Kalau Dibuang Kerja, Ini 4 Langkah Untuk Claim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Daripada PERKESO

Tahukah anda, hampir 100,000 pekerja telah dipecat dan dibuang kerja dari tahun 2015 sehingga Jun 2017? Statistik yang dikeluarkan oleh PERKESO ini amat mengejutkan ditambah pula dengan kajian dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa yang mengatakan kadar pengangguran belia akan terus meningkat di Malaysia.

Selalunya, industri yang paling berisiko tinggi dengan pembuangan pekerja adalah sektor peruncitan, kewangan dan pembuatan. Menurut sumber, Star Media Group yang bertapak di Bayan Lepas, Penang juga terpaksa memberhentikan 100 orang pekerja manakala Buzzfeed juga telah membuat keputusan untuk memecat 100 orang pekerja mereka di US.

Apabila ramai yang diberhentikan kerja, pampasan dibayar haruslah setimpal dengan tempoh masa mereka berkhidmat. Ramai yang mengharapkan pampasan daripada syarikat semata-mata, sedangkan kita boleh claim bayaran dari SIP, Perkeso juga.

Memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso

Sekiranya kita kehilangan pekerjaan, SIP menyediakan insurans pekerjaan membolehkan kita terima RM600 untuk 3 bulan pertama sementara mencari kerja baru!

Faedah SIP mudah diterima tetapi kita harus membuat permohonan terlebih dahulu. Tak susah nak memohon Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), caranya juga mudah dan senang.

Cara Membuat Permohonan SIP, Perkeso

Sebelum itu, kita kena tahu syarat-syarat yang diperlukan untuk membuat permohonan SIP bagi memastikan kita benar-benar layak. Terdapat beberapa syarat untuk memohon SIP bagi seluruh masyarakat Malaysia:

1. Buat permohonan dalam tempoh 30 atau 60 hari sebaik sahaja kita diberhentikan kerja. 30 hari awal lebih baik dan lebih cepat.

2. Pastikan kita diberhentikan kerja dengan menepati syarat Loss of Employment (LOE) seperti berikut:

  • Syarikat meminta kita buat pilihan bagi VSS atau MSS (skim pemisahan sukarela)
  • Syarikat menindas hak kita (pembuangan kerja konstruktif)
  • Kita diberhentikan kerana pekerja terlalu ramai
  • Syarikat jatuh bankrap dan hampir ditutup / terpaksa ditutup
  • Syarikat ditutup sebab bencana alam
  • Kita terpaksa berhenti kerana diganggu secara seksual / diugut di tempat kerja
  • Kitaa diberhentikan kerana diberikan tugasan di luar skop kerja dan membahayakan keselamatan

3. Sekiranya kita layak dengan syarat yang telah ditetapkan, kita perlu memastikan caruman kepada SIP dengan tempoh masa yang telah ditetapkan telah dibuat. Jangan risau, sejak Januari 2018, jumlah perlindungan ini telah dikuatkuasakan.

Tak percaya? Boleh semak slip gaji kalau-kalau ada pemotongan untuk EIS.

Lebih menarik lagi, kita juga akan menerima Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sejumlah RM1,700 sehingga RM10,800.

4. PERKESO akan membantu kita mendapatkan kerja baru di samping melatih kita dengan kepakaran dan ilmu yang berkaitan. Latihan vokasional dan kemahiran turut disediakan dan ditanggung oleh SIP. KIta juga akan menerima elaun sebanyak RM10 sehingga RM20.

Semuanya mudah sahaja jika kita tahu cara yang betul. Selain dapat meringankan beban, mungkin ia adalah yang terbaik untuk masa depan kita. Kunjungi Sistem Insurans Pekerjaan untuk membuat semakan.

Sumber RujukanPERKESO

Previous ArticleNext Article

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.