Sumbangan MSM Malaysia Timur Naik Berganda Sejak 1995 — Bursa Malaysia

KOTA KINABALU, 12 Okt (Bernama) —  Sumbangan Malaysia Timur kepada jumlah pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) negara telah melonjak kepada 46 peratus pada 2021 berbanding 22 peratus yang dicatatkan semasa 1995, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia dan Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives Datuk Muhamad Umar Swift. 

Pelancaran kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) pada Oktober 2021 merupakan pencapaian penting dalam usaha memenuhi keperluan lindung nilai dan dagangan pemain minyak boleh dimakan antarabangsa, katanya. 

“Kontrak FEPO bertujuan memberikan ketelusan harga yang lebih besar bagi MSM di Sabah serta Sarawak. Ketelusan harga yang didayakan oleh FEPO membolehkan pengeluar MSM menjual pada harga yang kompetitif dan untuk pemain hiliran menguruskan turun naik harga bahan mentah mereka dengan lebih baik.

“Oleh itu, ini akan meningkatkan margin penapisan serta daya saing dalam menjual produk akhir kepada pelanggan,” katanya dalam ucapan alu-aluannya pada persidangan serta pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik Malaysia Timur di sini hari ini. 

Turut hadir adalah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, Timbalan Menteri Perusahaan Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Martin Ben serta pemangku Pengarah Bursa Malaysia Derivatives Mohd Saleem Kader Bakas.

Muhamad Umar berkata pengenalan Spread Antara Komoditi Bursa Malaysia membabitkan kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) dan FEPO pada 3 Okt lepas membolehkan pelaksanaan dagangan spread yang lancar antara kedua-dua kontrak dengan hanya satu klik.

Beliau berkata semua peniaga kini boleh membuat transaksi mudah dalam pelbagai dinamik pasaran Malaysia antara Semenanjung dan Malaysia Timur melalui Spread Antara Komoditi.

Semua kontrak FCPO dan FEPO memerlukan penghantaran fizikal untuk diperakui Minyak Sawit Mampan Malaysia, sejajar dengan matlamat Bursa Malaysia bagi mewujudkan pasaran yang lestari.

“Ini menjadikan ianya sebagai kontrak derivatif komoditi pertama yang dihantar secara fizikal di dunia dengan keperluan mampan yang dimandatkan untuk penghantaran,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapannya yang disampaikan oleh Masidi berkata harga MSM di Sabah meningkat 26.8 peratus untuk mencecah RM5,372.50 satu tan dalam tempoh lapan bulan bermula Januari hingga Ogos tahun ini berbanding RM4,505.50 satu tan tahun lepas.

Hajiji berkata nilai eksport bagi tempoh lapan bulan tahun ini menokok sebanyak RM5.87 bilion atau 53 peratus untuk mencecah RM16.94 bilion daripada RM11.08 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Sembilan kilang penapis minyak sawit kini beroperasi di Sabah dengan kapasiti pemprosesan sebanyak 7.48 juta tan setahun, dengan dua kilang biodiesel beroperasi bagi menghasilkan 300,000 tan biobahan api berasaskan sawit setiap tahun.

“Dari Januari hingga Ogos tahun ini, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain berjumlah 3.04 juta tan, naik 58,343 tan daripada 2.98 juta tan yang disaksikan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini,” katanya.

— BERNAMA

Baca artikel: https://thekapital.my/sumbangan-msm-malaysia-timur-naik-berganda-sejak-1995-bursa-malaysia/

Previous ArticleNext Article

Perladangan: Inventori Susut Kepada 2.2 Juta Tan Apabila Eksport Menaik

Saham Pilihan Utama: Johor Plantations Group (JPG), Sarawak Oil Palms (SOP), IOI Corp (IOI), London Sumatra Indonesia (LSIP), SD Guthrie (SDG) dan First Resources (FR)

Pada Mac, inventori minyak sawit (PO) Malaysia merosot kepada 2.27j tan. Paras inventori dijangka terus berada sekitar paras 2j tan kerana permintaan sepatutnya tetap kukuh memandangkan CPO diniagakan lebih rendah daripada minyak sayuran lain. Kami mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap sektor ini, dan menyarankan para pelabur untuk terus berpegang pada dagangan positif.

Tahap pengeluaran menokok 7.2% MoM (-0.8% YoY) pada Mac

Lalu membawa pertumbuhan keluaran sejak awal 2026 hingga Mac kepada 11.1% YoY. Kenaikan MoM ini datang daripada ketiga-tiga wilayah yang didahului oleh Sarawak (+14.1%), Sabah (+7.4%) dan Semenanjung Malaysia (4.3%). Pertumbuhan YoY disokong oleh Sabah (+8.2%) and Sarawak (+0.6%), manakala pertumbuhan susut kepada 4.9% YoY di Semenanjung Malaysia.

Untuk Indonesia, data daripada Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI) hanya sehingga bulan Dis 2025, dengan keluaran CPO meningkat 8.7% pada awal 2025 hingga Dis. Dengan kenaikan keluaran tidak dijangkakan pada Mac, kita mungkin akan mencapai paras puncak dengan lebih awal tahun ini melainkan kejadian cuaca melampau berlaku. Kebarangkalian untuk kejadian El Nino berlaku kini mencecah 72-80% untuk Jun-Ogos 2026.

Eksport bagi Mac 2026 melambung naik 40.7% MoM (+54.3% YoY)

Lantas meningkatkan pertumbuhan eksport YTD-2026 kepada +28.4% YoY. Kenaikan secara MoM ini rata-ratanya telahpun diramalkan berlaku kerana CPO didagangkan pada harga purata yang lebih rendah sebanyak USD316/tan daripada minyak kacang soya (SBO) pada Mac 2026 (berbanding USD233/tan pada Feb 2026) walaupun pada harga diskaun lebih kecil sebanyak USD222/tan berbanding minyak bunga matahari (SFO) (berbanding USD297/tan pada Feb 2026). Kami ramalkan momentum eksport ini akan terus bertahan didorong oleh harga semasa CPO yang rendah bernilai USD325/tan berbanding SBO dan USD190/tan berbanding SFO, yang dapat menggalakkan minat membeli daripada negara-negara yang sensitif harga.

Pengimport menunjukkan minat bercampur baur pada Mac

Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia, paras stok untuk Feb 2026 masih lagi belum tersedia. Walaupun
kenaikan MoM dalam eksport Malaysia mungkin menandakan berlakunya beberapa kegiatan penambahan semula stok, kami ingin menekankan bahawa import PO India menyusut hampir 19% pada Mac kepada paras terendah dalam 3 bulan memandangkan ia menangguhkan pembelian kerana harga yang tinggi. Makluman: Kegiatan pembelian akan masih terarah kepada PO Indonesia berikutan struktur cukainya yang lebih menguntungkan (kadar cukai 26% berbanding 10% di Malaysia).

Paras inventori Mac 2026 oleh Malaysia jatuh kepada 2.27j tan (-16.1% MoM, +45.1% YoY) daripada 2.70j tan pada Feb 2026

Hal ini disebabkan oleh kenaikan eksport dan penurunan import walaupun tahap pengeluaran semakin tinggi. Dengan ini, nisbah stok/penggunaan tahunan bagi Mac 2026 jatuh kepada 11.0% (daripada 17.9% pada Feb) walaupun ia masih lagi melebihi paras purata lampau 15 tahun berjumlah 10%. Melangkah ke hadapan, kita mungkin akan melihat paras stok terus berada pada sekitar paras 2j tan untuk beberapa bulan berikutnya kerana permintaan CPO mungkin masih kukuh.

Walaupun andaian harga CPO kami bernilai MYR4,250/tan untuk 2026 dan MYR4,100/tan untuk 2027-2028 sekarang dalam semakan

Kami menyarankan para pelabur untuk mengambil pendirian dagangan positif yang taktikal terhadap sektor ini.

Risiko-Risiko

Risiko-risiko negatif utama yang boleh menjejaskan prospek kami termasuk:
i. Perang perdagangan terus berlarutan
ii. Perubahan ketara dalam trend harga minyak mentah yang mengakibatkan pindaan dalam mandat biodiesel
iii. Ketidaknormalam cuaca yang menyebabkan berlakunya lambakan atau kekurangan bekalan minyak sayuran
iv. Perubahan mendadak dalam permintaan minyak sayuran yang disebabkan oleh perubahan dalam kitaran ekonomi atau dinamik harga
v. Keadaan buruh di Malaysia semakin memburuk lalu menyebabkan pengeluaran terjejas
vi. Semakan pada struktur cukai dan dasar-dasar perdagangan Indonesia
vii. Semakin banyak isu ESG yang perlu diteliti untuk syarikat-syarikat yang tersenarai di bursa

Penganalisis
Hoe Lee Leng +603 2302 8110 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.