Tabung Haji Umum Agihan Keuntungan Tahun 2023 Sebanyak 3.10% Selepas Zakat

  • Agihan Keuntungan kekal pada kadar 3.10 peratus setelah zakat 2.57 peratus dilunaskan bagi pihak pendeposit.
  • Agihan Keuntungan melibatkan jumlah sebanyak RM2.72 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit.
  • TH turut melunaskan zakat RM101 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri.
  • TH mengamalkan disiplin pelaburan berpandukan Alokasi Aset Strategik berasaskan tahap toleransi risiko TH demi kelestarian pelaburan walau suasana ekonomi, pasaran modal domestik dan global terus mencabar.
  • Agihan Keuntungan TH 2023 adalah berkadaran dengan tahap toleransi risiko TH dan selari dengan kadar pasaran semasa instrumen Kerajaan dan deposit simpanan 12 bulan perbankan Islam.

Melunaskan zakat RM101 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri

KUALA LUMPUR, 2 APRIL 2024. Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan Agihan Keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 yang mampan pada kadar 3.10 peratus setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.57 peratus.

Agihan Keuntungan 2023 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.72 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH, berbanding agihan sebanyak RM2.65 bilion kepada 8.8 juta pendeposit pada 2022, menjadikan jumlah terkumpul agihan keuntungan sejak penubuhan selama 60 tahun, sebanyak RM42.88 bilion sehingga kini.

Agihan Keuntungan 2023 dibuat setelah penyata kewangan TH tahun 2023 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan telah mengambil kira rosot nilai terutamanya pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi dan pelaburan hartanah di United Kingdom. Agihan keuntungan bagi tahun 2023 juga adalah mematuhi Akta Tabung Haji 1995.

TH yang ditubuhkan bagi mengurus simpanan untuk tujuan haji, turut mengumumkan pelunasan zakat sebanyak RM101 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit untuk tahun 2023. TH berharap pelunasan zakat ini secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha Kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara. Jumlah terkumpul zakat yang telah dilunaskan bagi pihak pendeposit adalah sebanyak RM1.37 bilion sehingga kini. Jumlah zakat TH diselaraskan kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri.

TH menggunakan kadar 2.57 peratus dalam pengiraan zakat TH bagi mengambil kira perbezaan bilangan hari dalam setahun di antara kalendar Qamari dan kalendar Masihi, sebagaimana saranan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah TH.

TH telah menyantuni lebih 560 ribu asnaf di seluruh negara pada tahun 2023 melalui Program Zakat Wakalah di mana TH menjadi wakil kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri untuk mengedarkan sendiri sebahagian daripada dana zakat tersebut kepada asnaf. Secara keseluruhannya, lebih daripada 1.6 juta asnaf telah menerima manfaat dari Program Zakat Wakalah TH.

Pengumuman Agihan Keuntungan dan pelunasan zakat tahun 2023 telah dibuat oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar pada sidang media di TH hari ini.

Turut hadir sama dalam sidang media ialah Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Syed Hamadah Syed Othman serta Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan, Mustakim Mohamad.

“Ini adalah tahun ketiga ekonomi negara melalui proses pemulihan semenjak pandemik Covid-19. TH telah dapat mengekalkan kadar agihan yang sama seperti tiga tahun sebelum ini, walaupun terkesan dengan rosot nilai beberapa pelaburan legasi,” kata Tan Sri Abdul Rashid Hussain. 

“Kadar pulangan yang telah diselesaikan tanggungjawab zakat ini adalah kadar yang baik. Sebagai dana simpanan yang dijamin Kerajaan, TH berhati-hati dalam mengambil risiko pelaburan demi melindungi wang pendeposit. Justeru itu, Agihan Keuntungan TH 2023 adalah sejajar dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang bersesuaian dengan tahap toleransi risiko TH dan selari dengan kadar pasaran semasa instrumen Kerajaan dan deposit simpanan 12 bulan perbankan Islam.” 

Ekonomi global menunjukkan prestasi yang lebih perlahan pada sepanjang 2023 ekoran kadar faedah yang tinggi di Amerika Syarikat dan Eropah, krisis geopolitik antarabangsa, tekanan terhadap nilai mata wang negara-negara membangun termasuk Ringgit dan kesukaran China merangsang ekonomi. Hal ini turut memberi kesan terhadap prestasi ekonomi domestik. 

TH yang mempunyai sekitar 90 peratus pendedahan pelaburan dalam pasaran domestik telah berdepan dengan cabaran-cabaran seperti tekanan terhadap hasil pulangan sukuk serta prestasi pasaran saham dan pasaran hartanah yang lebih sederhana. 

SOROTAN PRESTASI 2023 

Prestasi TH pada tahun 2023 telah didorong oleh pelaburan patuh Syariah di dalam instrumen pendapatan tetap yang menjana 52 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 24 peratus disumbangkan oleh pelaburan ekuiti. 

Pulangan daripada pelaburan hartanah dan pasaran wang juga menyumbang 24 peratus kepada jumlah pendapatan keseluruhan. 

Portfolio TH

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman, sebagai institusi simpanan bagi tujuan menunaikan ibadat haji, TH memberi penekanan kepada pelaburan yang bertanggungjawab dan mengambil pendekatan kepelbagaian portfolio pelaburan yang mensasarkan potensi penjanaan yang berdaya tahan, selamat dan mampan. 

“Agihan keuntungan kepada pendeposit dibuat setiap tahun berdasarkan prestasi dan kedudukan kewangan setelah diaudit Jabatan Audit Negara. TH juga sentiasa berusaha bagi menambah baik perkhidmatan dengan melaksanakan pembaharuan bagi menambah nilai untuk manfaat pendeposit,” kata Tuan Syed Hamadah Syed Othman. 

Pengiraan Agihan Keuntungan 2023 adalah berdasarkan purata baki simpanan terendah setiap bulan sepanjang tahun, iaitu sebagaimana pengiraan tahun-tahun sebelum ini. 

Para pendeposit boleh menyemak Agihan Keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 12.00 tengah hari ini, Selasa 2 April 2024 menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic 

Sumber: Tabung Haji

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.