Jauhi 4 Kesilapan Ini Ketika Usia Menjangkau 30 Tahun

Sekarang kita berusia 30-an dan sedang menuju ke alam yang berbeza. Malah, kita pastinya sudah stabil di dalam kerjaya dan kewangan sendiri dan keluarga. Ada yang sudah mempunyai anak-anak yang meningkat besar, dan merancang untuk masa depan bersama-sama orang yang disayangi.

Dengan begitu banyak kerja dan impian yang ingin kita capai dalam kehidupan, dikhuatiri banyak juga kesilapan yang kita lakukan.

Oleh itu, penting untuk kita mengelakkan kesilapan berikut apabila menjangkau usia 30 tahun.

Kesilapan #1: Mempunyai hutang kad kredit yang banyak

Kad kredit diibaratkan penyelesaian apabila kita hanya memerlukan sedikit bantuan tambahan kewangan untuk membeli barangan sebelum terima gaji berikutnya. Kad kredit boleh menjadi alat yang berguna untuk membantu kita dapatkan mata atau ganjaran.

Namun kad kredit juga boleh menjerut kita, jika kita tidak berhati-hati. Ramai yang dah swipe kad kredit lalu hanya membuat pembayaran minimum setiap bulan, maka hutang pun bertambah dengan cepat sekali.

Boleh rujuk sini mengenai 7 Cara Penggunaan Kad Kredit Yang Menguntungkan.

Kesilapan #2: Tidak mempelbagaikan pendapatan

Kebanyakan kita setia kepada kerjaya kita atau majikan untuk satu tempoh masa. Kita mencurahkan semua masa dan usaha untuk berada di comfort zone tempat kerja kita.

Namun kita harus sedar bahawa kita perlu mempelbagaikan pendapatan sekiranya sesuatu berlaku dan kita tidak lagi dapat bergantung kepada pendapatan utama kita.

Jadikan ianya sebagai peluang untuk meluaskan minat kita atau meneroka bidang yang berbeza. Terdapat banyak cara untuk membina kerjaya kedua.

Dengan adanya lebih daripada satu sumber pendapatan, bermakna lebih banyak wang untuk kita labur dan simpan untuk masa depan.

Sila baca 10 Idea Menyeronokkan Untuk Menjana Pendapatan Mengikut Personaliti.

Kesilapan #3: Tidak menyimpan wang untuk perbelanjaan yang akan datang

Sedang kita sibuk simpan dalam akaun persaraan, jangan lupa untuk “mengetepikan” wang untuk perbelanjaan lain yang besar. Suatu hari nanti kita pastinya ingin memiliki sebuah rumah, beli kereta baru, berjalan-jalan mengelilingi dunia atau hantar anak-anak ke kolej atau universiti.

Matlamat utama ini datang dengan tag harga besar, jadi kalau tak buat persediaan yang cukup, memang kita akan berdepan dengan kesukaran. Plan lebih awal dengan menyimpan lebihan wang yang akan digunakan untuk perbelanjaan besar ini.

Jemput tengok 4 Tips Nak Tingkatkan Simpanan Untuk Beli Rumah.

Kesilapan #4: Mengharapkan taraf hidup melebihi jangkauan

Kebanyakan daripada kita yang menginjak usia 30-an, pastinya mengimpikan taraf hidup yang meningkat seiring dengan umur kita. Berangan nak ada rumah besar, kereta besar, dan sebagainya.

Tetapi kadangkala, realitinya adalah jauh daripada sangkaan kita. Jika begitu, kita perlu kurangkan perbelanjaan dan tingkatkan pendapatan. Jika terpaksa rendahkan ‘expectation’ kita, maka lakukanlah.

Cuba follow cara Bagaimana Membezakan Antara Keperluan Dan Kehendak?

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Penat Cari Duit, Akhirnya “Hangus” Untuk Bayar Cukai?

Pernah tak korang duduk depan laptop, tangan menggigil nak tekan butang submit e-Filing sebab tengok baki cukai kena bayar sampai beribu-ribu? Masa tu, segala rasa ralat dan tak puas hati muncul. Rasa macam “hangus” hasil titik peluh setahun.

Tapi, cuba korang tarik nafas kejap. Bayangkan senario ini:

Di satu sudut hospital kerajaan, ada seorang ayah yang buntu fikir kos bedah jantung anaknya yang mencecah RM50,000. Angka itu berpusing-pusing di kepalanya. Dia hanya seorang kerani biasa. Dia mula berkira-kira untuk tebalkan muka meminjam sana-sini. Air matanya gugur, bukan kerana sedih, tapi kerana rasa gagal sebagai seorang ayah.

Tapi bila dia pergi ke kaunter bayaran, kerani tu sambil tersenyum berkata, “Encik cuma perlu bayar RM1 sahaja.”

Ayah tadi terduduk, menangis syukur.

Tahu tak siapa yang “bayar” baki RM49,999 tu? Itulah duit cukai yang korang rasa “hangus” tadi.

Ada orang kata, “Alah, cukai aku bayar RM500 je setahun. Tak luak pun buat kerajaan. Kerajaan kan ada cukai korporat, cukai jalan, duti eksais, macam-macam lagi! Apa sangatlah duit cukai aku yang sikit ni?”

Memang betul, pendapatan negara datang dari pelbagai sumber. Tapi kena ingat, bajet negara ni ibarat satu puzzle gergasi. Cukai syarikat mungkin besar, tapi sumbangan dari cukai pendapatan individu adalah salah satu kepingan puzzle yang sangat kritikal.

Bila jutaan rakyat Malaysia “tong-tong” (berkongsi) membayar cukai individu, jumlahnya mencecah berbilion ringgit setahun!

Nak ikhlas bayar cukai ni bukan soal faham undang-undang, tapi soal faham kemanusiaan. Bila kita nampak yang duit tu sebenarnya tengah “memberi peluang kedua” kepada orang lain, “menyuap” nasi ke mulut anak yatim dan “menjaga” keselamatan mak ayah kita di kampung, saat itulah rasa berat hati tadi akan bertukar menjadi rasa bangga yang luar biasa.

Macam mana nak capai tahap ikhlas macam tu? Cuba renungkan 4 perkara ni:

1. Cukai Sebagai “Sijil Kejayaan”

Tukar mindset: Cukai bukan beban, tapi ia adalah bukti korang sudah berjaya. Hanya orang yang memiliki pendapatan melebihi paras tertentu sahaja yang layak membayar cukai.

  • Kalau kena bayar cukai RM5,000, bayangkan berapa banyak rezeki (pendapatan) yang Tuhan dah bagi sampai korang sampai ke tahap itu.
  • Ramai orang di luar sana teringin nak ada gaji setinggi itu. Kalau kena bayar banyak, maksudnya Tuhan dah amanahkan rezeki yang sangat besar tahun lepas. Bayar cukai adalah cara “mengalirkan” berkat tu supaya ia dapat dikongsi bersama.

2. Niatkan Sebagai “Sedekah Paksa”

Zakat itu wajib untuk asnaf, tapi cukai pula adalah sumbangan untuk kepentingan “keluarga besar” kita.

  • Bila bayar cukai, niatkan dalam hati: “Ya Allah, aku sedekahkan duit ini untuk kegunaan rakyat Malaysia.”
  • Bayangkan, duit itu digunakan untuk beli ubat bagi pesakit di hospital kerajaan atau beli buku teks untuk anak-anak sekolah. Selagi orang itu sembuh atau budak tu dapat ilmu, pahala jariah korang tetap mengalir walaupun tak kenal pun siapa mereka.

3. Melunaskan “Hutang”

Sedar atau tidak, kita semua “terhutang budi” dengan negara.

  • Kita belajar di sekolah dan universiti yang yurannya disubsidi.
  • Kita guna jalan raya, jambatan dan lampu jalan yang dibina sebelum kita lahir lagi.
  • Bayar cukai adalah cara kita membalas jasa dan memastikan generasi anak-anak kita nanti pun dapat nikmat yang sama. Kita bayar supaya manfaat ini tidak terhenti pada kita sahaja.

4. Membantu Golongan “Tengah” (M40)

Zakat hanya untuk golongan asnaf. Tapi macam mana dengan kawan-kawan kita yang “tak kaya tapi tak miskin” (M40)? Gaji mereka sedikit saja melepasi garisan asnaf, membuatkan mereka tidak layak menerima zakat, namun tidak cukup kaya untuk menanggung badai musibah yang datang secara tiba tiba. Mereka tak layak terima zakat, tapi kalau anak mereka masuk hospital, mereka sangat perlukan subsidi kerajaan.

Bayangkan kawan sepejabat. Anak mereka tiba-tiba jatuh sakit dan perlukan pembedahan segera. Simpanan tak seberapa, insurans pula ada hadnya. Di sinilah duit cukai korang muncul sebagai Superhero yang tidak didendang.

  • Duit cukai koranglah yang memastikan kawan itu hanya perlu membayar RM500 untuk pembedahan yang kos asalnya berjumlah RM50,000.
  • Duit cukai koranglah yang menghalang seorang ayah daripada berhutang keliling pinggang semata-mata nak menyelamatkan nyawa anaknya.

Bila bayar cukai, korang sebenarnya sedang menjaga maruah kawan-kawan dan jiran tetangga. Korang sedang memegang tangan mereka supaya tidak jatuh tersungkur ke lembah kemiskinan. Menolong mereka yang sedang sesak walaupun mereka bukan asnaf adalah satu amal jariah yang sangat agung dan mulia.

“Tapi… Takutlah Duit Kena Sakau Oleh Ahli Politik!”

Ini kerisauan paling besar kan? Kita penat-penat membanting tulang, tiba-tiba keluar berita berlaku ketirisan sana-sini. Rasa macam tak berbaloi nak bayar kalau hujung-hujung masuk poket orang yang tidak sepatutnya.

Tapi, cuba renungkan sudut pandang ni:

Dalam Islam, tanggungjawab kita adalah mematuhi peraturan demi kepentingan awam. Apabila kita membayar dengan niat untuk membantu rakyat, insha-Allah pahala itu sudah milik kita di sisi Tuhan.

Kalau ada tangan-tangan yang menyalahgunakan amanah itu, itu adalah dosa besar mereka di padang mahsyar nanti. Mereka yang akan menjawab, mereka yang akan menanggung azab.

Pahala kita takkan “disakau” oleh dosa mereka.

Jadi, jangan biarkan kemarahan kita kepada segelintir manusia membuatkan kita berhenti menjadi tulang belakang kepada berjuta rakyat lain yang benar-benar memerlukan.

Daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” (Hadis Riwayat al-Tabarani)

Artikel ini tidak ditaja oleh LHDN atau mana-mana pihak berkuasa. Kami di Majalah Labur cuma nak ajak anda semua ‘win’ dari segi kewangan DAN ketenangan jiwa. Bila kita nampak ke mana perginya setiap sen hasil titik peluh kita, barulah kita rasa berbaloi nak menyumbang. Jom jadi pembayar cukai yang bijak dan berjiwa besar!