Pasaran Modal Meningkat Kepada RM4.2 Trilion Pada 2024 Berikutan Minat Belian Kukuh

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Minat belian yang kukuh dalam bursa tempatan selain peningkatan ketara jumlah tawaran awam awal (IPO) dan pertumbuhan jumlah terkumpul pasaran bon dan sukuk telah meningkatkan saiz pasaran modal sebanyak 9.7 peratus kepada RM4.2 trilion pada 2024 daripada RM3.8 trilion pada 2023. 

Menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini, pasaran modal Malaysia mencatatkan prestasi mengatasi kebanyakkan rakan serantau walaupun merekodkan aliran keluar ekuiti asing bersih, disokong oleh minat belian yang kukuh daripada pelabur institusi tempatan, keadaan politik dan makroekonomi yang stabil serta pemulihan ringgit berbanding mata wang utama.

Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan dan teratur, sambil terus melaksanakan peranan asasnya dalam membolehkan dan memudahkan penjanaan modal untuk membiayai ekonomi domestik.

Sementara itu SC berkata industri pengurusan dana berkembang pada 2024, dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) mencapai rekod tertinggi RM1.1 trilion, didorong oleh prestasi pasaran ekuiti global yang kukuh, terutamanya dalam penilaian berkaitan AI di pasaran Amerika Starikat.

“Segmen unit amanah kekal sebagai sumber dana terbesar, yang terdiri daripada 51.1 peratus daripada jumlah AUM.

“Jumlah dana yang diperoleh dalam pasaran modal meningkat kepada RM138.9 bilion pada 2024 berbanding RM127.7 bilion pada 2023, dengan RM14.7 bilion diperoleh melalui pasaran ekuiti, sementara RM124.2 bilion diterbitkan melalui pasaran bon korporat,” katanya dalam laporan tersebut.

Bagi prestasi pasaran ekuiti Malaysia, SC berkata sebahagian besarnya didorong oleh pelbagai faktor domestik, termasuk pelancaran dan peningkatan kejelasan dasar negara, langkah pengukuhan fiskal seperti rasionalisasi subsidi diesel, pertumbuhan pendapatan dan aktiviti korporat.

Permodalan pasaran keseluruhan bursa tempatan berakhir lebih tinggi pada RM2.1 trilion pada 2024 daripada RM1.8 trilion tahun sebelumnya, manakala FBMKLCI meningkat kepada RM1.2 trilion berbanding RM1.0 trilion pada 2023.

Selain itu SC berkata, kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras menunjukkan penurunan, meskipun terdapat kenaikan harga utiliti dan pengangkutan akibat pelarasan dasar fiskal pada tahun ini, di mana keadaan ini mencerminkan kesan pemindahan kos yang minimum.

Dalam pasaran bon Malaysia, jumlah bon dan sukuk belum tebus meningkat kepada RM2.10 trilion daripada RM2.01 trilion pada 2023, disokong oleh terbitan berterusan bon dan sukuk, terutamanya bon kerajaan.

Bagi tahun ini, SC berkata ekonomi Malaysia dijangka kekal berada pada trajektori pertumbuhan yang stabil, dirangsang oleh kekuatan berterusan dalam permintaan domestik, terutamanya melalui pengembangan berterusan dalam perbelanjaan dan pelaburan sektor swasta.

“Pelancaran pelan ekonomi kerajaan yang berterusan akan terus menambah sokongan kepada ekonomi, manakala pemulihan ringgit Malaysia akan meningkatkan aktiviti perbelanjaan pengguna,” katanya. 

Dalam pasaran modal domestik aktiviti dijangka didorong oleh momentum dalam ekonomi domestik, manakala turun naik dijangka dipengaruhi terutamanya oleh ketidaktentuan yang menyelubungi ketidakstabilan geopolitik, kawal selia dan isu dasar serta pertumbuhan dalam segmen ekonomi maju tertentu.

“Meskipun begitu, tindakan dasar sokongan yang berterusan di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI dan pelaksanaan Rancangan Ekonomi Negara dijangka memberi kesan positif dalam jangka sederhana,” kata suruhanjaya itu. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Belum Rancang Masa Depan Anak? Ini Senarai Akaun Simpanan Dan Pelaburan Terbaik Untuk Anak Bawah 18 Tahun

Merancang simpanan dan pelaburan untuk anak sejak mereka kecil adalah langkah bijak bagi memastikan masa depan kewangan yang kukuh. Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis akaun simpanan dan pelaburan yang boleh dibuka untuk kanak-kanak, termasuk bagi bayi yang baru lahir, remaja, dan juga mereka yang telah mula bekerja separuh masa.

Berikut adalah senarai akaun simpanan dan pelaburan yang sesuai, beserta had umur pembukaan, syarat, modal minimum, ciri utama, kelebihan dan kekurangan.

1. Tabung Haji (Akaun Kanak-kanak)

Had umur pembukaan: Sejak lahir

Syarat: MyKid atau surat beranak anak, dibuka oleh penjaga sah

Modal minimum: RM10

Ciri utama: Patuh Syariah, dividen tahunan sekitar 2.5 hingga 3 peratus, tiada caj bulanan, pendaftaran haji awal boleh dibuat.

Kelebihan: Stabil, risiko rendah, sesuai untuk simpanan jangka panjang dan tujuan ibadah haji.

Kekurangan: Pulangan lebih rendah berbanding instrumen pelaburan lain.

2. Akaun Simpanan Junior Bank

Contoh: Maybank Yippie-i Savings, CIMB Junior Savers, RHB Junior, Bank Islam Young Savers

Had umur pembukaan: Sejak lahir (kad ATM biasanya diberi pada umur 12 tahun ke atas)

Syarat: MyKid atau surat beranak anak, dibuka oleh penjaga sah.

Modal minimum: RM1 hingga RM20 bergantung kepada bank

Ciri utama: Kadar keuntungan/faedah rendah antara 0.25 hingga 1 peratus setahun, mempunyai buku simpanan dan kad ATM pada umur tertentu.

Kelebihan: Mudah diakses, sesuai untuk mengajar anak mengurus wang sejak kecil.

Kekurangan: Pulangan rendah dan tidak sesuai sebagai instrumen pelaburan utama.

3. Amanah Saham Bumiputera (ASB / ASB 2)

Had umur pembukaan: Sejak lahir (Bumiputera sahaja)

Syarat: MyKid atau surat beranak anak, dibuka oleh penjaga sah.

Modal minimum: RM10

Ciri utama: Harga unit tetap, dividen sekitar 4 hingga 6 peratus setahun dan bebas cukai.

Kelebihan: Risiko rendah, pulangan stabil, sesuai untuk simpanan jangka panjang.

Kekurangan: Terhad kepada Bumiputera sahaja.

Baca juga Sejarah Pulangan Dividen ASB Dari Tahun 2014 – 2024 [KEMASKINI]

4. Unit Amanah ASNB (ASN Imbang, ASN Sara dan lain-lain)

Had umur pembukaan: Sejak lahir

Syarat: MyKid atau surat beranak anak, dibuka oleh penjaga sah.

Modal minimum: RM10

Ciri utama: Harga unit berubah mengikut prestasi pasaran, potensi pulangan lebih tinggi berbanding ASB.

Kelebihan: Sesuai untuk pelaburan jangka panjang, berpotensi memberi pulangan besar.

Kekurangan: Ada risiko kerugian jika harga unit jatuh.

5. Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN Prime)

Had umur pembukaan: Sejak lahir

Syarat: MyKid atau surat beranak anak, dibuka oleh penjaga sah

Modal minimum: RM20

Ciri utama: Dividen tahunan sekitar 3 hingga 4 peratus, pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma.

Kelebihan: Sesuai untuk pendidikan anak, memberi manfaat cukai kepada ibu bapa.

Kekurangan: Kurang fleksibel untuk tujuan selain pendidikan.

6. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Had umur pembukaan: Minimum 14 tahun

Syarat: Mempunyai pekerjaan dan gaji, majikan perlu mendaftar caruman

Modal minimum: Tiada, caruman dibuat melalui potongan gaji

Ciri utama: Simpanan persaraan rasmi, dibahagi kepada Akaun 1 dan Akaun 2, dividen sekitar 4 hingga 6 peratus setahun, termasuk perlindungan sosial.

Kelebihan: Modal terkumpul besar dengan caruman majikan, pulangan konsisten.

Kekurangan: Wang simpanan hanya boleh dikeluarkan mengikut syarat tertentu.

Sejarah Pulangan Dividen KWSP Dari Tahun 2014 – 2024

Bagi anak bawah 18 tahun, pilihan akaun simpanan dan pelaburan bergantung pada tujuan utama simpanan. Jika matlamat adalah demi kestabilan, Tabung Haji, SSPN Prime dan ASB adalah pilihan utama. Bagi tujuan pelaburan jangka panjang dengan potensi pulangan lebih tinggi, Unit Amanah ASNB, robo-advisor dan pelaburan emas boleh dipertimbangkan. Untuk anak yang sudah mula bekerja, KWSP adalah simpanan wajib yang memberi manfaat besar dalam jangka panjang.