Ajar Anak 5 Perkara Ini Supaya Mereka Celik Tentang Kewangan

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ya pepatah ini seringkali kita dengar dan amat sesuai apabila ingin mendidik anak sejak mereka kecil lagi. Perihal mengenai pengurusan wang harus dididik sedari awal kanak kanak.

Selain daripada membuka akaun bank dan buku simpanan untuk mereka, anda harus juga mengajar mereka mengenai kepentingan wang dan cara nak belanjakan wang yang betul kepada mereka. Boleh cuba lakukan 5 perkara berikut:

1. Bersikap Terbuka Mengenai Wang

Sebagai ibu bapa, anda harus bersikap terbuka mengenai wang sejak mereka di bangku pra-sekolah lagi, iaitu pada usia 5 atau 6 tahun. Anda harus menerangkan kepentingan dan kegunaan wang dalam kehidupan seharian. Cuba kaitkan dengan pembelian kegemaran mereka supaya ianya lebih mudah untuk difahami.

Contohnya jika mereka hendak beli sesuatu permainan, terangkan kepada mereka apa definisi mahal atau murahnya sesuatu barang. Nak beli juga boleh, tapi pastikan mereka berkelakuan baik atau menolong ibu bapa terlebih dahulu. Lama-kelamaan mereka akan lebih berusaha keras untuk mendapatkan apa yang mereka mahu, sekaligus nilai wang tersebut yang perlu berusaha untuk memilikinya.

2. Bawa Anak Anda Beli Barang Dapur

Ini merupakan perkara yang paling asas apabila anda ingin mengajar anak anda mengenai kepentingan wang. Apabila anda membawa anak membeli barang dapur sejak daripada kecil, mereka akan tahu yang mana keperluan utama untuk dibeli dan yang mana pula tidak patut dibeli dan bersifat pembaziran.

Berbincang dengan anak ketika membeli barang dapur akan memberi mereka peluang untuk mereka memahami kepentingan berbelanja wang secara berhemah.

3. Benarkan Mereka Ada Sumber Pendapatan Sendiri

Misalnya anda memberikan mereka kerja rumah yang perlu disiapkan, habuannya adalah dengan memberikan wang apabila mereka berjaya menyiapkan kerja rumah tersebut. Mulakan memberikan upah kepada mereka dan suruh mereka simpan wang tersebut.

Buatkan satu tabung khas yang berwarna-warni dan lihat bagaimana tabung tersebut akan cepat penuh, jika mereka banyak membantu membuat kerja rumah. Ini merupakan satu cara yang paling efektif untuk mereka menghargai nilai wang tersebut.

4. Terapkan Sikap Menabung

Dah buat tabung khas tadi, beritahu mereka tentang kepentingan menyimpan. Apabila dah penuh, masukkan sebahagian besarnya ke dalam akaun simpanan mereka. Tunjukkan berapa banyak dah ada dalam akaun simpanan tersebut.

Bakinya pula dibelanjakan untuk ‘reward’ anak anda sebagai tanda kejayaan mereka memenuhkan tabung tadi. Ini merupakan didikan yang mementingkan pengurusan wang mereka agar mereka menghargai wang dan tidak berbelanja secara boros.

5. Galakkan Anak Kerja ‘Part-Time’

Apabila anak sudah tamat peperiksaan atau sedang cuti sekolah, biarkan mereka bekerja “part-time” untuk mencari wang sendiri. Sebagai contoh bagi yang berniaga nasi lemak, boleh bawa anak untuk bersama-sama anda menjual nasi lemak. Dapat juga ‘bonding time’ bersama dengan mereka, di samping anak anda dapat menjana pendapatan sendiri hasil titik peluh mereka.

Sekarang Lebih Mudah, Banyak Benda Boleh Buat Online

Tak tahu nak simpan dekat mana, boleh baca Ketahui 4 Tempat Paling Berbaloi Untuk Simpan Duit Raya Anak-Anak. Bukan itu sahaja, cukup mudah dengan menggunakan teknologi, Tutorial Simpanan Akaun Tabung Haji Anak-Anak Secara Online dan Tutorial Bergambar: Cara Mudah Simpan Duit ASB melalui MyASNB.

Baca juga Belum Rancang Masa Depan Anak? Ini Senarai Akaun Simpanan Dan Pelaburan Terbaik Untuk Anak Bawah 18 Tahun

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.

Penafian: Artikel ini bertujuan membincangkan kepentingan ketelusan dan pendedahan kewangan dalam politik dari perspektif kewangan dan tadbir urus. Ia bukan bertujuan menyokong atau menolak mana-mana parti politik, calon atau individu. Sebarang angka, fakta dan maklumat berkaitan perbelanjaan kempen adalah berdasarkan sumber yang dinyatakan dan hendaklah dirujuk kepada sumber asal untuk konteks penuh.