7 Portfolio Hartanah Milik Amanah Harta Tanah PNB (AHP)

Buat pengetahuan anda, Amanah Harta Tanah PNB atau (AHP) merupakan sebuah Amanah Pelaburan Hartanah (REIT).

AHP bukan sahaja memiliki hartanah komersial, tetapi juga menguruskannya. Ia merangkumi pejabat, ruang runcit dan merupakan salah satu REIT yang ternama di Malaysia.

Baca : Miliki Hartanah Secara Tidak Langsung Dengan Melabur Ke Dalam REIT

Diasaskan pada 21 Mac 1989 dan mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Disember 1990.

Amanah Harta Tanah PNB telah berjaya membuktikan kredibiliti mereka dalam pelaburan hartanah dari segi pulangan dan pertumbuhan modal jangka panjang.

Kadar dividen AHP adalah menunjukkan turun naik yang dinamik semenjak tahun 2010 sehingga 2019.

Pada tahun 2019, kadar dividen AHP adalah 5.75 sen, 2018 pada kadar 5.63 sen, 5.20 sen pada 2017 dan 4.50 sen pada tahun 2016.

Jumlah pendapatan AHP pada tahun 2019 adalah pada angka RM31.2 juta dengan keuntungan RM12.8 juta dan margin keuntungan adalah pada nisbah 40.9%.

Baca : Dividen Real Estate Investment Trust (REIT) Ni Tinggi Ke?

Untuk rekod, pendapatan AHP telah meningkat sebanyak dua kali ganda daripada RM6.3 juta pada tahun 2016 kepada RM12.4 juta pada tahun 2018.

Ketika ini, AHP memegang 7 portfolio hartanah dengan nilai ratusan juta ringgit.

Berikut merupakan 7 portfolio hartanah milik Amanah Harta Tanah PNB. Setakat ini, AHP memiliki dan mengurus tujuh hartanah pelaburan dengan kadar purata sewaan sebanyak 86.3%.

Baca : Kenali Kaunter REIT Patuh Syariah Di Bursa Malaysia

Portfolio hartanah milik AHP ini tidak terbatas di Lembah Klang dan Semenanjung Malaysia sahaja, sebaliknya turut melibatkan hartanah di Sabah.

Jom kita tengok 7 Portfolio Hartanah Milik Amanah Harta Tanah PNB seperti berikut:

1. Plaza VADS, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

Plaza VADS merupakan sebuah bangunan pejabat 24 tingkat dengan 4 tingkat podium yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).

Lokasinya terletak berhadapan dengan MRT TTDI (SBK) dan mempunyai keluasan 248,276 kaki persegi.

Kos perolehan adalah RM45.9 juta pada 21 Mac 1989. Nilai terakhir pada 3 Disember 2018 adalah RM139 juta.

Penyewa utama bangunan ini adalah VADS Berhad dan LYC Mother & Chid Centre Sdn Bhd. Dengan 431 ruang parkir, kadar purata sewaan bangunan ini adalah RM3.02 / kaki persegi.

2. Bangunan AHP, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

Bangunan AHP merupakan sebuah hartanah komersial 4 tingkat dengan 200 ruang parkir.

Lokasinya terletak di pusat Taman Tun Dr. Ismail ini diperoleh pada 21 Mac 1989 pada harga RM16.3 juta dan niilai terakhir pada 3 Disember 2018 adalah RM44.3 juta.

Penyewa utama hartanah ini adalah Affin Hwang Investment Bank, Optimax Eye Specialist Centre Sdn Bhd dan Maybank. Kadar purata sewaan adalah RM3.92 / kaki persegi.

3. Sri Impian, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur

Bangunan ruang pejabat 4 tingkat ini terletak di Taman Setiawangsa berdekatan Melawati Mall.

Diperoleh pada 15 Mei 1996 dengan nilai RM13.3 juta dan nilai akhir pada 1 Oktober 2018 adalah RM15 juta.

Dengan keluasan yang boleh disewa adalah 38,290 kaki persegi, Geo Global Management Sdn Bhd merupakan penyewa utama hartanah ini.

Hanya terdapat 11 ruang parkir dan kadar sewaan adalah RM2.40 / kaki persegi.  

4. Mydin Hypermarket Seremban 2, Negeri Sembilan

Bangunan 3 tingkat dengan keluasan 390,803 kaki persegi ini mempunyai 1070 ruang parkir di bahagian atas dan 384 di bawah tanah.

Diperoleh pada 27 April 2015 dengan nilai RM240 juta, nilai akhir pada 3 Disember 2018 adalah RM253 juta.

Penyewa utama bangunan ini adalah Mydin Holdings Berhad dengan kadar purata sewa adalah RM3.58 / kaki persegi.

5. No. 30, Jalan Wan Kadir , TTDI

Bangunan 3 tingkat pejabat dan ruang runcit ini diperoleh pada 16 Oktober 1995 dengan nilai RM910,000.

Terletak berhadapan dengan MRT TTDI dan Plaza VADS, nilai akhir hartanah ini setakat tahun 2018 adalah RM4.5 juta.

Kadar purata sewa adalah RM2.34 / kaki persegi dan Rozel Corporation Sdn Bhd dan Skylace Sdn Bhd merupakan penyewa utama hartanah ini.

6. Ruang Pejabat 4 Tingkat, Pusat Bandar Melawati

Dengan keluasan yang boleh disewakan 6,705 kaki persegi, hartanah ini diperoleh pada tarikh 30 Ogos 1996 pada harga RM713,000.

Nilai terakhir pada tahun 2018 adalah RM2.1 juta dengan penyewa tunggal adalah ARH Juruukur Bahan Sdn Bhd.

7. Asia City, Kota Kinabalu

AHP memiliki dan mengurus tingkat bawah dan tingkat pertama Blok G, Asia City yang terletak di pusat badnar Kota Kinabalu, Sabah ini.

Ruang yang boleh disewakan adalah 3,100 kaki persegi dan hartanah ini diperoleh pada 12 Disember 1995 dengan nilai RM1.65 juta

Nilai akhir hartanah ini pada tahun 2018 adalah RM1.9 juta dan penyewa tunggal adalah Amanah Saham Nasional Berhad.

Baca : Top 10 Unit Trust Patuh Syariah Yang Beri Pulangan Tertinggi Dalam Masa 10 Tahun

Sungguhpun berdepan dengan situasi pasaran yang tidak menentu dan mencabar, AHP masih mampu memberikan pulangan yang positif kepada pelabur REIT.

Sekiranya anda berminat untuk melabur dalam hartanah tanpa perlu memiliki sebarang hartanah dan juga memohon pembiayaan pinjaman, REIT adalah jawapannya!

Sumber Rujukan:

  1. AHP
  2. The Edge
  3. Malaysia Stock Biz
  4. The Malaysian Reserve

*Ini adalah contoh untuk pelaburan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT). Namun, Amanah Harta Tanah PNB (AHP) adalah tidak patuh syariah ya.

Untuk pengetahuan, ada 4 REIT patuh syariah yang boleh dibeli di pasaran saham Malaysia. Nak tahu lebih lanjut, boleh rujuk Kenali Kaunter REIT Patuh Syariah Di Bursa Malaysia.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Belanjawan 2026: Membina Pasaran Perumahan Masa Depan untuk Malaysia

Ketika rakyat menantikan Belanjawan 2026, pasaran hartanah berada di persimpangan yang penting. Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan sasaran reformasi perumahan bercita-cita tinggi, termasuk penyediaan sejuta rumah mampu milik menjelang 2035. Namun, ujian sebenar adalah memastikan aspirasi ini diterjemahkan kepada langkah-langkah yang menangani keadaan pasaran semasa. Data pasaran terkini menunjukkan wujud cabaran dan juga peluang. Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jumlah transaksi hartanah Malaysia menurun 1.3% pada separuh pertama 2025 kepada 196,232 transaksi, manakala nilai transaksi meningkat 1.9% kepada RM107.68 bilion. Angka ini menunjukkan sebuah pasaran bercampur, dengan jumlah transaksi lebih rendah tetapi nilai keseluruhan lebih tinggi, mencerminkan sentimen pembeli yang berhati-hati tetapi harga kekal berdaya tahan. Ini menandakan pasaran menunggu kejelasan dan sokongan yang lebih kukuh.

Kami mendapati permintaan terhadap rumah mampu milik kekal kukuh, khususnya untuk kediaman berharga bawah RM300,000. Sehingga September 2025, lebih 20,500 hartanah di seluruh negara disenaraikan di PropertyGuru di bawah paras harga ini, dengan kira-kira 2,500 di Kuala Lumpur sahaja. Namun, kebanyakan rumah ini adalah stok sedia ada, terletak jauh daripada kemudahan pengangkutan awam, atau memerlukan renovasi besar — menekankan bahawa kemampuan bukan sekadar tentang harga.

Kemampuan Perumahan

Perumahan mampu milik bukan sekadar mencapai sasaran angka, tetapi memastikan rumah benar-benar berada dalam jangkauan isi rumah. NAPIC melaporkan harga rumah purata di Malaysia pada separuh pertama 2025 adalah RM486,070, jauh melebihi tahap mampu milik untuk ramai keluarga B40 dan M40 bawahan. Berdasarkan paras pendapatan, rumah di bawah RM300,000 dianggap mampu milik, namun penawarannya di lokasi strategik masih terhad.

Data platform kami menunjukkan ketahanan positif dalam tingkah laku pembeli. Carian untuk rumah bawah RM300,000 melonjak 27.3% dari April hingga Jun 2025 dan kekal stabil sepanjang Julai, mencerminkan kesan positif sokongan dasar dan kestabilan sentimen. Walaupun terdapat penurunan antara Disember 2024 hingga September 2025, di mana carian untuk rumah bawah RM300,000 susut 8.7% akibat ketidaktentuan ekonomi, lonjakan semula ini membuktikan rakyat Malaysia cepat kembali apabila mereka melihat peluang dan kestabilan di pasaran.

Lokasi tetap menjadi faktor kritikal. Permintaan tertinggi bagi rumah mampu milik adalah di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang — negeri-negeri dengan tumpuan pekerjaan, infrastruktur dan kemudahan. Belanjawan 2026 boleh memberi impak besar dengan menggalakkan pembangunan rumah berharga sederhana yang berhubung dengan pengangkutan awam di koridor berpermintaan tinggi. Sementara itu, skim Sewa-untuk-Milik (RTO) boleh menjadi jambatan praktikal untuk banyak keluarga. Bagi isi rumah B40, di mana tahap mampu sewa sekitar RM1,500, skim RTO yang berstruktur baik boleh membuka laluan ke arah pemilikan rumah sambil menangani keperluan perumahan mendesak.

Menyelaraskan Penawaran Dengan Permintaan Sebenar

Cabaran perumahan di Malaysia adalah memastikan penawaran mencukupi dan seiring dengan keperluan pembeli rumah. Sebahagian projek masih menyasarkan harga lebih tinggi, menyebabkan jurang dalam segmen pertengahan di mana majoriti pembeli berpotensi sedang mencari. Menurut NAPIC, pelancaran perumahan baharu menurun sebanyak 46% pada separuh pertama 2025 kepada 23,380 unit, berbanding 43,167 unit pada separuh pertama 2024. Pada masa yang sama, jumlah rumah siap yang tidak terjual meningkat 16.3% kepada 26,911 unit bernilai RM18.6 bilion.

Belanjawan 2026 berpeluang merapatkan jurang ini. Menyokong projek berharga sederhana di koridor bandar berpermintaan tinggi, menggalakkan pembangunan semula kawasan terbiar, serta mempercepatkan kelulusan melalui digitalisasi dan garis masa yang lebih jelas akan memastikan penawaran baharu lebih mencerminkan realiti isi rumah Malaysia.

Perumahan Mampan dan ESG

Kemampuan sahaja tidak akan menjamin masa depan sektor perumahan Malaysia. Semakin ramai rakyat Malaysia mahukan rumah yang bukan sahaja mampu milik, tetapi juga lestari, cekap tenaga dan bertanggungjawab secara sosial. Projek di pasaran kebelakangan ini menunjukkan pemaju mula mengintegrasikan prinsip tersebut ke dalam projek mereka, daripada mengekalkan kawasan hijau yang luas dalam pelan induk perbandaran kepada menggabungkan ciri bandar rendah karbon dan pintar yang meningkatkan kebolehdiaman sambil mengurangkan impak alam sekitar.

Pada masa yang sama, bangunan baharu mencapai pensijilan hijau tertinggi, menampilkan kemajuan dalam reka bentuk yang memberikan manfaat nyata dari segi kecekapan tenaga, air dan sumber. Perkembangan ini membuktikan bahawa kelestarian bukan sekadar ideal, tetapi piawaian yang boleh dicapai dan ditingkatkan dalam sektor ini. Ini sejajar dengan keutamaan ESG global serta boleh mengurangkan kos jangka panjang isi rumah sambil melindungi nilai aset.

Belanjawan 2026 boleh mempercepatkan peralihan ini dengan memberi insentif terhadap penggunaan teknologi binaan hijau, daripada panel solar di bumbung dan sistem penjimatan air kepada Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang mengurangkan pembaziran dan mempercepatkan pembinaan. Pada masa yang sama, dasar yang menggalakkan pengubahsuaian stok rumah sedia ada dengan penambahbaikan penjimatan tenaga dapat mengurangkan kos utiliti bulanan untuk keluarga dan memanjangkan jangka hayat hartanah lama.

Aspek sosial ESG juga penting. Membentuk kerangka komuniti campuran yang layak didiami dengan sokongan pengangkutan, pendidikan, dan penjagaan kesihatan akan memastikan dasar perumahan menyumbang kepada matlamat nasional yang lebih inklusif dan mobiliti sosial. Pendedahan lebih telus tentang piawaian prestasi bangunan, termasuk penarafan tenaga dan kesihatan dana penyelenggaraan, juga akan meningkatkan keyakinan pembeli serta menggalakkan pengurusan aset yang lebih baik.

Dengan mengintegrasikan pertimbangan ESG dalam dasar perumahan, Malaysia boleh membina bukan sahaja lebih banyak rumah, tetapi rumah yang lebih baik — cekap, berdaya tahan dan seiring dengan trajektori pembangunan jangka panjang negara di bawah RMK13.

Memperkasakan Ekosistem Perumahan

Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen fiskal. Ia adalah peluang untuk mencerminkan realiti pasaran dan aspirasi rakyat Malaysia. Dengan memberi tumpuan kepada kemampuan, menyelaraskan penawaran dengan permintaan sebenar, dan menempatkan kelestarian dalam perumahan, kerajaan dapat memastikan visi RMK13 diterjemahkan kepada hasil yang nyata.

Di PropertyGuru dan iProperty, kami kekal komited untuk bekerjasama dengan pembuat dasar, pemaju, dan institusi kewangan bagi menyediakan pandangan serta alatan digital yang membantu rakyat Malaysia membuat keputusan pemilikan rumah dengan yakin. Belanjawan 2026 boleh menjadi asas kepada ekosistem perumahan yang telus, inklusif, dan berdaya tahan — di mana setiap rakyat Malaysia mempunyai pilihan sebenar, dan peluang yang adil, untuk memiliki rumah.