Tips Seorang Ibu Membuat Simpanan Duit Anaknya Sehingga Mencecah 5 Angka Setahun

Setiap ibu bapa pastinya akan berusaha sehabis baik dalam memastikan masa depan anak-anak mereka adalah cerah. Salah satu cara adalah dengan berusaha membuat simpanan untuk anak-anak.

Jom ikuti perkongsian Puan Aminatul Marrdiah ini. Caranya membuat simpanan untuk anaknya memang lain dari yang lain dan kalaulah ibu-ibu lain boleh ikut, memang dalam masa setahun menimbun juga jumlahnya.

Apa pun ini hanyalah guideline daripada Puan Aminatul, anda boleh praktikkan ikut kemampuan diri anda. Cara yang beliau buat inilah yang membolehkan simpanan anaknya mencecah RM12,600 dalam tempoh setahun.

Mungkin Rasa Terbeban Tapi Hasilnya Anak Kau Ada Simpanan

Harini saya nak berkongsi tips menyimpan duit secara kreatif sesuai untuk ibu bapa nak menyimpan untuk anak-anak.

1. Sediakan botol kuih raya saiz besar (selalunya orang guna isi tempeyek). Korang hiaslah ikut suka. Asalkan botol tersebut boleh bagi motivasi nak menyimpan.

2. Berbelanja. Tak payah sekat perbelanjaan pun. Beli je keperluan hidup seharian. Trick-nya adalah NEVER EVER USE RM20 TO PURCHASE. Gunakan duit lain yang ada selain RM20 tu.

Kalau terpaksa pecah RM50 tu pecahkanlah sebab bakinya nanti korang mungkin dapat RM20 lagi. Dan kalau kau keluar DUIT dari mesin ATM ada 5 keping RM20, dan itu je duit kau yang ada, tepikan jugak RM20.

Gambar : BNM

3. Balik je rumah, pastikan lepas buka kasut bagi salam dan tanpa letak wallet atau handbag tu, masukkan semua RM20 yang ada ke dalam botol. Korang mungkin tenung botol tu yang mula dengan sekeping RM20 sambil kata;

Alahai besarnya RM20 ni. Aduhai!

Tapi sila bertabah dan jangan rasa demotivated. RAHSIAnya jangan fikir!

4. Ulang langkah 1,2,3 sampai tiba harinya tabung anda penuh melimpah selama setahun. Ya kita ada 365 hari untuk lalui perjuangan RM20 kau ni.

5. Cukup 365 hari korang ajak anak yang ditabungkan tadi duduk sama-sama kira berapa banyak DUIT untuk dia dah dikumpulkan. Proses pengiraan bersama ni adalah proses paling memuaskan tak tergambar dek kata-kata. Korang mesti kena try buat. Bunyi gemersik lembut duit RM20 tu bergeseran memang tak boleh nak explain.

Dah jadi rutin kami untuk buat Trick LUAR BIASA ni sejak setahun lepas. Walaupun pernah sampai 10 keping RM20 terkorban dalam satu hari. Keluar juga air mata bonda. Tapi, nikmatnya adalah dalam masa 365 hari, kami berjaya kumpul RM12,600 untuk anak kami si Eusoff.

Aik macam mana boleh banyak sangat ni? Entahlah. Yang penting perasaan best dapat kumpul dalam tak sedar tu tak tau nak luah macam mana. Rasa nak lompat bintang!

Kenapa Duit RM20?

1. Lebih Senang Nampak

Disebabkan warna oren, kau akan sedar dengan cepat yang itu duit yang kena simpan. Secara automatik kita akan tepikan. Tak terlalu besar macam RM50 sampai terasa macam nak tersedak bila diasingkan.

2. Paksa Diri Suami Isteri

Pernah baca saving duit syiling atau saving hari pertama RM1, hari kedua RM2, sampailah hari ke 30 dalam bulan tu RM30. Banyak jugak sebenarnya bila kau simpan duit ikut hari tu, busuk-busuk dalam RM500 juga boleh dapat sebulan.

Bila dikira-kira balik, disiplin asingkan RM20 yang dibuat ni, hasilnya RM12,600 setahun. Maka puratanya lebih kurang RM34 sehari berjaya disimpan!

Kalau tak paksa diri, kita akan shopping online secara berleluasa sehingga nak menyimpan terasa payahnya. Jangan risau kau takkan mati kebuluran.

3. Terjamin Jumlah Simpanan

Dengan menyimpan RM20, dah mula latih diri dan minda tanpa sedar bahawa RM20 ini adalah hak anak. Mula-mula rasa terbeban tapi lama-lama akan rasa seronok tengok duit makin banyak.

Sumber : Yahoo

Kesimpulannya, parents memang boleh paksa diri untuk buat. Bila dah mula menyimpan memang kita akan bentuk disiplin kita sikit.

Tak perlu memboros sangat. Kalau tak boleh RM20, RM5 atau RM10 pun boleh. Asalkan mula dulu. Selagi tak mula, selagi itulah botol tempeyek tersebut akan kosong.

Akhir sekali bawalah duit tersebut ke bank dan masukkan dalam akaun simpanan atas nama anak dan perasaan bahagia dan tenang bila tahu,apa-apa hal anak sudah pun ada duit simpanan.

Tak banyak pun at least ada. Kan?

Sumber: Mingguan Wanita

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bukan Semua Masalah Hutang Bermula Dengan Sikap Boros

Apabila kita membincangkan isu hutang, tanggapan yang sering muncul ialah seseorang itu mungkin terlebih berbelanja, tidak pandai mengurus wang, atau mengambil pinjaman tanpa berfikir panjang.

Namun, daripada pengalaman saya sendiri dan kerja harian kami bersama peminjam, realitinya tidak semudah itu.

Belakangan ini, ramai yang terperangkap dalam hutang bukan kerana mereka sengaja mahu hidup di luar kemampuan. Sebaliknya, masalah sering bermula daripada perkara yang nampak biasa, seperti kad kredit, bayaran minimum, ansuran kecil, pinjaman peribadi, atau kemudahan Beli Sekarang, dan Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL). Pada awalnya, angka pinjaman kelihatan kecil dan masih terkawal. Walau bagaimanapun, apabila faedah, caj lewat bayar dan komitmen bulanan mula bertambah, hutang yang kecil boleh menjadi suatu beban yang berat.

Inilah jurang yang jarang dibincangkan secara terbuka. Akses kepada kredit semakin mudah, tetapi kefahaman tentang kos sebenar hutang masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8% daripada KDNK, bersamaan RM1.67 trilion pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kredit. Dalam masa yang sama, AKPK juga menekankan bahawa kad kredit dan pinjaman peribadi menyumbang kepada sebahagian besar kes pelanggan yang berhadapan kesukaran kewangan.

Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang berapa banyak peminjam, sebaliknya tentang berapa ramai yang benar-benar faham apa yang berlaku selepas mereka meminjam.

Sebagai contoh, bayaran minimum kad kredit. Ramai menganggap selagi mereka membayar jumlah minimum setiap bulan, status masih terkawal. Secara teknikal, akaun mungkin tidak tertunggak. Tetapi dari sudut kewangan, baki hutang masih berjalan, faedah masih dikira, dan tempoh pembayaran boleh menjadi jauh lebih panjang daripada yang dijangka.

Begitu juga dengan BNPL. Kemudahan ini boleh membantu jika digunakan secara berdisiplin, terutamanya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Walaupun begitu, apabila seseorang mula mengambil beberapa komitmen kecil pada masa yang sama, jumlah keseluruhan boleh menjadi sukar dipantau. RM50 di satu platform, RM80 di platform lain, dan RM120 di tempat lain. Jumlah ini mungkin nampak kecil secara berasingan. Tetapi apabila digabungkan dengan sewa, ansuran kereta, bil telefon, pinjaman peribadi dan kad kredit, tekanan aliran tunai mula terasa.

Apa yang saya lihat adalah ramai peminjam sebenarnya bekerja, mempunyai pendapatan tetap, dan cuba memenuhi komitmen mereka sebaik mungkin. Mereka bukan tidak mahu membayar. Masalahnya, mereka lambat sedar bahawa struktur hutang mereka sudah tidak lagi sihat.

Di BlueBricks, kami menerima sekitar 30 hingga 40 pertanyaan penyatuan hutang setiap hari. Sebahagian besar datang daripada golongan bekerja yang pada awalnya menyangka hutang mereka masih boleh dikawal. Hal ini dapat kita lihat, apabila satu pinjaman digunakan untuk menutup pinjaman lain, atau kad kredit digunakan untuk menampung perbelanjaan asas, itu biasanya tanda bahawa masalah sudah masuk ke peringkat yang lebih serius.

Saya sendiri pernah melalui tekanan hutang yang besar selepas satu pelaburan gagal. Pengalaman itu mengajar saya bahawa tekanan kewangan bukan hanya soal nombor. Implikasinya, dari sudut emosi, keluarga, keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan. Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka lebih mudah percaya kepada tawaran yang nampak cepat, mudah dan terlalu baik untuk menjadi benar.

Oleh itu, literasi kewangan tidak boleh berhenti pada nasihat umum seperti “jangan berhutang” atau “belanja ikut kemampuan”. Nasihat itu betul, tetapi tidak cukup. Pengguna perlu faham bagaimana faedah dikira, apa kesan bayaran minimum, bagaimana caj penalti terkumpul, dan bila sesuatu komitmen itu sudah mula menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Kita juga perlu lebih jujur bahawa celik kewangan bukan hanya penting untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan profesional juga boleh terperangkap, terutamanya apabila gaya hidup, komitmen keluarga, kos sara hidup dan akses mudah kepada kredit bertembung pada masa yang sama.

Pada akhirnya, kad kredit, pinjaman dan BNPL boleh menjadi alat yang berguna jika dimanfaatkan dengan kefahaman dan disiplin. Tetapi tanpa pengetahuan yang mencukupi, alat yang sama boleh menjadi permulaan kepada kitaran hutang jangka panjang.

Jika Malaysia mahu membina masyarakat yang lebih stabil dari segi kewangan, kita perlu bergerak daripada sekadar memberi akses kepada kredit kepada memastikan pengguna benar-benar faham tanggungjawab yang datang bersamanya.

Kerana selalunya, masalah hutang tidak bermula apabila seseorang gagal membayar. Ia bermula lebih awal, apabila seseorang tidak benar-benar tahu berapa mahal harga sebenar hutang yang mereka ambil.

Penafian: Pandangan yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan. Harap maklum bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BlueBricks Holdings adalah tidak patuh Syariah.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Karl Ng, Pengarah BlueBricks Holdings