Fahami Konsep Deposit Rumah Sewa Dengan Jelas

Barangkali masih ramai yang merasai bebanan jika ingin menyewa sebuah rumah yang memerlukan anda untuk menyediakan deposit. Bagi sesetengah penyewa , mereka menganggap bahawa deposit rumah ini adalah sebagai satu bentuk cagaran di mana ianya adalah satu jaminan.

Seringkali dapat kita lihat sendiri, pelbagai masalah timbul dalam kalangan penyewa dan tuan rumah. Ada di antara penyewa yang keluar daripada rumah tanpa membayar duit sewa, bahkan ada yang sanggup meninggalkan rumah sewa tersebut dalam keadaan seperti tempat pelupusan sampah.

Ada juga di kalangan tuan rumah dengan senang hati menggunakan duit deposit rumah sebagai kegunaan sendiri hingga penghujungnya tidak mampu untuk memulangkan semula duit deposit kepada penyewa jika mereka ingin keluar daripada rumah sewa tersebut.

Biasanya, deposit rumah ini ditentukan oleh 2 faktor utama.

1. Keadaan Rumah

Rumah yang tidak berperabot biasanya akan diberikan deposit rumah yang lebih rendah. Ini kerana, tiada sebarang kelengkapan untuk digunakan oleh bakal penyewa rumah.

2. Budi Bicara

Ada segelintir tuan rumah adalah dalam kalangan saudara mara ataupun kenalan rapat yang anda kenal hendak menyewakan rumah mereka. Atas budi bicara mereka inilah yang membolehkan anda untuk mendapat kadar deposit rumah yang rendah.

Bagaimana Deposit Rumah Dikira?

Biasanya, jika dapat anda lihat deposit rumah akan dikira dalam bentuk kos cagaran, kos sewa bulanan pertama, juga kos utiliti seperti bil elektrik dan air.

Contohnya,

1 + 1 = RM800 deposit (cagaran) + RM800 sewa bulanan pertama = RM1600

2 + 1 = RM1600 deposit (cagaran) + RM800 sewa bulanan pertama = RM2400

2 + 1 + 1 = RM1600 deposit (cagaran)  + RM800 sewa bulanan pertama + RM700 deposit utiliti = RM3100

Amat jarang sekali tuan rumah menyewakan rumah mereka tanpa mengenakan deposit. Lebih-lebih lagi jika penyewa bukanlah dari individu yang sama sekali tidak mereka kenali. Tuan rumah bakal berhadapan risiko yang sangat besar sekiranya mereka tidak mengenakan deposit terhadap penyewa.

Di antaranya:

  • Penyewa berlengah dalam membuat pembayaran sewa rumah.
  • Penyewa lari rumah tanpa membuat pembayaran ataupun penyewa keluar dari rumah sebelum tamat kontrak.
  • Tuan rumah berhadapan kos kerosakan rumah yang disebabkan penyewa

Berdasarkan kepada 3 risiko di atas, jika berlaku perkara yang tidak diingini sepanjang tempoh penyewaan, maka duit deposit inilah yang menjadi perlindungan kepada tuan rumah.

Sama ada penyewa tersebut adalah bujang atau sudah berkeluarga, pasti mereka ini gemar semua benda serba-serbi ada dan tiada masalah untuk membayar kadar sewa yang lebih tinggi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman