
Sub Topik
Pasaran saham global pada minggu lalu berakhir lebih tinggi berbanding pembukaan hari Isnin (26 Ogos 2019) dengan beberapa tanda positif dalam perkembangan terkini rundingan AS-China. Indeks saham di Wall Street bergerak naik-turun sepanjang minggu lalu apabila data ekonomi dilihat bercampur-campur di samping perang perdagangan yang terus memangkin pergerakan pasaran.
Buat pertama kali sejak bulan Mei, indeks saham utama AS merosot pada bulan Ogos selepas berhadapan isu perang perdagangan yang tidak berkesudahan. Pada minggu berakhir 30 Ogos, Dow Jones Industrial Average (DJIA) menokok 2.99%, S&P 500 naik 2.76%, manakala Nasdaq berakhir 2.71% lebih tinggi.
Selepas beberapa minggu yang tegang, Presiden Donald Trump dan pihak China cuba menenangkan dan meyakinkan pasaran bagi membantu kenaikan pasaran global. Walaubagaimanapun masih terdapat kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi apabila pasaran bon AS sekali lagi menunjukkan tanda-tanda tidak baik pada hari Rabu lepas.
Untuk pengetahuan anda, pasaran Amerika Syarikat ditutup pada hari Isnin (2 September 2019) bersempena dengan cuti umum Hari Buruh.
Isu geopolitik dan laporan data ekonomi penting akan menjadi perhatian pasaran pada minggu ini. Perang perdagangan Amerika Syarikat dan China seperti biasa dijangka mendominasi sentimen pasaran bersama dengan isu Brexit. Data pekerjaan NFP pula akan mewarnai pergerakan pasaran pada penghujung sesi dagangan minggu ini.
Berikut adalah empat tema utama yang bakal menjadi perhatian pelabur global sepanjang minggu ini.
1. Tarif Baru Amerika Syarikat – China Berkuatkuasa 1 September

Tarif baru AS-China telah berkuatkuasa di mana dua negara ini masing-masing berbalas serangan dagang yang bermula pada 1 September 2019. Walaubagaimanapun Presiden Trump mengatakan pihaknya akan tetap bertemu dengan China untuk berunding pada bulan ini.
Pusingan baru tarif ini menunjukkan China mengenakan tambahan levi 5% terhadap minyak mentah dari AS. Kerajaan AS pula telah mula mengutip cukai 15% terhadap import produk China yang berjumlah $125 billion. Dalam cubaan balas, China telah mula menguatkuasakan tarif terhadap senarai $75 billion produk dari Amerika Syarikat.
Pusingan baru tarif terhadap produk China akan berkuatkuasa pada 15 Disember 2019 yang mana jumlah keseluruhan mencecah $300 billion.
Buat masa ini, ekonomi Amerika Syarikat dinilai masih baik berdasarkan pertumbuhan ekonomi semasa dan juga kadar inflasi yang kekal rendah dari sasaran bank pusat. Walaubagaimanapun, kajian yang dibuat oleh University of Michigan menunjukkan perang dagang antara AS-China telah memberi kesan kepada keyakinan pengguna dan juga amalan pelaburan syarikat di negara itu.
2. Parlimen United Kingdom (UK) Menentang Brexit

Perdana Menteri UK, Boris Johson telah mengumumkan penggantungan Parlimen UK bermula pada minggu kedua September sehingga 14 Oktober 2019 yang mana akan menghalang usaha pembangkang untuk menghentikan senario ‘tiada perjanjian’ dengan Kesatuan Eropah (EU).
Pembangkang dijangka cuba untuk menghalang negara itu daripada meninggalkan EU tanpa perjanjian. Pihak kerajaan pula akan cuba menghalang usaha itu dengan tarikh keluar UK akan berkuatkuasa pada bulan hadapan.
Ia tidak hanya terhenti di Parlimen, dua mahkamah di UK dijangka akan mendengar rayuan untuk membatalkan penggantungan Parlimen UK oleh Perdana Menteri.
Walaubagaimanapun, rundingan terus berjalan di antara UK-EU terutamanya dalam isu sempadan Ireland. Barnier, ketua perunding EU pada Ahad (1 September 2019) menegaskan mereka tidak akan mengubah perjanjian Brexit yang telah dipersetujui dengan bekas Perdana Menteri, Theresa May.
3. Data Pekerjaan NFP

Pelabur akan memberikan perhatian kepada data NFP bulan Ogos 2019 yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat (6 September 2019) sebelum penetapan dasar Federal Reserve pada 19 September ini.
Fokus utama pada minggu ini sudah tentu kepada data pekerjaan NFP, lebih-lebih lagi data sebelum ini mencatat bacaan lebih besar berbanding jangkaan. Amerika Syarikat dijangka mencatat tambahan sebanyak 168,000 pekerjaan berbanding 164,000 pada bulan Julai.
Satu lagi data penting adalah purata pendapatan per jam (Average Hourly Earnings) yang digunakan sebagai kayu ukur alternatif kepada keadaan inflasi di Amerika Syarikat. Pasaran hadapan ketika ini menunjukkan potensi untuk bank pusat menurunkan kadar Fed Fund Rate pada 19 September ini adalah 95.8% dengan potongan 25 mata asas.
4. Fenomena Inverted Yield-Curve

Wall Street bergerak naik-turun sepanjang bulan Ogos apabila Trump mengumumkan perancangannya untuk menambah serangan tarif terhadap China. S&P 500 merekodkan 11 pergerakan lebih dari 1% berbanding 22 sesi dagangan sepanjang bulan Ogos 2019. Pergerakan ini termasuklah tiga kejatuhan lebih daripada 2.5% pada bulan yang sama.
Pelabur semakin bimbang apabila pasaran bon beberapa kali menunjukkan tanda berlakunya kemelesetan ekonomi di mana yang terbaru fenomena ‘Inverted Yield-Curve’ terjadi pada minggu lalu.
Perbezaan antara Hasil-Bon 10 Tahun kerajaan AS dan Hasil-Bon 2 Tahun menjadi negatif di mana hasil bon jangka panjang merekodkan bacaan lebih rendah berbanding hasil bon jangka pendek.
Tren penurunan terhadap hasil bon jangka panjang bermula pada Rabu lepas (28 Ogos 2019), manakala hasil bon jangka pendek pula membuat kenaikan. Lebih teruk lagi, Hasil-Bon 30 Tahun kerajaan AS mencapai paras terendah yang baru pada 1.90%.
Sumber Rujukan:
- https://in.reuters.com/article/us-usa-trade-china/china-u-s-kick-off-new-round-of-tariffs-in-trade-war-idINKCN1VM0V9
- http://www.jamaicaobserver.com/sunday-finance/wall-street-swings-to-split-finish-ahead-of-tariffs_173738
- http://www.xinhuanet.com/english/2019-09/01/c_138354307.htm
- https://www.cnbc.com/2019/09/01/trump-says-trade-talks-still-planned-for-sept-after-china-tariffs-go-into-effect.html
- https://www.sinarharian.com.my/article/45977/GLOBAL/Perang-tarif-AS-China-bermula
- https://www.sinarharian.com.my/article/45983/GLOBAL/EU-enggan-ubah-perjanjian-Brexit
- https://www.cityindex.co.uk/market-analysis/the-week-head-cb-meetings-and-nfp/
Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.