3 Perbezaan Waqaf Dan Wasiat

Secara zahirnya, waqaf dan wasiat dilihat serupa walapun hakikatnya berbeza. Kedua-dua instrumen ini mempunyai fungsi tersendiri. Kadangkala lafaz seperti:

“Saya waqafkan tanah di kampung untuk kegunaan ahli kariah membuat masjid” dan “Saya wasiatkan tanah di kampung untuk kegunaan ahli kariah membuat masjid.”

Dilihat sama sahaja dan tiada bezanya pada pandangan masyarakat umum. Bezanya cuma pada perkataan wakaf and wasiat.

Sebelum pergi kepada perbezaan waqaf dan wasiat, elok kita perhatikan dahulu maksud kedua-duanya dari sudut pandang syara’.

Wasiat adalah iqrar seseorang yang dibuat pada masa hayat ke atas hartanya untuk disempurnakan selepas kematiannya bagi maksud kebajikan yang dibenarkan menurut hukum syarak. Manakala maksud wakaf pula ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah.

Berikut adalah beberapa perbezaan yang jelas antara waqaf dan wasiat.

1. Kewujudan Lafaz Ijab Dan Qabul

Seperti akad jual beli, akad hibah dan beberapa akad lain, pelaksanaan syariat waqaf memerlukan kepada lafaz akad ijab dan qabul.

  • Lafaz Ijab oleh pemberi waqaf (pemilik asal harta)
  • Lafaz Qabul oleh penerima waqaf (contohnya Majlis Agama Islam Negeri)

Sebagai contoh mengikut undang-undang waqaf di Selangor, semua tanah waqaf hendaklah didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Maka jika ada yang hendak mewaqafkan sebidang tanah maka, orang tersebut perlu berurusan dengan MAIS. Pewaqaf perlu melafazkan akad ijab, dan MAIS akan melafazkan Qabul (terima).

Berbeza pula dengan wasiat. Hanya pemberi wasiat sahaja yang membuat dokumen perisytiharan wasiat yang berfungsi sebagai akad ijab tetapi tiada lafaz qabul daripada penerima lagi. Kerana wasiat hanya terlaksana selepas pembuat wasiat mati.

2. Waktu Berlaku Perpindahan Pemilik Harta

Bagi mereka yang mewaqafkan hartanya, perpindahan pemilikan harta tersebut berlaku serta merta. Maknanya jika anda waqafkan tanah untuk dibuat rumah anak yatim sebagai contoh, dokumen pindahmilik (Borang 14A Kanun Tanah Negara 1965) antara anda dan MAIS (jika di buat di Selangor) perlu disediakan bersekali semasa proses waqaf dibuat.

Setelah selesai proses waqaf dan pindahmilik tanah tersebut, maka tanah itu bukan lagi milik pewaqaf, tetapi telah menjadi milik waqaf (yang diuruskan oleh MAIS).

Jika MAIS terus mengusahakan tanah tersebut untuk pembangunan rumah anak yatim, maka si pewaqaf boleh terus tersenyum gembira kerana Hasrat waqafnya telah dapat dilaksanakan. Pahala pun terus mengalir.

Tetapi bagi wasiat, disebabkan tiadak lafaz qabul (terima) daripada mana-mana pihak, maka harta yang ingin diberikan tersebut masih menjadi milik si pewaqaf. Walaupun semasa hidup si mati ada berwasiat kepada anak-anaknya supaya sebidang tanah diberikan (waqaf), tetapi selepas si mati meninggal dunia, tidak tentu lagi hasrat (waqafnya) itu dapat dilaksanakan waris. Contohnya mungkin nilai tanah yang diwasiatkan itu lebih daripada 1/3 jadi waris berhak mencabar wasiat tersebut.

3. Pembatalan

Waqaf, apabila telah terlaksana tidak boleh ditarik balik. Kerana telah berlaku pertukaran pemilik kepada harta tersebut.

Manakala wasiat, boleh dibatalkan atau ditukar oleh pembuat wasiat sekiranya dirasakan perlu. Ini kerana semasa membuat wasiat, hanya dokumen perisytiharan wasiat sahaja yang disediakan, tiada pindahmilik harta yang berlaku.

Kesimpulan

Kedua-dua instrument waqaf dan wasiat mempunyai fungsi yang berbeza. Jika anda memang berhajat untuk mewaqafkan harta, terus lakukannya semasa hidup dengan menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan. Tak perlu tunggu dan meninggal dunia baru nak buat waqaf. Tetapi jika memang hasratnya adalah wasiat, maka boleh terus dengan Hasrat untuk membuat wasiat.

Inilah keindahan undang-undang pentadbiran harta dalam Islam, di mana umat boleh memilih instrument mana yang releven dan sesuai dengan hasratnya.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Apa Hukum Guna Polisi ‘Once Broken Considered Sold’?

Soalan

Assalamualaikum, boleh pejabat mufti ulas sikit tentang polisi once broken considered sold? Adakah polisi ini sah di sisi syarak dan apakah status seseorang dipaksa membeli barang yang dirosakkan itu?

Berdasarkan kepada AL-KAFI #1934: PANDANGAN SYARAK TENTANG POLISI ‘ONCE BROKEN CONSIDERED SOLD’ yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Jawapan Ringkas

Polisi ini adalah sah menurut syarak kerana barang yang dirosakkan dengan sengaja atau tidak sengaja hendaklah diganti semula dengan nilainya. Frasa ‘considered sold’ dalam polisi tersebut tidaklah merujuk kepada berlakunya jual beli tetapi merujuk kepada perbuatan perlu membayar ganti rugi dengan nilai barang yang dirosakkan tersebut.

Huraian Jawapan

Polisi once broken consider sold biasa digunakan di kedai-kedai atau premis perniagaan bagi memberi amaran kepada pelanggan untuk tidak cuai ketika memegang barangan yang ada dalam kedai sehingga boleh merosakkannya. Dalam masa yang sama, pelanggan juga perlu membayar ganti rugi sekiranya barang yang dipegang itu pecah atau rosak. Frasa ‘considered sold’ dalam konteks ini dilihat tidak merujuk pada berlakunya jual beli tetapi lebih kepada makna seseorang yang merosakkannya perlu bayar ganti rugi.

Dalam hal ini, terdapat kaedah yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Abd al-Bar bahawa harta seseorang yang dirosakkan perlu diganti.

أن الأموال تُضمن بالعمد والخطأ

Maksudnya: Sesungguhnya harta-harta dijamin daripada kerosakan atau musnah (oleh seseorang) secara sengaja atau tidak sengaja. (Rujuk al-Istizkar 279/7)

Tidak dapat dinafikan bahawa kadang-kadang kerosakan yang berlaku mungkin disebabkan kecuaian yang tidak disengajakan. Dosa kesalahan yang dilakukan kerana tersilap, terlupa atau dipaksa akan diampunkan oleh Allah SWT.

إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah memaafkan kesalahan yang dilakukan umatku kerana tersilap, terlupa atau kerana dipaksa.

Riwayat Ibn Majah (2043)

Namun begitu, hadis di atas tidak bermaksud seseorang tidak perlu membayar ganti rugi kepada pemilik barang. Hal ini adalah kerana ia melibatkan harta orang lain. Saidina Abu Bakar RA meriwayatkan bahawa beliau menyaksikan Rasulullah SAW menyampaikan khutbah ketika Hujjatul Wada’, baginda bersabda:

أَلَا ‌إِنَّ ‌دِمَاءَكُمْ ‌وَأَمْوَالَكُمْ ‌وَأَعْرَاضَكُمْ ‌عَلَيْكُمْ ‌حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا

Maksudnya: Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan maruah kamu adalah suci sebagaimana sucinya hari ini…

Riwayat Ahmad (18966)

Oleh kerana itu,  barang yang dirosakkan seseorang perlu diganti sama ada sengaja atau tidak sengaja. Ini adalah kerana permasalahan ini melibatkan hak atau harta orang lain yang perlu dijaga. Namun, perlu difahami bahawa kerosakan yang dilakukan pada harta orang lain secara tidak sengaja adalah tidak berdosa tetapi perlu dibayar ganti rugi. (Rujuk Majmu’ah al-Fawaid al-Bahiyyah h.14[1]Qawaid al-Ahkam 323/2[2]al-Umm 200/2[3]Qawaid wa al-Dawabit al-Fiqhiyyah h.343[4])

Kesimpulan

Polisi ini adalah sah menurut syarak kerana barang yang dirosakkan dengan sengaja atau tidak sengaja hendaklah diganti semula dengan nilainya. Frasa ‘consider sold’ dalam polisi tersebut tidaklah merujuk kepada berlakunya jual beli tetapi merujuk kepada perbuatan perlu membayar ganti rugi dengan nilai barang yang dirosakkan tersebut.

Wallahualam.

Rujukan:

[1] والخطأُ والإكراهُ والنسيانُ … أسقطه معبودُنا الرحمانُ

‌لكن ‌معَ ‌الإتلافِ ‌يَثْبُتُ ‌البدلْ … ويَنْتَفِي التأثيمُ عنه والزَّلَلْ

[2] من وضع يده خطأ على مال غيره لزمه ضمانه

[3] ومن المقرر شرعاً أن كل من أتلف مالاً لمسلمٍ فهو ضامن، ولا اعتبار لكون الإتلاف حصل خطأً أو عمداً، وهذا أمرٌ متفقٌ عليه بين جماهير الفقهاء، قال الإمام الشافعي: ولم أعلم بين المسلمين اختلافاً أن ما كان ممنوعاً أن يُتلف من نفسِ إنسانٍ أو طائرٍ أو دابةٍ أو غير ذلك مما يجوز ملكه، فأصابه إنسانٌ عمداً فكان على من أصابه فيه ثمنٌ يؤدى لصاحبه، وكذلك فيما أصاب من ذلك خطأً لا فرق بين ذلك إلا المأثم في العمد

[4] من أتلف مالا بغير حق وجب عليه ضمانه، سواء أتلفه عمدا أم خطأ