Inflasi: Dua Faktor Berlakunya Peningkatan Harga Di Dalam Ekonomi

Inflasi secara mudahnya adalah satu kenaikan harga. Secara teori inflasi bermaksud suatu kenaikan dalam tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi. Dengan peningkatan tingkat harga umum, wang yang ada pada kita hanya dapat membeli barangan dan perkhidmatan dalam jumlah yang kurang daripada sebelumnya.

Oleh itu, inflasi juga mencerminkan penurunan dalam kuasa beli wang iaitu satu kehilangan nilai sebenar untuk membeli. Satu ukuran utama bagi inflasi adalah perubahan peratusan tahunan di dalam sesuatu indeks harga umum iaitu Indeks Harga Pengguna.

Kenaikan harga sering dikaitkan dengan perkara negatif kerana kuasa beli yang merosot seiring dengan kenaikan inflasi. Namun dari sudut lain, kepentingan inflasi dalam perkembangan dan pertumbuhan ekonomi tidak dapat disangkal. Rasionalnya, hanya dengan kenaikan harga dapat memberikan keuntungan kepada perniagaan.

Walaubagaimanapun, inflasi yang tidak terkawal boleh menyebabkan kemelesetan ekonomi terhasil daripada kurangnya permintaan dan kegagalan majoriti perniagaan di sesebuah negara.

Kita akan cuba rungkaikan dua faktor yang menyebabkan kenaikan harga iaitu inflasi tarikan permintaan dan inflasi tolakan kos.

1. Inflasi Tarikan Permintaan (Demand-Pull Inflation)

Inflasi tarikan permintaan berlaku disebabkan oleh permintaan melebihi bekalan barangan atau perkhidmatan dalam jangka pendek.

Berdasarkan graf di bawah menunjukkan bagaimana harga berubah (Price level, PL) seiring dengan berlalunya waktu (Tahun, Y). Kita dapat lihat dalam rajah yang sama, pergerakan keluk permintaan agregat (Aggregate Demand, AD) pada keluk penawaran agregat jangka panjang (Long Run Agregate Supply, LRAS) menyebabkan kenaikan harga.

Antara contoh yang menyumbang kepada inflasi tarikan permintaan adalah globalisasi, peningkatan perbelanjaan negara dan rangsangan monetari oleh bank pusat.

Perkembangan ekonomi yang pesat di luar negara dan pasaran domestik merupakan di antara faktor yang memyumbang kepada permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan di sesebuah negara. Contohnya Malaysia, dengan status sebagai pengeluar utama minyak sawit dan juga produk semikonduktor, globalisasi memberi banyak faedah kepada peningkatan eksport sekaligus memacu ekonomi tetapi kadangkala diiringi dengan inflasi.

Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, inflasi dalam negeri juga telah dipengaruhi oleh perkembangan di luar negeri. Inflasi global menurun kepada paras terendah dalam sejarah pada fasa “penurunan besar”, iaitu inflasi global secara purata turun daripada 15.4% pada tempoh 1990-1999 kepada 3.9% pada tempoh 2000-2008.

Rangsangan fiskal melalui peningkatan perbelanjaan kerajaan juga dapat memacu kenaikan inflasi contohnya melalui belanjawan negara.

Rangsangan monetari oleh bank pusat juga dapat meningkatkan tingkat harga dalam ekonomi melalui peningkatan bekalan wang melalui penurunan kadar faedah asas dan juga pembelian bon-bon kerajaan.

Pelonggaran dasar oleh bank pusat ini pada akhirnya akan meningkatkan jumlah permintaan. Namun, jika penawaran barangan dan perkhidmatan tidak meningkat seiring dengan peningkatan permintaan, maka inflasi akan terhasil.

2. Inflasi Tolakan Kos (Cost-Push Inflation)

Inflasi jenis ini terhasil apabila harga keseluruhan meningkat disebabkan peningkatan kos operasi.

Kos operasi boleh meningkat dengan peningkatan kadar gaji dan juga bahan mentah. Peningkatan kos pengeluaran dapat mengurangkan penawaran produk atau perkhidmatan di dalam sesebuah ekonomi. Dengan andaian permintaan tidak berubah, peningkatan harga pembuatan akan dipindahkan kepada pengguna sekaligus menyebabkan inflasi.

Antara faktor terhasilnya inflasi tolakan kos adalah peningkatan harga sumber tenaga, kadar gaji minimum, kadar cukai, harga barangan import dan juga penyusutan nilai matawang.

Jika sesebuah syarikat itu banyak bergantung kepada penggunaan minyak petrol untuk tujuan logistik, maka kenaikan harga minyak mentah global sudah tentu memberi tekanan kepada syarikat untuk menaikkan harga. Peningkatan harga komoditi hitam sekitar tahun 2007-2008 banyak memberi tekanan kepada harga barangan global pada ketika itu.

Peningkatan dalam kos buruh atau kadar gaji pekerja contohnya melalui dasar kerajaan seperti gaji minimum juga meningkatkan kos pengeluaran syarikat secara langsung.

Faktor yang tidak dijangka seperti bencana alam termasuk banjir, gempa bumi, kebakaran dan ribut taufan yang berlaku di zon perindustrian sudah tentu mengurangkan bekalan di dalam ekonomi. Oleh itu, disebabkan permintaan yang kekal telah melebihi daripada bekalan yang dapat dikeluarkan; harga terpaksa dinaikkan.

Dari sudut lain, syarikat tidak mempunyai pilihan lain, selain daripada menaikkan harga bagi membiayai kerugian yang ditanggung selepas berlakunya bencana.

Sumber Rujukan:

  1. http://www.bnm.gov.my/files/publication/ar/bm/2010/cp01_003_rencana.pdf
  2. http://www.ukm.my/fep/perkem/pdf/perkemVIII/PKEM2013_3B5.pdf
  3. https://www.investopedia.com/terms/c/costpushinflation.asp
  4. https://www.investopedia.com/terms/d/demandpullinflation.asp

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

BJAK Diluluskan Oleh Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR: Seiring dengan peningkatan rakyat Malaysia yang beralih kepada platform digital untuk memperbaharui insurans dan cukai jalan, keperluan untuk memilih penyedia perkhidmatan yang dipercayai serta dikawal selia semakin penting.

BJAK, platform insurans terbesar di Malaysia, terus menyokong rakyat negara ini dengan menyediakan cara yang lebih mudah dan telus untuk membanding serta memperbaharui insurans dan takaful kenderaan secara dalam talian.

BJAK merupakan Penasihat Kewangan diluluskan oleh Bank Negara Malaysia, sekali gus memangkin komitmennya dalam menyediakan platform yang dipercayai untuk perbandingan dan pembaharuan insurans.

Melalui BJAK, pengguna boleh membandingkan pelan daripada sehingga 16 syarikat insurans dan pengendali takaful dalam satu platform. Ini membolehkan pengguna membuat keputusan yang lebih bijak berdasarkan harga, perlindungan dan manfaat, semuanya melalui pengalaman digital yang mudah dan lancar.

Dalam era peningkatan kes penipuan dalam talian serta maklumat yang mengelirukan, rakyat Malaysia disarankan agar sentiasa menyemak kesahihan penyedia perkhidmatan kewangan sebelum membuat sebarang pembayaran atau berkongsi maklumat peribadi secara dalam talian.

Pemilihan platform yang dikawal selia dan dipercayai dapat membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih selamat dan yakin.

Selain perbandingan insurans, BJAK turut menawarkan perkhidmatan pembaharuan cukai jalan secara dalam talian, sekali gus memudahkan rakyat Malaysia menguruskan keperluan berkaitan kenderaan mereka secara digital.

Dengan membolehkan pengguna membandingkan pelbagai syarikat insurans dan pengendali takaful di satu tempat, BJAK komited untuk membantu rakyat Malaysia mengelakkan pembaharuan secara terburu-buru tanpa perbandingan, di samping menggalakkan keputusan kewangan yang lebih bijak melalui ketelusan dan pilihan.

— Awani