SC Semak Semula Rangka Kerja SPAC

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan semakan semula Garis Panduan Ekuiti (Equity Guidelines) bagi rangka kerja Syarikat-Syarikat Pemerolehan Tujuan Khas (SPAC) yang dipertingkatkan. Ini akan memudahkan akses kepada pengumpulan dana di Malaysia yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menggalakkan pembangunan pasaran modal Malaysia.

“SC menilai semua rangka kerja SPAC untuk memastikan ia kekal relevan dan mampu merangsang minat dalam penyenaraian dan urus niaga yang melibatkan SPAC, dan seterusnya dapat menyediakan para penerbit akses yang lebih besar kepada pasaran modal,” kata Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar.

Antara lain, semakan semula tersebut akan:

  • Membenarkan penggabungan perniagaan melalui terbitan sekuriti sebagai pertimbangan bagi Pemerolehan Kelayakan (QA). Pada masa ini, SPAC hanya boleh memenuhi keperluan QA dengan cara pemerolehan tunai.
  • Meningkatkan peluang SPAC untuk mendapatkan pembiayaan tambahan dengan membenarkan penempatan tertutup (private placement) bagi QA. Di samping itu, jumlah minimum dana yang diperlukan untuk dikumpul oleh SPAC melalui tawaran awam awal (IPO) telah dikurangkan daripada RM150 juta kepada RM100 juta.
  • Memberi lebih kejelasan bagi membolehkan profesional yang mempunyai pengalaman luas dalam ekuiti swasta dan modal teroka dengan sumber aset dan pengalaman menjalankan urus niaga, untuk mengendalikan SPAC. Ini berpotensi meluaskan pegangan aset sasaran serta mampu menggalakkan aktiviti penggabungan dan pemerolehan oleh syarikat-syarikat di Malaysia.
  • Untuk meminimumkan isu greenmail[1] yang dihadapi oleh SPAC, had untuk kelulusan QA oleh pemegang saham SPAC telah dikurangkan daripada resolusi khas iaitu sekurang-kurangnya kelulusan majoriti 75% kepada kelulusan majoriti mudah oleh semua pemegang saham yang hadir dan mengundi.
  • Untuk mencerminkan risiko yang wujud dalam SPAC, harga minimum IPO telah dinaikkan daripada RM0.50 kepada RM2.00 untuk memastikan ia menarik minat pelabur yang mampu dan bersedia untuk mengambil risiko unik yang berkaitan dengan pelaburan dalam SPAC.
  • Untuk mengehadkan kecairan kepada pemegang saham sedia ada, saham baharu yang diterbitkan daripada pelaksanaan waran akan dihadkan kepada tidak lebih daripada 50% daripada jumlah bilangan saham terbitan SPAC.
  • Rangka kerja bagi penyenaraian SPAC di Malaysia mula diperkenalkan pada 2009 untuk menggalakkan aktiviti ekuiti swasta, memacu transformasi korporat dan meningkatkan aktiviti penggabungan dan pemerolehan. Semua ini bertujuan untuk meningkatkan kepelbagaian, keluasan dan daya saing pasaran modal tempatah. Semakan semula rangka kerja SPAC adalah selaras dengan aspirasi Pelan Induk Pasaran Modal 3 untuk mewujudkan pasaran modal yang relevan, cekap dan dipelbagai.

Rangka kerja bagi penyenaraian SPAC di Malaysia mula diperkenalkan pada 2009 untuk menggalakkan aktiviti ekuiti swasta, memacu transformasi korporat dan meningkatkan aktiviti penggabungan dan pemerolehan. Semua ini bertujuan untuk meningkatkan kepelbagaian, keluasan dan daya saing pasaran modal tempatah. Semakan semula rangka kerja SPAC adalah selaras dengan aspirasi Pelan Induk Pasaran Modal 3 untuk mewujudkan pasaran modal yang relevan, cekap dan dipelbagai.

Walaupun pasaran modal Malaysia telah menyaksikan perkembangan dan inovasi baharu, SC ingin mengingatkan pelabur bahawa SPAC ialah pilihan pelaburan pasaran modal alternatif yang mempunyai risiko pelaburan yang lebih tinggi berbanding saham syarikat tersenarai yang menjalankan perniagaan. Pelabur harus membiasakan diri dengan ciri-ciri SPAC dan mempertimbangkan sama ada pelaburan itu memenuhi objektif dan profil risiko mereka.

Rangka kerja SPAC yang disemak semula tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2022 dan Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula boleh didapati di sini:
https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/equity

[1] ‘Greenmail’ merupakan satu strategi yang digunakan oleh pelabur tertentu yang memperoleh kepentingan dalam sesebuah SPAC dan menggunakan keupayaan tersebut dengan mengundi untuk membangkang cadangan QA untuk mendapatkan balasan tambahan daripada pasukan pengurusan.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

Dua Motosikal Yamaha MT-15 Tingkat Kesiapsiagaan Polis Bantuan UPSI

TANJONG MALIM, 6 November 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menyerahkan dua buah motosikal jenis Yamaha MT-15 kepada Polis Bantuan UPSI bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan operasi keselamatan di seluruh kawasan kampus.

Majlis penyerahan yang berlangsung di Bangunan Canselori UPSI itu disempurnakan oleh Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman dan diterima oleh ASP/PB Mohd Fairuz Mislan mewakili Polis Bantuan UPSI.

Menurut Helmi Zaifura, penyerahan motosikal berkenaan mencerminkan komitmen UPSI dalam mempertingkatkan keberkesanan operasi keselamatan dan memastikan kampus kekal sebagai persekitaran yang selamat serta kondusif.

“Sokongan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan universiti dalam menyediakan suasana pembelajaran yang harmoni demi kesejahteraan seluruh warga UPSI,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Bantuan atas profesionalisme dan dedikasi yang ditunjukkan dalam menjaga keselamatan kampus serta sempat mencuba sendiri motosikal tersebut bagi menilai keupayaan dan keselesaan kenderaan itu dalam operasi keselamatan.

Sementara itu, ASP/PB Mohd Fairuz menyifatkan penambahan aset berkenaan akan meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan anggota dalam melaksanakan rondaan serta kawalan trafik di sekitar universiti.

“Kami amat menghargai sokongan berterusan pihak universiti dalam memperkukuh kelengkapan dan keupayaan operasi keselamatan kampus,” katanya.

Majlis turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi Universiti, Saiduri Dolah, serta wakil-wakil pengurusan Pentadbiran UPSI.

Inisiatif ini dilihat mengukuhkan lagi usaha UPSI untuk mengekalkan standard keselamatan yang tinggi di kampus, selaras dengan aspirasi universiti untuk menerajui kebitaraan pendidikan dan kebajikan warganya.