5 Cara Ajar Anak Jimat Cermat Di Sekolah

Kanak-kanak sememangnya suka membeli apa sahaja yang mereka inginkan, namun adakah perbelanjaan mereka terkawal?

Tanpa pemantauan daripada kita, pasti wang yang diberikan kepada anak-anak habis dalam sekelip mata.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini, bukan kita sahaja perlu berjimat cermat, malah anak-anak juga harus berjimat cermat semasa berada di sekolah lagi. Sikap boros dan berbelanja sesuka hati perlu dielakkan sejak mereka berada di bangku sekolah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Menyedari kepentingan berjimat cermat dalam kalangan anak-anak, kami ingin berkongsi beberapa cara untuk ajar anak jimat cermat di sekolah.

1. Mengajar Supaya Jujur Dalam Melakukan Perbelanjaan

Cara memastikan anak anda berjimat cermat di sekolah, kita harus mengajar mereka untuk jujur dalam melakukan perbelanjaan. Jujur di sini adalah bermaksud mereka tidak berbohong kepada kita tentang ke mana wang tersebut dibelanjakan. Di sini kita perlu memainkan peranan untuk memastikan mereka menggunakan wang dengan bijak. Dengan ini, segala perbelanjaan mereka dapat dikawal dan dijimatkan.

2. Menyimpan Wang Lebihan Berbelanja Ke Dalam Tabung

Menyimpan wang di dalam tabung secara konsisten atau menabung amat penting untuk masa depan anak anda. Ajar mereka untuk menyimpan wang lebihan berbelanja ke dalam tabung selepas pulang daripada sekolah. Selepas tabung tersebut penuh, bawalah wang tersebut ke bank untuk disimpan ke dalam akaun.

Jangan lupa untuk mengajar mereka mengenai betapa pentingnya untuk menabung. Dengan cara menunjukkan kepada mereka tentang jumlah yang disimpan oleh mereka, pasti mereka akan seronok dan lebih bersemangat.

3. Nasihati Mereka Jangan Meminjam Wang Daripada Rakan

Sikap suka meminjam sebenarnya bukan satu amalan yang baik dan sebagai ibu bapa, kita harus mengajar mereka untuk tidak meminjam wang daripada rakan-rakan sekelas mereka.

Dengan meminjam wang, pasti membuatkan mereka tidak berjimat cermat, malah hutang mereka menjadi banyak. Jika mereka sudah pandai belajar untuk berhutang, kita juga yang akan pening kepala nanti. Nasihatkan anak supaya tidak meminjam adalah salah satu cara ajar anak jimat di sekolah.

4. Ajar Cara Merancang Perbelanjaan Dengan Wang Yang Diberikan

Setiap kali memberi wang kepada anak-anak, ajarkan mereka cara untuk merancang perbelanjaan harian mereka secara bijak sekaligus cara jimat cermat di sekolah.

Contohnya, jika kita memberikan wang sebanyak RM50 seminggu kepada mereka, minta supaya mereka rekod perbelanjaan mereka ke dalam buku nota. Dengan cara ini, mereka pasti boleh belajar cara untuk berjimat cermat dan tidak berbelanja melebihi wang yang telah diberikan kepada mereka.

5. Ajarkan Mereka Beli Barang Yang Perlu Sahaja

Anda perlu mengajar anak anda untuk membeli barang yang perlu sahaja. Dengan mengenal pasti yang mana satu barang yang diperlukan atau tidak, mereka akan berjimat cermat bukan sahaja di sekolah, malah di tempat lain juga. Penting sekali, pupukkan juga sifat untuk tidak berbelanja mengikut kata hati.

Akhir kata, sekiranya anda mahukan anak anda berjimat cermat di sekolah, mereka perlu melihat anda juga melakukannya secara menyeluruh. Pendek kata, apa yang anda buat pasti akan ditiru oleh anak-anak anda.

Didiklah mereka untuk berjimat cermat di sekolah dengan konsisten. Mendidik anak-anak tentang kewangan adalah satu proses yang perlu mengambil masa dan selepas didikan berjaya, mereka pasti akan berjimat cermat dan memahami akan sudut kewangan.

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.