Lima Tema Utama Yang Bakal Menggerakkan Pasaran Pada Minggu Ini (20-24 April 2020)

Pasaran Wall Street mengakhiri dagangan pada minggu lalu dengan meyakinkan dengan merekodkan kenaikan selama dua minggu berturut-turut sejak bulan Februari.

Dow Jones Industrial Average (DJIA) menokok 2.99% iaitu kenaikan dua minggu berturut-turut sejak 9 Februari 2020. Indeks S&P 500 yang mengumpulkan 500 buah syarikat besar di Amerika Syarikat pula naik 2.68%, manakala indeks Nasdaq ditutup 1.38% lebih tinggi pada Jumaat (18 April).

Ketika ini pentadbiran White House sedang memperhalusi rancangan untuk membuka semula aktiviti ekonomi secara beransur-ansur dalam usaha mengurangkan impak penularan Covid-19 terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Walaupun dengan peningkatan pasaran saham ketika ini, pengangguran di seluruh dunia kini menjadi kebimbangan pelabur.

Lebih daripada 5.2 juta rakyat Amerika Syarikat membuat tuntutan faedah pengangguran dalam laporan mingguan yang diumumkan oleh Jabatan Buruh pada Khamis (16 April 2020).

Ini juga adalah minggu keempat di mana data ini mencatat bacaan lebih daripada tiga juta pengangguran di Amerika Syarikat yang membawa jumlah semasa kepada 22 juta pengangguran di negara itu sejak pertengahan bulan Mac 2020.

Pentadbiran Presiden Trump bakal mengemukakan cadangan kepada gabenor-gabenor di negara itu tentang panduan bagaimana mereka patut membuka semula ekonomi di negeri masing-masing. Walaubagaimanapun, Trump mahu ia dilakukan dengan cukup berhati-hati dan mengakui tidak semua negeri dapat melonggarkan kawalan pergerakan dalam masa yang sama.

Berikut adalah lima catalyst yang akan menjadi perhatian pelabur sepanjang minggu ini.

1. Tren Penularan Semasa Wabak Covid-19

Tren penularan koronavirus di Amerika Syarikat dan Eropah semakin perlahan dengan pusat penyebaran Covid-19 di AS iaitu New York melaporkan jumlah kematian terendah sejak dua minggu lalu pada Ahad (19 April 2020). Gabenor Andrew Cuomo berharap negeri yang ditadbirnya itu mungkin telah melepasi tempoh sukar buat masa ini.

Jumlah kematian di Sepanyol juga berkurangan dengan hanya 410 mangsa pada hari Ahad berbanding 565 kematian pada hari sebelumnya. Ini adalah jumlah kematian terendah sejak 22 Mac 2020.

Iran antara negara paling terkesan pada awal penularan Covid-19 dua bulan lalu telah melonggarkan langkah kawalan di negara itu. Iran telah membuka sebahagian ibu negaranya Tehran hanya kepada perniagaan yang berisiko rendah kepada penularan koronavirus.

Sebagai pelabur atau pedagang, perkembangan pandemik Covid-19 perlu diteliti dari hari ke hari kerana ia adalah catalyst utama kepada pergerakan pasaran saham global. Oleh itu, jika situasi bertambah positif terutamanya di Amerika Syarikat, Eropah dan China; kita bakal melihat pemulihan dalam ekonomi global secara keseluruhannya.

2. Prestasi Semasa Aktiviti Ekonomi Zon-Eropah

Kita bakal melihat kesan sebenar penularan Covid-19 terhadap ekonomi di Zon-Eropah dalam data yang bakal dikeluarkan pada minggu ini. Ia adalah data Purchasing Manager Index (PMI) bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan yang akan dikeluarkan pada hari Khamis (23 April 2020) sekitar pukul 4 petang.

Bacaan indeks PMI penting kerana ia adalah petunjuk awal tentang keadaan semasa kesihatan ekonomi. Tinjauan PMI ini dibuat terhadap perniagaan dan juga pengurus pembelian yang mana sering terkesan lebih awal jika ada perubahan ekonomi.

Indeks komposit PMI di Zon Eropah yang menggabungkan bacaan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan pada bulan lalu merudum ke paras terendah 29.7 (Mac) berbanding 51.6 yang direkodkan pada bulan sebelum itu.

Bagi bacaan kali ini, penganalisa ekonomi meramalkan bacaan aktiviti perniagaan di Eropah akan terus merudum daripada 29.7 kepada 26.

3. Keadaan Pasaran Komoditi Hitam

Dalam perkembangan pasaran minyak mentah, penanda aras West Texas Intermediate (WTI) kekal tertekan apabila jatuh ke paras lebih rendah berbanding sebelum mesyuarat OPEC baru-baru ini. Minyak WTI jatuh ke paras harga US$17.31 setong dalam penutupan pasaran pada minggu lalu.

Tiada apa yang dapat menaikkan harga walaupun pasaran saham global telah membuat kenaikan didorong oleh tren penurunan kes Covid-19 dan juga keputusan OPEC dan negara bukan ahli OPEC telah bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah mereka.

Walaupun OPEC dan negara bukan ahli seperti Russia bakal mengurangkan pengeluaran sebanyak 10 juta tong bermula bulan Mei ini, harga minyak terus jatuh kerana pasaran merasakan jumlah itu tidak mencukupi.

Untuk rekod, pandemik Covid-19 telah menyebabkan pengurangan permintaan minyak sebanyak 30 juta tong sehari di dunia.

4. Data Ekonomi Amerika Syarikat

Minggu ini perhatian masih terarah kepada jumlah tuntutan pengangguran yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh AS pada hari Khamis (24 April 2020) dengan jumlah pengangguran yang direkodkan mencecah 22 juta orang dalam tempoh empat minggu.

Data ekonomi penting dari Amerika Syarikat paling banyak dikeluarkan pada minggu ini dengan bacaan indeks sektor pembuatan akan diumumkan pada hari Khamis diikuti data jualan runcit dan tempahan barangan tahan lama (Durable Goods) pada hari Jumaat (24 April).

Pihak bank pusat AS (Federal Reserve) akan berada dalam mod ‘blackout‘ pada minggu ini menjelang mesyuarat yang akan berlangsung pada minggu hadapan (29 April). Mod blackout bermaksud di mana ahli-ahli bank pusat tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan ekonomi khususnya dasar monetari pada minggu ini.

5. Laporan Pendapatan Di Wall Street

Hampir 100 buah syarikat dalam indeks S&P 500 dijangka akan mengumumkan pendapatan syarikat sepanjang suku pertama tahun 2020 pada minggu ini. Ini termasuklah syarikat industri berat, teknologi, dan barangan pengguna seperti Netflix, Coca-Cola dan Verizon.

Di antara yang akan melaporkan pendapatan adalah syarikat-syarikat yang paling buruk terkesan oleh pandemik Covid-19 termasuklah Delta Airlines dan Southwest Airlines.

Tentunya laporan pendapatan kali ini dijangka tidak memberangsangkan disebabkan penularan wabak ini. Sejauh mana kesan negatif pandemik ini terhadap pendapatan syarikat pada suku pertama, bakal terungkap pada minggu ini.

Pelabur-pelabur juga akan mendapatkan sebarang maklumat tentang seberapa awal perniagaan-perniagaan ini akan kembali beroperasi dalam skala penuh dan juga bilakah prestasi kewangan mereka kembali pulih selepas tertekan pada suku pertama 2020.

Sumber Rujukan:

Disediakan oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.