Apa Perlu Buat Bila Dapat Kunci Rumah Daripada Pemaju?

Selepas berhempas pulas mengumpul wang deposit, menunggu proses pembayaran balik dan pelbagai kos lain yang anda keluarkan, tibalah masa untuk masuk rumah selepas dapat kunci dari pemaju.

Apa yang anda perlu lakukan bukanlah mencuci rumah tersebut, membuat Facebook Live mahupun kenduri doa kesyukuran. Sebaliknya, apa anda perlu lakukan ialah menyemak sebarang kecacatan terhadap binaan rumah anda.

Buat pengetahuan anda, pemaju mempunyai tempoh masa selama 12-24 bulan daripada tarikh vacant posession atau pemilikan kosong untuk memperbetulkan sebarang kecacatan yang pihak pembeli tidak berpuas hati.

Baca : Kelebihan Rumah Baru Berbanding Rumah Second Hand

“Sediakan masking tape, marker pen merah, kertas A4 dan kamera.”

Kegunaan alat – alat tersebut adalah untuk anda sebagai pemilik kediaman tersebut tulis, tampal dan tandakan kecacatan pada binaan rumah dan juga mengambil gambar sebagai bukti.

Untuk proses mengenal pasti kecacatan, terdapat 7 aspek yang anda perlu kenal pasti. Antara ialah :-

1. Pintu.

Periksa jika tombol setiap pintu bilik mampu dibuka dengan mudah atau tidak. Pastikan sliding door mampu ditolak dengan mudah dan tiada spring return.

Sekiranya terdapat tombol atau bahagian yang berkarat, sila tandakan agar pihak pemaju menukarkannya dengan yang baharu.

2. Jubin Lantai.

Sila ketuk setiap jubin yang ada pada lantai menggunakan kepala pemutar skru (jenis getah) untuk mengenal pasti bahagian yang lopong, tidak diturap dengan sempurna dan juga nipis.

Semak juga jubin pada tangga rumah jika kediaman anda jenis bertingkat kerana simen pada tangga rumah seringkali di simen pada bahagian tepi sahaja dan membahayakan penghuni rumah kelak.

3. Semak Elektrik.

Sekiranya pemaju menyediakan lampu dan kipas, sila periksa samada peralatan berkenaan berfungsi dengan baik atau sebaliknya.

Jika tidak, sila panggil kontraktor dari pihak pemaju untuk semakan continuity electric supply. Ini penting, supaya anda tidak tersilap langkah memecahkan kabel dalam dinding untuk gara – gara punca kuasa tidak berjalan.

4. Meter Air.

Sekiranya kediaman anda telah dipasang dengan meter air, sila lakukan semakan terhadap semua pili – pili air. Semak juga tekanan air pada setiap aras untuk memastikan tiada pili yang tersumbat.

Di bilik mandi pula, sila semak pili mandi samada telah dipasang dengan pili atau tidak. Periksa juga sambungannya untuk memastikan tekanan air kuat dan tidak tersumbat.

Sekiranya kediaman anda mempunyai tangki, sila isikan tangki tersebut dengan penuh. Apabila sudah penuh, semak meter air jika air masih berjalan. Jika ya, berkemungkinan besar berlaku kebocoran di tempat lain.

5. Tingkap.

Cuba buka dan tutup tingkap dan sliding door di kediaman anda berulang kali. Pastikan semuanya mudah, lancar dan lembut sahaja tanpa menggunakan tenaga yang banyak.

Semak bingkai dan pemegang tingkap agar tidak berkarat. Jika berkarat, tandakan pada tingkap / sliding door tersebut agar pihak pemaju menukarnya dengan yang baharu.

6. Tangga Rumah.

Jika rumah anda mempunyai tangga, sila semak handrail atau pemegang tangga supaya kekal kukuh dan tidak bergoyang – goyang walaupun dipegang saat turun dan naik tangga.

Jika anda dapati tangga rumah anda longgar dan bergoyang, sila tandakan agar pihak pemaju gantikan handrail tersebut dengan yang baharu. 

7. Dinding.

Dinding rumah adalah aspek paling kritikal dalam menyemak kecacatan rumah. Hal ini kerana, ada pemilik yang beranggapan dinding rumah retak sedangkan ianya hanyalah hairline crack.

Hairline crack ini seringkali terjadi apabila batu bata, cat dan plaster tidak cukup tebal menyebabkan wujudnya hairline crack.

Walau apapun, anda boleh tandakan bahagian yang retak supaya pihak pemaju membaik pulih retakan tersebut.

Baca : 9 Bajet Sebelum Dan Selepas Beli Rumah

Tempoh aduan bagi kecacatan kediaman adalah berbeza – beza mengikut pemaju. Ada pemaju yang menetapkan 1 tahun dan 2 tahun dari tarikh pemilikan kosong.

Apa yang penting adalah anda tidak boleh melakukan sebarang renovasi dalam kediaman anda dalam tempoh tersebut.

Sekiranya selepas 1 bulan atau 2 bulan aduan anda mengenai kecacatan rumah tidak dilayan, anda boleh buat surat bertulis dan hantarkan ke pemaju. Langkah terakhir adalah dengan membuat aduan kepada bahagian Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (KPKT).

Ditulis oleh Mehmed Aezhad, beliau merupakan seorang Digital Marketing Specialist yang berpengalaman luas dalam bidang pemasaran digital hartanah.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Belanjawan 2026: Membina Pasaran Perumahan Masa Depan untuk Malaysia

Ketika rakyat menantikan Belanjawan 2026, pasaran hartanah berada di persimpangan yang penting. Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan sasaran reformasi perumahan bercita-cita tinggi, termasuk penyediaan sejuta rumah mampu milik menjelang 2035. Namun, ujian sebenar adalah memastikan aspirasi ini diterjemahkan kepada langkah-langkah yang menangani keadaan pasaran semasa. Data pasaran terkini menunjukkan wujud cabaran dan juga peluang. Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jumlah transaksi hartanah Malaysia menurun 1.3% pada separuh pertama 2025 kepada 196,232 transaksi, manakala nilai transaksi meningkat 1.9% kepada RM107.68 bilion. Angka ini menunjukkan sebuah pasaran bercampur, dengan jumlah transaksi lebih rendah tetapi nilai keseluruhan lebih tinggi, mencerminkan sentimen pembeli yang berhati-hati tetapi harga kekal berdaya tahan. Ini menandakan pasaran menunggu kejelasan dan sokongan yang lebih kukuh.

Kami mendapati permintaan terhadap rumah mampu milik kekal kukuh, khususnya untuk kediaman berharga bawah RM300,000. Sehingga September 2025, lebih 20,500 hartanah di seluruh negara disenaraikan di PropertyGuru di bawah paras harga ini, dengan kira-kira 2,500 di Kuala Lumpur sahaja. Namun, kebanyakan rumah ini adalah stok sedia ada, terletak jauh daripada kemudahan pengangkutan awam, atau memerlukan renovasi besar — menekankan bahawa kemampuan bukan sekadar tentang harga.

Kemampuan Perumahan

Perumahan mampu milik bukan sekadar mencapai sasaran angka, tetapi memastikan rumah benar-benar berada dalam jangkauan isi rumah. NAPIC melaporkan harga rumah purata di Malaysia pada separuh pertama 2025 adalah RM486,070, jauh melebihi tahap mampu milik untuk ramai keluarga B40 dan M40 bawahan. Berdasarkan paras pendapatan, rumah di bawah RM300,000 dianggap mampu milik, namun penawarannya di lokasi strategik masih terhad.

Data platform kami menunjukkan ketahanan positif dalam tingkah laku pembeli. Carian untuk rumah bawah RM300,000 melonjak 27.3% dari April hingga Jun 2025 dan kekal stabil sepanjang Julai, mencerminkan kesan positif sokongan dasar dan kestabilan sentimen. Walaupun terdapat penurunan antara Disember 2024 hingga September 2025, di mana carian untuk rumah bawah RM300,000 susut 8.7% akibat ketidaktentuan ekonomi, lonjakan semula ini membuktikan rakyat Malaysia cepat kembali apabila mereka melihat peluang dan kestabilan di pasaran.

Lokasi tetap menjadi faktor kritikal. Permintaan tertinggi bagi rumah mampu milik adalah di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang — negeri-negeri dengan tumpuan pekerjaan, infrastruktur dan kemudahan. Belanjawan 2026 boleh memberi impak besar dengan menggalakkan pembangunan rumah berharga sederhana yang berhubung dengan pengangkutan awam di koridor berpermintaan tinggi. Sementara itu, skim Sewa-untuk-Milik (RTO) boleh menjadi jambatan praktikal untuk banyak keluarga. Bagi isi rumah B40, di mana tahap mampu sewa sekitar RM1,500, skim RTO yang berstruktur baik boleh membuka laluan ke arah pemilikan rumah sambil menangani keperluan perumahan mendesak.

Menyelaraskan Penawaran Dengan Permintaan Sebenar

Cabaran perumahan di Malaysia adalah memastikan penawaran mencukupi dan seiring dengan keperluan pembeli rumah. Sebahagian projek masih menyasarkan harga lebih tinggi, menyebabkan jurang dalam segmen pertengahan di mana majoriti pembeli berpotensi sedang mencari. Menurut NAPIC, pelancaran perumahan baharu menurun sebanyak 46% pada separuh pertama 2025 kepada 23,380 unit, berbanding 43,167 unit pada separuh pertama 2024. Pada masa yang sama, jumlah rumah siap yang tidak terjual meningkat 16.3% kepada 26,911 unit bernilai RM18.6 bilion.

Belanjawan 2026 berpeluang merapatkan jurang ini. Menyokong projek berharga sederhana di koridor bandar berpermintaan tinggi, menggalakkan pembangunan semula kawasan terbiar, serta mempercepatkan kelulusan melalui digitalisasi dan garis masa yang lebih jelas akan memastikan penawaran baharu lebih mencerminkan realiti isi rumah Malaysia.

Perumahan Mampan dan ESG

Kemampuan sahaja tidak akan menjamin masa depan sektor perumahan Malaysia. Semakin ramai rakyat Malaysia mahukan rumah yang bukan sahaja mampu milik, tetapi juga lestari, cekap tenaga dan bertanggungjawab secara sosial. Projek di pasaran kebelakangan ini menunjukkan pemaju mula mengintegrasikan prinsip tersebut ke dalam projek mereka, daripada mengekalkan kawasan hijau yang luas dalam pelan induk perbandaran kepada menggabungkan ciri bandar rendah karbon dan pintar yang meningkatkan kebolehdiaman sambil mengurangkan impak alam sekitar.

Pada masa yang sama, bangunan baharu mencapai pensijilan hijau tertinggi, menampilkan kemajuan dalam reka bentuk yang memberikan manfaat nyata dari segi kecekapan tenaga, air dan sumber. Perkembangan ini membuktikan bahawa kelestarian bukan sekadar ideal, tetapi piawaian yang boleh dicapai dan ditingkatkan dalam sektor ini. Ini sejajar dengan keutamaan ESG global serta boleh mengurangkan kos jangka panjang isi rumah sambil melindungi nilai aset.

Belanjawan 2026 boleh mempercepatkan peralihan ini dengan memberi insentif terhadap penggunaan teknologi binaan hijau, daripada panel solar di bumbung dan sistem penjimatan air kepada Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang mengurangkan pembaziran dan mempercepatkan pembinaan. Pada masa yang sama, dasar yang menggalakkan pengubahsuaian stok rumah sedia ada dengan penambahbaikan penjimatan tenaga dapat mengurangkan kos utiliti bulanan untuk keluarga dan memanjangkan jangka hayat hartanah lama.

Aspek sosial ESG juga penting. Membentuk kerangka komuniti campuran yang layak didiami dengan sokongan pengangkutan, pendidikan, dan penjagaan kesihatan akan memastikan dasar perumahan menyumbang kepada matlamat nasional yang lebih inklusif dan mobiliti sosial. Pendedahan lebih telus tentang piawaian prestasi bangunan, termasuk penarafan tenaga dan kesihatan dana penyelenggaraan, juga akan meningkatkan keyakinan pembeli serta menggalakkan pengurusan aset yang lebih baik.

Dengan mengintegrasikan pertimbangan ESG dalam dasar perumahan, Malaysia boleh membina bukan sahaja lebih banyak rumah, tetapi rumah yang lebih baik — cekap, berdaya tahan dan seiring dengan trajektori pembangunan jangka panjang negara di bawah RMK13.

Memperkasakan Ekosistem Perumahan

Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen fiskal. Ia adalah peluang untuk mencerminkan realiti pasaran dan aspirasi rakyat Malaysia. Dengan memberi tumpuan kepada kemampuan, menyelaraskan penawaran dengan permintaan sebenar, dan menempatkan kelestarian dalam perumahan, kerajaan dapat memastikan visi RMK13 diterjemahkan kepada hasil yang nyata.

Di PropertyGuru dan iProperty, kami kekal komited untuk bekerjasama dengan pembuat dasar, pemaju, dan institusi kewangan bagi menyediakan pandangan serta alatan digital yang membantu rakyat Malaysia membuat keputusan pemilikan rumah dengan yakin. Belanjawan 2026 boleh menjadi asas kepada ekosistem perumahan yang telus, inklusif, dan berdaya tahan — di mana setiap rakyat Malaysia mempunyai pilihan sebenar, dan peluang yang adil, untuk memiliki rumah.