Pernas Terus Perkasa Usahawan Di Pantai Timur Melalui Program BizFrancais Terengganu 2022

KUALA TERENGGANU, 17 Okt (Bernama) — Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) meneruskan inisiatifnya untuk memperkasakan usahawan di Wilayah Pantai Timur melalui Program BizFrancais Terengganu 2022 dengan sasaran potensi pembiayaan sebanyak RM5.34 juta.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mazlan Ibrahim berkata program yang berlangsung semalam di Yayasan Pembangunan Usahawan di sini merupakan lokasi ketiga bagi siri jelajah Program BizFrancais pada tahun ini.

Katanya sebelum ini, ia telah diadakan di Pulau Pinang dan Melaka serta akan diteruskan di Perak dan Sarawak pada November dan Disember ini.

“Dalam program yang sama, Pernas telah menjemput 11 pempamer yang terdiri daripada enam francaisor iaitu Marrybrown; Gpharmax; Dapur Mama; Akie Burger; Smart Reader dan NorraRich, dua para-francaisor iaitu Kunyek 2 dan 1901 manakala tiga usahawan Business In Transformation (BIT) iaitu Mekeria; Rollie Café dan Suri yang mempamerkan model perniagaan mereka serta mempromosikan model perniagaan kepada para peserta menerusi sesi ‘business pitching’.

“BizFrancais Terengganu 2022 telah berjaya menarik minat lebih 100 peserta dan program selama satu hari ini meliputi taklimat daripada Pernas, forum kisah kejayaan bersama usahawan, ‘business pitching’ dan klinik perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya Pernas juga bermatlamat untuk menjana pertumbuhan ekonomi dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan terutamanya dalam bidang francais, khususnya di Terengganu menerusi program BizFrancais Terengganu 2022.

Mazlan berkata sejak diperkenalkan pada 2019, Pernas telah menganjurkan 13 siri program BizFrancais termasuk di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Langkawi, Johor, Sabah dan Sarawak.

Katanya menerusi pelaksanaan program ini di Pulau Pinang dan Melaka, Pernas telah menerima potensi permohonan pembiayaan sebanyak RM18.7 juta.

“Program ini merupakan usaha untuk mempromosikan perniagaan francais secara menyeluruh dengan kerjasama di antara Pernas bersama kerajaan negeri, persatuan usahawan termasuk badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan di setiap negeri yang disasarkan.

“Saya berharap para peserta mendapat manfaat daripada penganjuran BizFrancais ini. Pernas yakin penganjuran program ini yang mencakupi setiap aspek perniagaan dari segi pembiayaan hinggalah kepada prosedur pendaftaran perniagaan mampu menjawab semua persoalan dan keraguan para peserta mengenai perniagaan francais,” katanya.

Pernas yang ditubuhkan pada 1969 merupakan syarikat pegangan pelaburan milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

 — BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pernas-terus-perkasa-usahawan-di-pantai-timur-melalui-program-bizfrancais-terengganu-2022/

Previous ArticleNext Article

“Bijok Molek Urus Duit”: Bursa Malaysia Bawa Bursa Marketplace Fair Ke Terengganu

Terengganu, Malaysia, 17 Oktober 2025 — Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) akan menganjurkan salah satu acara pelaburan utamanya, Bursa Marketplace Fair 2025 (“Marketplace Fair”) di Mayang Mall, Kuala Terengganu, bermula Jumaat ini hingga Ahad, 17 – 19 Oktober 2025. Acara ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bursa Malaysia untuk meningkatkan celik kewangan dan pelaburan berinformasi di kalangan rakyat Malaysia, selaras dengan komitmen Bursa Malaysia untuk memperluas penyertaan pelabur individu dalam pasaran modal.

Sorotan Bursa Marketplace Fair Terengganu 2025

Bertemakan “Bijok Molek Urus Duit”, Bursa Marketplace Fair kali ini dijangka menarik lebih 2,000 pengunjung sepanjang tiga hari tersebut. Acara ini adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai dari 10:00 pagi hingga 9:00 malam. Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian atau di lokasi acara.

Acara ini menampilkan pelbagai sesi perkongsian ilmu kewangan dan pelaburan, termasuklah sesi bual bicara bersama tokoh-tokoh terkenal di dalam dunia pelaburan.

Bursa Marketplace Fair turut menampilkan 12 reruai pameran terdiri daripada pelbagai organisasi seperti bank pelaburan, broker, syarikat tersenarai awam, termasuklah BIMB Securities Sdn Bhd, CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, Financial Markets Ombudsman Service (FMOS), Hong Leong Investment Bank Berhad, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Malacca Securities Sdn Bhd, Minority Shareholders Watch Group (MSWG), Phillip Capital Sdn Bhd, PHB Asset Management Berhad, RHB Investment Bank Berhad, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd, dan Webull Securities (Malaysia) Sdn Bhd. Pengunjung juga akan diperkenalkan kepada platform atau aplikasi digital yang inovatif, serta pelbagai jenis aset yang ditawarkan di Bursa Malaysia, seperti saham, dana dagangan bursa (ETF), amanah pelaburan hartanah (REIT), derivatif, Bursa Gold Dinar, dan BR Capital.

Selain itu, pengunjung boleh mengambil bahagian dalam aktiviti komuniti dan hiburan keluarga yang bermanfaat seperti sesi perkongsian tentang penjagaan kesihatan dan saringan kesihatan secara percuma dari KMI Kuala Terengganu Medical Centre, permainan interaktif dan aktiviti-aktiviti menarik yang lain.

Bursa Marketplace Fair Terengganu merupakan edisi fizikal kelima yang dianjurkan di luar Kuala Lumpur, selepas kejayaan penganjuran terdahulu di Pulau Pinang (2019), Johor Bahru (2023), Kota Kinabalu (Mei 2024), dan Kuching (November 2024).

Untuk maklumat lanjut mengenai Bursa Marketplace Fair Terengganu 2025, layari: BursaMarketplace Fair2025.