SP Setia Lantik Timbalan CEO, COO Baharu

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) — SP Setia Bhd melantik Tan Hwa Min sebagai timbalan ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuat kuasa 17 Nov, dan Datuk Yuslina Mohd Yunus sebagai ketua pegawai operasi (COO) berkuat kuasa 1 Okt, berikutan pelantikan Datuk Zaini Yusoff sebagai presiden merangkap CEO berkuat kuasa 1 Okt.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata pelantikan berkenaan selaras dengan agenda bakat kepimpinannya yang mantap sambil terus membangunkan bakat dalaman dan menarik profesional berkaliber tinggi dari luar bagi memperkukuh pasukan pemimpinnya.

SP Setia berkata Tan kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Strategi IJM Corporation Bhd dan Pengarah Urusan IJM RE Sdn Bhd dan mempunyai 15 tahun pengalaman dalam pembangunan hartanah dan transformasi strategik.

“Sebelum itu, Tan merupakan COO TRX City Sdn Bhd, di mana beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan Tun Razak Exchange,” tambahnya.

Sementara itu, Yuslina yang sebelum ini bersama I&P Group, menyertai SP Setia pada 2018 dan kini berkhidmat sebagai naib presiden eksekutif kanan syarikat itu.

Peranan beliau di SP Setia termasuk menyelia enam kawasan perbandaran utama, operasi pihak berkepentingan, pengurusan aset dan Yayasan SP Setia.

Pengerusi SP Setia Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata pelantikan berkenaan menunjukkan komitmen syarikat untuk membentuk pasukan pemimpin yang bersedia menghadapi masa hadapan.

“Dengan menerima profesional berpengalaman yang membawa perspektif baharu dan wawasan strategik sambil memupuk bakat dalaman, kami memperkukuh budaya inovasi, daya tahan dan kepimpinan berwawasan yang akan memacu evolusi berterusan SP Setia,” katanya.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Dua Motosikal Yamaha MT-15 Tingkat Kesiapsiagaan Polis Bantuan UPSI

TANJONG MALIM, 6 November 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menyerahkan dua buah motosikal jenis Yamaha MT-15 kepada Polis Bantuan UPSI bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan operasi keselamatan di seluruh kawasan kampus.

Majlis penyerahan yang berlangsung di Bangunan Canselori UPSI itu disempurnakan oleh Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman dan diterima oleh ASP/PB Mohd Fairuz Mislan mewakili Polis Bantuan UPSI.

Menurut Helmi Zaifura, penyerahan motosikal berkenaan mencerminkan komitmen UPSI dalam mempertingkatkan keberkesanan operasi keselamatan dan memastikan kampus kekal sebagai persekitaran yang selamat serta kondusif.

“Sokongan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan universiti dalam menyediakan suasana pembelajaran yang harmoni demi kesejahteraan seluruh warga UPSI,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Bantuan atas profesionalisme dan dedikasi yang ditunjukkan dalam menjaga keselamatan kampus serta sempat mencuba sendiri motosikal tersebut bagi menilai keupayaan dan keselesaan kenderaan itu dalam operasi keselamatan.

Sementara itu, ASP/PB Mohd Fairuz menyifatkan penambahan aset berkenaan akan meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan anggota dalam melaksanakan rondaan serta kawalan trafik di sekitar universiti.

“Kami amat menghargai sokongan berterusan pihak universiti dalam memperkukuh kelengkapan dan keupayaan operasi keselamatan kampus,” katanya.

Majlis turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi Universiti, Saiduri Dolah, serta wakil-wakil pengurusan Pentadbiran UPSI.

Inisiatif ini dilihat mengukuhkan lagi usaha UPSI untuk mengekalkan standard keselamatan yang tinggi di kampus, selaras dengan aspirasi universiti untuk menerajui kebitaraan pendidikan dan kebajikan warganya.