Bank Muamalat, SJKP Lancar Skim Smart Mortgage-SJKP

GOLONGAN tanpa pendapatan tetap seperti petani, nelayan dan pemandu teksi kini berpeluang mendapatkan pembiayaan perumahan sehingga RM300,000 melalui skim Smart Mortgage-Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) kendalian Bank Muamalat.

Melalui skim berkenaan, golongan sasaran dengan kelayakan gaji bersih minimum berjumlah RM1,000 berpeluang untuk memiliki rumah idaman dengan pembiayaan 100 peratus daripada harga belian.

Ketua Perbankan Konsumer Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal berkata, pihaknya menyediakan peruntukan sebanyak RM70 juta melalui skim ini pada tahun pertama ia dilancarkan.

“Usaha ini diharap dapat membantu mereka yang mahu merealisasikan impian untuk memiliki rumah sendiri dan sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk memberi peluang kepada golongan tanpa pendapatan tetap dan B40.

“Skim ini juga dilihat bertepatan dalam membantu mereka yang benar-benar berkelayakan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan perumahan dari pihak bank dengan jaminan oleh SJKP,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatagani memorandum perjanjian antara Bank Muamalat dan SJKP di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengurus Besar SJKP, Azlan Mohd Agel serta disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamaruddin dan Pegawai Utama SJKP, Chen Yin Heng.

Zury Rahimee berkata, pihaknya akan mempromosikan skim secara meluas bagi memastikan ia sampai ke golongan sasaran.

“Kami berharap skim seumpama ini akan mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan dan membantu golongan sasar supaya mereka dapat memiliki rumah idaman sendiri.

“Buat masa ini, tiada tempoh masa bagi penawaran produk ini kerana apa yang penting, inisiatif skim ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pelanggan Bank Muamalat,” katanya.

Kredit: Harian Metro

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pusat Data, Logistik, Permintaan Perumahan Akan Jana Pertumbuhan Hartanah – Juwai IQI


KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) — Juwai IQI menjangkakan pasaran hartanah Malaysia terus mengekalkan prestasi kukuhnya pada 2025, disokong oleh pertumbuhan dalam kecerdasan buatan (AI), pelaburan serta segmen industri dan komersial.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Kashif Ansari dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaburan dalam AI dan infrastruktur digital dijangka menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan hartanah perindustrian.

“Lebih RM57 bilion diperuntukkan untuk pusat data dengan jumlah saluran pelaburan sebanyak RM149 bilion. Ini menunjukkan keyakinan pelabur yang berterusan.

“Pelaburan langsung asing dan penyertaan strategik Malaysia dalam BRICS serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik juga akan menyumbang kepada mengekalkan pasaran hartanah komersial,” katanya.

Kashif berkata bagi sektor perumahan, syarikat mengunjurkan pertumbuhan harga sehingga tiga peratus pada 2025, bersama dengan peningkatan bekalan rumah baharu dan peningkatan berterusan dalam jumlah transaksi.

Beliau menganggarkan kawasan selatan khususnya kawasan yang mempunyai hubungan lintas sempadan yang kukuh dengan Singapura akan menyaksikan permintaan yang meningkat apabila syarikat-syarikat dan pengguna mula memanfaatkan sambungan pengangkutan baharu serta insentif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

Mengenai segmen perindustrian dan komersial, beliau berkata nilai transaksi perindustrian bagi suku ketiga 2024 meningkat sebanyak 22 peratus kepada RM7.2 bilion berbanding tahun sebelumnya.

“Permintaan yang kukuh untuk gudang dan pusat pengedaran dipacu oleh pengembangan pesat Malaysia sebagai hab pengedaran.

“Terdapat banyak pembelian yang berlaku di Malaysia dan itu meningkatkan permintaan untuk gudang dan kemudahan pengedaran,” katanya.

Selain itu, Kashif berkata pasaran hartanah perumahan negara akan terus berkembang pada tahun ini.

Katanya, pada 2024, pasaran perumahan mencatatkan keputusan yang kukuh dengan peningkatan sebanyak 10.4 peratus dalam nilai transaksi, mencapai RM28.74 bilion pada suku ketiga tahun lepas.

“Transaksi perumahan menyumbang sebanyak 50 peratus daripada semua transaksi hartanah, meningkat daripada 46 peratus pada separuh pertama 2024.”

“Sebahagian daripada pertumbuhan itu dipacu oleh bekalan baharu dengan 10 peratus lebih banyak rumah baharu siap dibina,” katanya.

Menurut Kashif, terdapat lebih banyak bekalan perumahan dalam perancangan.

Katanya, industri ini menyaksikan hampir tiga kali ganda bilangan rumah baharu yang dibina berbanding tahun lepas.

— BERNAMA