9 Rahsia Kejayaan Siti Khadijah

Jenama Siti Khadijah begitu sinonim dengan rekaan telekung yang menarik dan eksklusif.

Kain telekungnya yang berkualiti tinggi serta reka bentuk muka yang mudah disarung dan selesa, menjadikan telekung ini begitu diminati ramai terutama sekali oleh golongan kaum wanita.

Bagi pemilik dan pengasas Butik Siti Khadijah iaitu Puan Padzillah Enda Sulaiman, kejayaan yang dicapainya sekarang adalah hasil daripada minatnya yang mendalam dalam bidang jahitan.

Di samping minat, beliau juga bersungguh-sungguh dalam melakukan kajian, pembangunan dan inovasi untuk produk rekaannya seiring dengan dunia fesyen terkini.

Dalam tempoh sembilan tahun, empayar Siti Khadijah telah berkembang dengan mempunyai 30 cawangan butik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Lebih membanggakan, produk telekung Siti Khadijah berjaya menembusi pasaran Indonesia, yang terkenal dengan lambakan telekung yang penuh warna-warni dan variasi.

Kini terdapat dua cawangan butik Siti Khadijah di negara burung garuda itu, iaitu di Jakarta dan di Bandung.

Kewibawaan Puan Padzillah Enda Sulaiman dalam meneraju bidang keusahawanan telah mendapat pengiktirafan di tanah air tercinta iaitu:

#1- Women Entrepreneur Award 2016
#2- Anugerah Usahawan Wanita E50 2017
#3- Menerima Anugerah Perdana dan Anugerah Pemasaran Digital oleh SME Corp
#4- Anugerah Superbrand Deloitte, yang meletakkan jenama Siti Khadijah sebaris dengan nama besar seperti 7 Eleven dan Bank CIMB.

Pengiktirafan yang diperoleh ini bukanlah satu nikmat yang dikecapi dalam masa sehari semalam. Ada kesungguhan, kegagalan, pengorbanan dan seribu satu cabaran yang dilalui dan didepani.

Di sebalik kejayaan jenama Siti Khadijah, ada watak utama seorang wanita yang punyai impian yang besar dan kecekalan hati yang tinggi.

Penghasilan telekungnya bukan hanya bermatlamatkan keselesaan, malah ia memenuhi tuntutan ukhrawi iaitu sebagai pelaburan untuk saham akhirat.

Mari kita dekati rahsia kejayaan Puan Padzillah Enda Sulaiman, pengasas jenama Siti Khadijah.

#1 – Bermula Dengan Minat

This image has an empty alt attribute; its file name is 6-Tips-Marketing-Telekung-Siti-Khadijah2-700x490.jpg

Kredit Gambar: Siti Khadijah

Benarlah kata orang, tiada apa yang mustahil bagi orang yang mempunyai minat dan semangat untuk berjaya.

Semasa di peringkat sekolah menengah rendah lagi, Puan Padzillah begitu cenderung untuk menjahit. Walaupun tidak mengambil aliran sains rumah tangga, keinginan beliau untuk menjahit dan menghasilkan sesuatu daripada seni jahitan tangannya sendiri begitu tinggi.

Demi memenuhi permintaan seorang anak saudaranya yang ketika itu berusia lapan tahun, Puan Padzilllah berjaya menghasilkan sehelai maxi (baju labuh) yang kemas, cantik dan rapi jahitannya, tanpa menggunakan mesin jahit.

Dengan minat beserta bakat yang ada, Puan Padzillah tidak mahu mempersiakan anugerah yang telah diberi Ilahi.

#2 – Nak Bebas Daripada Kemiskinan

Beliau merupakan anak bongsu daripada 13 orang adik-beradik. Dilahirkan di Kampung Pekan Lama, Sungkai, Perak, sebuah kampung yang letak jauh di pedalaman.

Ibu beliau meninggal dunia ketika melahirkannya. Kehidupan di kampung yang amat mundur, tiada bekalan air dan elektrik, tiada jalan tar yang sempurna menyebabkan beliau ingin cepat keluar daripada belenggu kemunduran dan kemiskinan.

Kehidupan yang penuh sukar di kampung mendorongnya untuk gigih berusaha menamatkan pelajarannya sehingga ke Tingkatan Lima.

Beliau juga sentiasa mengimpikan bakal suami yang terpelajar dan daripada golongan berada untuk merasai nikmat kehidupan yang lebih senang dan terjamin.

#3 – Mengutamakan Keselesaan Beribadat

Setiap kali Ramadhan menjelma, beliau pasti membeli sehelai telekung baharu untuk mengerjakan ibadah tarawih.

Baginya, untuk ibadah yang memakan masa yang agak lama seperti solat tarawih, haji dan umrah, pemakaian telekung haruslah selesa, menepati syariat dan juga nampak menawan untuk si pemakai.

Kecewa kerana tiada satu telekung pun yang menepati citarasa beliau, setiap telekung yang dibelinya pasti diubah suai terutama sekali di bahagian muka agar tampil kemas, selesa dan anggun.

Siapa sangka, tabiatnya itu mula mendapat perhatian seorang rakan, mencadangkan beliau memulakan perniaagaan telekung secara komersial.

#4 – Siti Khadijah A.S Sebagai Inspirasi

Bagi Puan Padzillah, nama Siti Khadijah A.S mempunyai nilai penjenamaan yang tersendiri. Siapa yang tidak mengenali ikon srikandi solehah yang amat dekat pada hati Rasulullah S.A.W.

Figura ini adalah insan agung yang menjadi suri teladan bagi wanita Islam, isteri yang setia, usahawan ternama yang disegani yang sentiasa dipandang tinggi oleh Rasulullah S.A.W.

Puan Padzillah mahu jenama Siti Khadijah sentiasa meniti di bibir dan melekat di hati pelanggan.

“Ingat telekung, ingat Siti Khadijah.”

#5 – Menggunakan Pelbagai Medium Pemasaran

This image has an empty alt attribute; its file name is 6-Tips-Marketing-Telekung-Siti-Khadijah3-700x369.jpg

Kredit Gambar: Siti Khadijah

Memulakan perniagaannya pada tahun 2009, Puan Padzillah dibantu oleh anak sulungnya, berjaya membuka domain perniaagaan atas talian, www.sitikhadijah.com.

Beliau juga berhubung rapat dengan wartawan akhbar arus perdana untuk mempromosikan produk telekungnya.

Ternyata strategi promosi beliau berjaya apabila salah seorang pelanggan telekung Siti Khadijah merupakan seorang penerbit rancangan Wanita Hari Ini (WHI) yang bersiaran di TV3.

Beliau dijemput sebagai tetamu di WHI dan dari situ permintaan telekung Siti Khadijah meningkat di luar jangkaan, mengatasi bekalan telekung.

Pada tahun 2014, Siti Khadijah menerima tawaran untuk muncul dalam rancangan Astro Go Shop.

Bermula dengan 50,000 pasang telekung yang ditempah secara belian terus oleh Go Shop, jalinan perhubungan perniagaan antara Siti Khadijah dan Go Shop diteruskan sehingga jualan melalui Go Shop melebihi RM10 juta.

#6 – Ujian Dalam Bisnes

Puan Padzillah memulakan perniagaan telekungnya bermodalkan RM10,000 dengan sejumlah 200 pasang telekung yang dijahitnya sendiri.

Sasaran awal pelanggan pada masa itu ialah syarikat-syarikat agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji dan umrah.

Ternyata rezeki tidak menyebelahi beliau kerana syarikat-syarikat yang ditemuinya berpendapat telekung Siti Khadijah terlalu eksklusif dan mahal harganya.

Namun, kegagalan beliau sebenarnya bukan kerana masalah harga yang mahal dan premium, tetapi kegagalan dalam menentukan sasaran pelanggan.

Setelah mempromosikan telekungnya di dalam ruangan akhbar perdana dan media massa, bertali arus panggilan dan tempahan yang diterima oleh beliau.

Beliau juga pernah menyaman sebuah syarikat jualan langsung antarabangsa pada tahun 2010 di atas dakwaan meniru rekaan produk jenama Siti Khadijah yang sudah pun didaftar di bawah reka bentuk hak cipta dan industri.

Dengan kesabaran dan kesungguhan, beliau memenangi kes tersebut.

#7 – Tips Bisnes

Puan Padzillah berpendapat setiap orang mempunyai potensi untuk berniaga. Tanamkan minat dan kesungguhan terlebih dahulu dan sentiasa mencipta peluang.

Asah bakat yang ada supaya ia tidak terhakis dan hilang begitu sahaja. Bakat juga boleh dibentuk dengan keazaman yang tinggi. Pesan Puan Padzillah kepada individu yang ingin memulakan bisnes:

“Seseorang itu perlu berfikiran positif, memiliki kekuatan dalaman, berani, tidak mudah putus asa, rajin mencari ilmu dan sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah SWT.”

#8 – Mengaplikasikan Strategi Blue Ocean

Pembabitan awal Puan Padzillah dalam perniagaan menjahit telekung menimbulkan banyak tanggapan negatif.

Orang sekeliling mempersoalkan yang produk telekung sudah banyak di pasaran. Ada juga yang terkejut dengan keputusan beliau.

Namun, beliau menepis kata-kata yang tidak membina dan negatif itu dengan bijaksana. Dengan berpandukan kepada Strategi Blue Ocean, perniagaan produk telekung sememangnya sudah banyak di pasaran.

Pengusaha bisnes telekung dikatakan berada di dalam samudera merah, masing-masing perlu bersaing dan memastikan produk mereka kekal bertahan dan mendapat sambutan.

Baginya, tidak salah untuk terjun ke samudera merah, tetapi pastikan para pengusaha ini berenang ke samudera biru yang lebih cantik dan mendamaikan.

Di sini, perlu ada daya kreativiti dan inovasi daripada para pengusaha dalam penghasilan produk mereka. Di dalam samudera biru, produk mereka ada keistimewaan dan keunikan dalam kelas yang tersendiri.

#9 – Sokongan Daripada Suami Dan Keluarga

Kredit Gambar: Twitter

Puan Padzillah bertuah kerana suami dan enam orang anaknya yang kesemuanya lelaki terlibat dalam membangunkan jenama Siti Khadijah.

Menantunya juga menjadi model untuk produk telekung yang dihasilkan. Beliau amat berbangga dengan anak sulungnya, Mohammad Muzammil yang sentiasa aktif mempelajari, menambah ilmu dan mengikuti kursus-kursus keusahawanan untuk memajukan perniagaan.

Mengimbas kembali pengalaman membesarkan anak-anaknya, Puan Padzillah sentiasa menitikberatkan didikan agama.

Beliau dan suami berusaha untuk memberikan contoh yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ternyata kesungguhan dan keikhlasan Puan Padzillah dan suami dalam mendidk anak-anaknya membuahkan hasil yang baik.

Puan Padzillah adalah ikon usahawan wanita yang patut menjadi contoh kepada pengusaha-pengusaha wanita yang lain.

Dalam keghairahan memajukan bisnesnya, beliau tidak lupa tanggungjawab kepada ibu, bapa, suami dan anak-anak. Baginya, rahsia kejayaan dan kebahagian itu terletak pada restu ibu dan bapa.

Jalankanlah tanggungjawab yang diamanahkan tanpa rungutan dan pertikaian. Hanya Allah yang menentukan sebaik-baik ganjaran.

Kredit: Tazkirah.net

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kaya Di Mata : Realiti Kewangan Malaysia Yang Jarang Didedahkan

Dalam dunia yang gemar menilai kekayaan melalui apa yang nampak secara fizikal seperti kereta mewah, rumah besar, pakaian berjenama, ramai terperangkap dalam “kaya tipu-tipu”: mewah di luar, rapuh di dalam.

Artikel ini menyelami perbezaan asas antara “kaya tipu-tipu” dan “kaya sebenar”, disokong dengan data pencapaian kewangan isi rumah Malaysia, untuk memberikan gambaran yang lebih bernas dan tidak klise.

1. Kaya Tipu-Tipu: Ilusi Kekayaan yang Rapuh

Golongan ini menumpukan kepada persepsi, mereka lebih mementingkan imej daripada asas kewangan yang sihat.

Ciri-ciri utama:

  • Aliran tunai rapuh dan aliran keluar lebih besar
  • Pendapatan besar habis dibelanjakan untuk pembayaran ansuran kereta, kad kredit dan gaya hidup. Walaupun gaji tinggi, kos perbelanjaan lebih menguasai.
  • Nilai bersih (net worth) negatif
  • Tiada simpanan atau nilai bersih positif. Aset yang dimiliki adalah atas nama pinjaman. Jika aset dijual sekalipun, hasilnya tidak cukup untuk membayar hutang.
  • Hutang tinggi dan “good debt” tiada
  • Gaya hidup dibiayai oleh hutang (BNPL), bukan pelaburan atau aset produktif.
  • Motivasi status, bukan kestabilan
  • Pembelian didorong oleh keinginan untuk menunjukkan kekayaan, bukan atas dasar keperluan

2. Kaya Sebenar: Kekayaan yang Kukuh, Terlihat Biasa

Golongan ini mungkin tidak menarik perhatian, tetapi struktur kewangan mereka teguh dan bebas dari tekanan luar.

Ciri-ciri utama:

  • Nilai bersih positif
  • Pendapatan pasif dari sewaan, pelaburan dan saham. Aset melebihi liabiliti.
  • Pendapatan pelbagai aliran
  • Gaji, sewaan hartanah, dividen saham, perniagaan, pengagihan risiko dan kestabilan jangka panjang.
  • Kecairan tunai mencukupi
  • Simpanan kecemasan yang mencukupi membolehkan ketenangan apabila berdepan krisis.
  • Hidup di bawah kemampuan

Walaupun berkemampuan, mereka memilih kesederhanaan kewangan demi ketenangan jangka panjang.

3. Statistik Malaysia: Menyokong Fenomena Kekayaan Tipu-Tipu vs Sebenar

i) Hutang Isi Rumah Tinggi

Sehingga hujung 2021, nisbah hutang isi rumah kepada KDNK Malaysia mencecah 89 peratus, antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Ia merangkumi RM1.4 trilion hutang, 58 % bagi pinjaman perumahan, 13 % pinjaman kenderaan, 14 % pinjaman peribadi, dan 3 % kad kredit.

ii) Tabung Kecemasan Rendah

Hanya 40 peratus isi rumah menyangka mereka boleh bergantung pada simpanan sendiri atau keluarga jika menghadapi kecemasan.

Sebanyak 55 peratus responden melaporkan mereka mempunyai kurang daripada RM10,000 simpanan yang boleh diakses segera.

iii) Kadar Simpanan Rendah

Tahun 2022 mencatat kadar simpanan isi rumah (household savings rate) hanya sekitar 3 peratus daripada pendapatan boleh guna (disposable income).

Purata sebelum ini (2006–2013) lebih rendah, sekitar 1.4 hingga 1.6 peratus.

iv) Ketahanan Terhadap Kejutan Kewangan Lemah

Kajian mendapati hanya 10 peratus isi rumah bandar Malaysia benar-benar tahan terhadap kejutan kewangan seperti kehilangan pendapatan, kecacatan, atau kematian. Lebih daripada 20 peratus tidak mampu bertahan sekurang-kurangnya tiga bulan jika pendapatan terputus.

4. Implikasi dan Kesedaran Kewangan

Data menunjukkan ramai rakyat Malaysia berada dalam situasi “kaya tipu-tipu”: hidup mewah tetapi asas kewangan rapuh. Gagal memiliki simpanan kecemasan dan nisbah hutang tinggi mengancam daya tahan ekonomi isi rumah.

Langkah yang disarankan:

1. Meningkatkan literasi kewangan agar rakyat lebih faham risiko hutang dan pentingnya simpanan.

2. Mempromosikan pengurusan kewangan yang rasional seperti membina simpanan, elak gaya hidup melebihi kemampuan.

3. Sokongan dasar untuk menyediakan insentif tabungan (contoh: subsidi simpanan, pendidikan kewangan).

Tidak semua yang kelihatan hebat benar-benar kukuh. “Kaya tipu-tipu” adalah rentap jangka pendek yang menjerat manakal “kaya sebenar” adalah kestabilan yang dilandasi disiplin kewangan dan perancangan masa depan.

Data Malaysia menggambarkan bahawa masih ramai yang terjebak dalam ilusi, bukan realiti dan artikel ini diharap membuka mata kepada perlunya kebijaksanaan dalam membina kekayaan sejati bukan sekadar apa yang nampak, tetapi apa yang kekal dan tahan dalam ujian masa.