
Sub Topik
Seperti yang kita sedia maklum, perbezaan di antara Perbankan Islam dan Konvensional adalah terletak pada kontrak. Namun adakah kita betul-betul faham maksud kontrak tersebut?
Di sini disenaraikan 6 kategori kontrak dalam Perbankan Islam yang perlu kita ketahui supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan.
1. Kontrak Berasaskan Jualan
Contoh : Tawarruq
Kontrak jenis ini adalah di antara penjual dan pembeli. Ia dipraktiskan dalam pembiayaan peribadi, kad kredit, dan perumahan.
Definisi : Pelanggan membeli komoditi secara pembayaran tangguh dengan tujuan menjual semula komoditi tersebut dengan harga rendah untuk mendapatkan tunai. Dalam realiti Perbankan Islam, ianya melibatkan empat (4) pihak iaitu pelanggan, pihak bank, penjual dan pembeli komoditi.
2. Kontrak Berasaskan Ekuiti
Contoh : Mudharabah
Kontrak jenis ini adalah di antara pelabur dan pengusaha. Ia dipraktiskan dalam akaun pelaburan.
Definisi : Pelanggan akan melaburkan modal kepada pihak bank, manakala pihak bank pula akan menggunakan modal tersebut dalam perniagaan yang patuh shariah. Keuntungan dan kerugian akan dikongsi secara bersama mengikut nisbah yang telah dipersetujui.
*Info tambahan: Pemberi modal – kerugian modal, manakala pengusaha – kerugian masa dan tenaga
3. Kontrak Berasaskan Sewa Beli
Contoh : Ijarah
Kontrak jenis ini adalah di antara penyewa dan tuan punya aset. Ia dipraktiskan dalam pembiayaan sewa beli kenderaan.
Definisi : Pihak bank akan membeli kenderaan dan pelanggan akan menyewa kenderaan tersebut sehingga satu tempoh yang ditetapkan. Apabila tempoh sewaan telah tamat tempoh dan pelanggan juga membayar secara konsisten, kenderaan tersebut akan menjadi milik pelanggan sepenuhnya.
4. Kontrak Berasaskan Upah
Contoh : Wakalah, Ujrah
Kontrak jenis ini adalah di antara pelanggan dan wakil pelanggan. Ia dipraktiskan dalam Takaful.
Definisi : Pelanggan melantik pengendali Takaful untuk menguruskan wang yang dicarumkan setiap bulan. Pengendali Takaful bertanggungjawab memastikan caruman diuruskan dengan telus dan patuh shariah. Upah akan dikenakan kepada pelanggan bagi perkhidmatan tersebut.
Konsep shariah Ujrah yang digunakan oleh perbankan Islam merujuk kepada pembayaran yuran perkhidmatan sebagai pertukaran untuk perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan. Kebanyakan kad kredit Islamik di Malaysia berdasarkan konsep ini.
5. Kontrak Berasaskan Jaminan
Contoh : Ar-Rahnu, Takaful, Wadiah
Kontrak jenis ini adalah di antara pelanggan dan pihak yang memberi jaminan. Ia dipraktiskan dalam perniagaan Ar-Rahnu.
Definisi : Pelanggan memajak barang kemas untuk mendapatkan tunai melalui Ar-Rahnu. Pengendali Ar-Rahnu menjamin keselamatan barang kemas tersebut dan akan memulangkan barang kemas tersebut apabila pembiayaan dilunaskan oleh pelanggan dalam tempoh waktu yang
telah dipersetujui.
6. Kontrak Berasaskan Tabarru’
Contoh : Takaful, Waqf, Sedekah
Kontrak jenis ini adalah berkonsepkan derma. Ia dipraktiskan dalam Takaful.
Definisi : Peserta akan mendermakan duit caruman di dalam satu tabung untuk kegunaan peserta yang mengalami kesusahan. Setiap peserta saling menjamin untuk tolong-menolong di antara satu sama lain.
Dengan artikel ini, diharap dapat memupuk kesedaran kita berkenaan kontrak di dalam Perbankan Islam yang membezakannya dengan Perbankan Konvensional.
Wallahu A’lam Bishawab
Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Berkelulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]