendiri yang buat anugerah tu?”

Jangan salah faham. Di sebalik budaya yang nampak seperti “puji diri sendiri” atau acah-acah selebriti ini, sebenarnya ada strategi psikologi perniagaan yang sangat mendalam. Jom kita bedah kenapa industri ini dipenuhi dengan anugerah yang luar biasa.

1. Produk ‘Ghaib’ yang Sukar Dijual

Tidak seperti ejen hartanah yang menjual rumah, atau peniaga gajet yang menjual barang yang boleh disentuh, penasihat kewangan dalam industri insurans dan takaful berdepan dengan cabaran yang jauh lebih getir. Mereka sebenarnya sedang menjual satu produk yang bersifat intangible iaitu janji, ketenangan minda (peace of mind) dan perlindungan risiko masa hadapan.

  • Manusia secara psikologinya berat membelanjakan wang untuk sesuatu yang mereka harap tidak akan guna (seperti musibah atau kematian).
  • Disebabkan cabaran jualan (rejection rate) yang sangat tinggi, tahap tekanan dalam industri ini amat luar biasa. Anugerah yang kerap inilah yang menjadi ‘talian hayat’ untuk mengekalkan momentum dan membakar semangat mereka.

2. Budaya ‘Self-Reward’ untuk Menggantikan Gaji Tetap

Berbeza dengan pekerja makan gaji di sektor korporat biasa, majoriti ejen insurans dan takaful beroperasi atas dasar komisen penuh. Di sebalik gaya hidup mewah yang sering ditonjolkan, realitinya mereka tidak mempunyai jaringan keselamatan (safety net) seperti pekerja biasa:

Tiada Slip Gaji Tetap: Pendapatan mereka pada bulan itu adalah cerminan terus kepada usaha dan jualan mereka pada bulan tersebut. Jika tiada jualan, maka tiada lah pendapatan.

Tiada Bonus Tahunan Automatik: Pekerja makan gaji biasanya menanti bonus hujung tahun berdasarkan prestasi syarikat. Bagi ejen, ‘bonus’ mereka perlulah diusahakan sendiri melalui pencapaian KPI jualan tertentu yang telah ditetapkan.

Tiada Kenaikan Pangkat Tradisional: Dalam struktur pejabat biasa, anda bekerja keras untuk naik pangkat daripada Eksekutif ke Pengurus berdasarkan kekosongan jawatan. Dalam industri ini, kenaikan pangkat (contohnya menjadi Group Agency Manager) ditentukan sepenuhnya oleh berapa ramai ejen baru yang mereka bawa masuk dan berapa besar jumlah jualan kumpulan.

Memandangkan agensi mereka beroperasi seperti sebuah perniagaan sendiri, mereka mencipta sistem ganjaran dalaman untuk menghargai usaha setiap ejen, dari sekecil-kecil pencapaian bulanan sehinggalah anugerah global seperti MDRT (Million Dollar Round Table).

3. Pemasaran Media Sosial (Personal Branding)

Mungkin ada yang memandang sinis apabila melihat ejen memuat naik video berjalan di permaidani merah dengan suntingan video video ala selebriti, diiringi muzik latar yang penuh dramatik, serta berkongsi ucapan motivasi yang panjang lebar. Namun, dalam dunia perniagaan moden, ini bukan sekadar suka-suka tetapi adalah strategi penjenamaan diri (personal branding).

Dalam industri kewangan, prinsip asasnya mudah: “Orang tidak membeli produk, orang membeli siapa penjualnya.” Di sinilah mengapa elemen video gempak dan ucapan motivasi itu mainkan peranan besar.

Apabila seorang ejen menonjolkan diri mereka menerima anugerah, secara tidak langsung ia memberi isyarat kepada bakal pelanggan bahawa: “Aku ejen yang aktif, berprestasi tinggi, dan tak akan ‘hilang’ bila korang nak buat tuntutan (claim) nanti.” Video gempak itu adalah marketing tool untuk menarik pelanggan dan juga rekrut baru.


Budaya bersorak, memberi ucapan motivasi dan meraikan satu sama lain mungkin kelihatan agak ‘over-the-top’ bagi orang luar. Namun bagi warga industri kewangan, itulah bahan api yang memastikan mereka kekal bertahan dalam industri yang penuh dengan penolakan demi mencari rezeki.

Sama ada kita suka atau tidak dengan pendekatan pemasaran mereka, satu perkara yang pasti: strategi psikologi ini terbukti berkesan memacu industri ini untuk terus berkembang saban tahun.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anugerah seseorang ejen itu penting bagi anda sebelum mengambil polisi takaful?