6 Langkah Yang Terlibat Dalam Proses Tuntutan Harta Pusaka Kecil

Harta Pusaka Kecil adalah harta peninggalan si mati yang terdiri daripada harta tak alih (tanah atau rumah) atau harta alih (wang tunai) dengan nilaian di bawah RM2 juta. Pengurusan Harta Pusaka Kecil adalah tertakluk di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98].

Urusan proses tuntutan pusaka kecil lebih ringkas jika dibandingkan dengan tuntutan pusaka besar. Pemohon boleh membuat permohonan sendiri tanpa perlu mengupah peguam.

Oleh itu, jom kita tengok langkah-langkah untuk membuat tuntutan harta pusaka kecil.

1. Waris Perlu Berbincang Dan Bermuafakat Untuk Melantik Seorang Wakil Sebagai Pemohon Proses Tuntutan

Untuk memulakan proses tuntutan harta pusaka, semua waris perlu berbincang dan bersepakat untuk melantik seorang wakil bagi membuat permohonan tuntutan pusaka. Waris perlu maklum bahawa wakil waris yang dilantik bukanlah pemilik keseluruhan harta pusaka arwah, jadi tidak perlu risau.

Wakil inilah yang akan membuat permohonan tuntutan harta pusaka di pejabat pusaka kecil.

Langkah pertama ini akan jadi jauh lebih mudah jika arwah semasa hayatnya ada membuat perancangan hartanya. Sama ada buat wasiat, hibah atau infaq.

Ini kerana, semasa membuat perancangan harta, arwah telah melantik 2 orang wasi atau pemegang amanah untuk menguruskan harta pusakanya.

2. Kumpul Dokumen Yang Diperlukan Untuk Permohonan

Kemudian, waris perlu menyediakan beberapa dokumen sokongan sebelum membuat tuntutan pusaka. Dokumen-dokumen ini perlu dihantar bersama Borang A yang boleh didapatkan di pejabat pusaka kecil.

Dokumen sokongan yang dimaksudkan adalah:

  • Bukti kematian arwah. Sama ada laporan dari hospital atau balai polis.
  • Segala dokumen yang berkaitan dengan harta-harta si mati. Termasuklah, geran tanah, geran kereta, dokumen SnP, penyata akaun dan yang berkaitan.
  • Dokumen-dokumen yang mengesahkan kaitan antara waris dan si mati. Contohnya seperti sijil nikah, surat beranak dan dokumen yang berkaitan.

Pastikan semua dokumen sokongan ini dikumpulkan baru buat permohonan. Ini kerana seringkali terjadi apabila waris tidak kumpulkan semua dokumen berkaitan harta si mati. Selepas permohonan dibuat baru teringat ada satu akaun bank arwah yang tidak disenaraikan sekali.

Kesannya? Perlu mula semula proses urus pusaka kecil ini. Kena tunggu tuntutan harta pusaka yang telah dibuat selesai, baru boleh buat tuntutan atas harta lain yang tertinggal tadi.

3. Tunggu Empat Ke Enam Bulan Untuk Permohonan Diproses

Selepas lengkap semua dokumen dan borang yang diperlukan, maka permohonan boleh terus dihantar ke pejabat pusaka kecil yang paling hampir dengan kedudukan rumah atau tanah arwah yang hendak dituntut.

Permohonan yang dihantar akan dinilai sama ada benarkah nilai harta pusaka si mati di bawah RM2juta. Jika ya, maka pejabat pusaka kecil akan terus uruskan permohonan tersebut dan jika lebih, maka permohonan akan dibawa ke Mahkama Tinggi.

Permohonan kita juga akan disemak semula jika pernah ada waris sebelumnya yang pernah membuat permohonan tuntutan harta pusaka yang sama. Proses semakan dan penilaian semula ini biasanya ambil masa yang agak lama; 4 ke 6 bulan sebelum mendapat surat perbicaraan kuasa.

Tempoh ini jangan dibiarkan berlalu saja. Gunakan tempoh ini untuk berbincang dengan semua waris yang berhak ke atas harta pusaka tersebut. Bagaimana nak agihkan pusaka arwah.

Ikut faraid, suka sama suka atau mungkin ada waris yang melepaskan haknya sebagi penerima pusaka.

4. Perbicaraan Pusaka Di Pejabat Pusaka Kecil

Semasa perbicaraan, semua waris perlu hadir. Ketika inilah kaedah pembahagian pusaka akan dimuktamadkan. Sebab itu penting tempoh 4 ke 6 bulan menunggu surat tersebut waris perlu mencapai kata sepakat.

Bagi waris yang tidak dapat hadir semasa perbicaraan, boleh mewakilkan waris yang dapat hadir dengan mengisi borang DDA.

Penting semasa proses perbicaraan ini berlangsung untuk semua waris bersepakat dengan kaedah membahagikan harta pusaka. Kerana jika tidak, proses akan menjadi panjang dan kemungkinan besar perbicaraan perlu diulang semula.

5. Menunggu Surat Perintah Pembahagian

Selepas selesai perbicaraan, waris perlu selesaikan fi pentadbiran kepada pejabat pusaka kecil dan dalam tempoh 14 hari pejabat pusaka akan mengeluarkan surat perintah pembahagian.

Kadar fi pentadbiran paling tinggi adalah 0.2% daripada nilai seluruh harta pusaka yang dituntut.

6. Mencairkan Aset

Hanya selepas mendapat surat perintah pembahagian, barulah waris boleh pergi ke pejabat tanah untuk uruskan pindahmilik nama rumah si mati kepada waris yang masih hidup. Begitu juga prosesnya dengan harta pusaka yang lain.

Jika ada harta tak alih seperti tunai di bank, dengan surat perintah pembahagianlah baru waris boleh mengeluarkan duit tersebut.

Kesimpulannya, proses permohonan tuntutan pusaka kecil tidaklah serumit tuntutan pusaka besar yang mana melibatkan Mahkamah Tinggi Sivil. Walaubagaimanapun, bagi yang tidak biasa dengan istilah, borang-borang dan pengurusan harta pusaka secara umum, mungkin akan melihat proses ini adalah sukar dan memenatkan.

Untuk itu, disarankan bagi mereka yang tiada pengalaman mengurus pusaka, supaya meminta bantuan khidmat urus pusaka daripada mereka yang lebih arif.

Mungkin sebab itu jugalah, Tiada Kesedaran Dan Kefahaman, Punca Aset RM70 Bilion Beku Dan Tidak Dituntut. cuba bayangkan berapa besarnya manfaat jika duit sebanyak ini mengalir dalam masyarakat.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

2 Comments

  1. assalamualikum Tuan nak tuntut harta pusaka seperti tanah,rumah,kemderaan dan akaun bank arwah jika semua waris tidak tahu di mana document arwah di simpan …..bagaimana anak anak nak cari tahu berapa aset yg arwah tinggalkan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.