UOB Selesai Ambil Alih Perniagaan Perbankan Pengguna Citigroup Di Malaysia Dan Thailand

KUALA LUMPUR, 1 November 2022 – UOB hari ini mengumumkan selesainya pengambilalihan
perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia dan Thailand. Pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Indonesia dan Vietnam dijangka selesai pada 2023. Perniagaan pengguna terdiri daripada portfolio pinjaman tidak bercagar dan bercagar, pengurusan kekayaan dan perniagaan deposit runcit Citigroup.

Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi UOB untuk meningkatkan perniagaan runcit di ASEAN melangkaui pasaran asalnya di Singapura. Apabila selesai, pengambilalihan ini dijangka akan menggandakan asas pelanggan runcit sedia ada UOB di empat pasaran tersebut kepada 5.3 juta pelanggan selain menambahkan 5,000 kakitangan kepada tenaga kerjanya.

Encik Wee Ee Cheong, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB, berkata,
“Penyelesaian pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia dan Thailand merupakan peristiwa penting dalam usaha kami untuk terus melabur dalam francais serantau kami. Pengambilalihan ini memberikan skala yang lebih besar dan adalah sejajar dengan hasrat kami untuk menjadi bank pilihan para pengguna dan peniaga di ASEAN.

“Hari ini kami amat mengalu-alukan rakan sekerja dan pelanggan baharu kepada keluarga UOB.
Dengan penambahan bakat Citigroup kepada pasukan sedia ada kami yang mantap di kedua-dua pasaran, kami mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk mempercepatkan rancangan
pertumbuhan serantau. Kami komited memastikan pelanggan Citigroup mengalami peralihan yang lancar. Titik sentuh (touchpoint)dan rangkaian rakan kongsi kami yang diperluaskan juga
membolehkan penyediaan rangkaian produk, perkhidmatan dan manfaat yang lebih luas kepada
asas pelanggan yang diperbesarkan.”

UOB akan terus memberi tumpuan untuk memastikan peralihan perniagaan Citigroup berjalan lancar di kesemua empat pasaran, dengan matlamat mencapai integrasi sistem sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Untuk menerajui perniagaan runcit yang diperluaskan di Malaysia dan Thailand, UOB telah melantik eksekutif kanan berikut:
• Puan Elaine Fan sebagai Ketua Peruncitan dan Jenama, UOB Malaysia
• Encik Ronnie Lim sebagai Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi, UOB Malaysia
• Puan Vira-Anong Chiranakhorn Phutrakul, Ketua Peruncitan dan Jenama, UOB Thailand
• Encik Yuttachai Teyarachakul, Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi, UOB Thailand.

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia berkata, “Pengambilalihan perniagaan
perbankan pengguna Citigroup akan mengukuhkan kedudukan UOB Malaysia dengan portfolio, titik sentuh dan ekosistem rakan kongsi yang diperbesarkan. Perniagaan perbankan pengguna Citigroup sesuai dengan strategi perniagaan kami yang lebih luas dan menekankan komitmen jangka panjang kami kepada Malaysia. Pelanggan perbankan pengguna Citigroup Malaysia boleh menjangkakan bahawa tidak akan ada apa-apa perubahan pada produk, perkhidmatan dan manfaat mereka, dan mereka boleh mengharapkan rangkaian penyelesaian dan tawaran yang lebih luas apabila kami memanfaatkan sinergi daripada gabungan kepakaran dan rangkaian rakan kongsi pengambilalihan ini.”

Pada bulan lepas, jenama UOB diberikan nafas baharu dalam kempen yang menandakan hasrat
untuk mengukuhkan cadangan nilai pelanggan runcitnya, berteraskan pendekatan mengutamakan pelanggan UOB dan meraikan keunikan setiap pelanggan. Kempen jenama ini menunjukkan bagaimana setiap pelanggan mempunyai keperluan, keutamaan dan matlamat unik mereka sendiri. Ini mendorong UOB mewujudkan penyelesaian dan perkhidmatan progresif dan diperibadikan yang disediakan untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan melalui cara yang sesuai dengan mereka.


Teras kempen ini adalah strategi Bank untuk memanfaatkan kemewahan yang semakin meningkat di ASEAN, memperoleh dan memberi perkhidmatan kepada pelanggan melalui platform perbankan digitalnya, UOB TMRW, dan memenuhi keperluan kewangan mereka melalui pendekatan saluran omni apabila mereka bergerak naik dalam kontinum kekayaan.

UOB juga akan melancarkan penawaran produk dan perkhidmatan yang dipertingkatkan untuk asas pelanggannya yang lebih besar. Sebagai contoh, pada minggu lepas, Bank mengumumkan
perkongsian dengan jenama serantau terkemuka seperti Singapore Airlines, Club21, The MICHELIN Guide dan Shopee, mengukuhkan lagi program ganjaran yang menarik dengan memberi pelanggan akses kepada manfaat rentas sempadan yang hebat 1 .

-TAMAT-

Previous ArticleNext Article

SC Lancar investED For Returning Women, Sokong Wanita Kembali Bekerja Dalam Pasaran Modal

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan investED for Returning Women, program latihan dan kemasukan semula yang direka untuk menyokong wanita yang ingin menyertai semula pasaran modal selepas berhenti seketika daripada kerjaya (career break).

Program ini akan melengkapi wanita yang ingin kembali bekerja dengan pengetahuan, kemahiran dan peluang untuk berjaya dalam pasaran modal.

Program tersebut dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan YB Lim Hui Ying di SC.

investED for Returning Women, yang pertama kali diumumkan pada bulan Oktober tahun ini, telah menerima lebih 600 permohonan, mencerminkan minat dan permintaan tinggi dalam kalangan wanita yang mencari laluan berstruktur untuk kembali ke dalam pekerjaan profesional.

Umur pemohon adalah dalam linkungan pertengahan 30-an hingga akhir 40-an, dengan pengalaman dalam sektor minyak & gas, perbankan, kewangan dan insurans. Kebanyakan pemohon menyatakan sebab utama mereka berhenti bekerja adalah kerana tanggungjawab keluarga dan keperluan penjagaan (caregiving).

investED for Returning Women direka untuk menyokong wanita kembali bekerja selepas berhenti seketika, khususnya dalam sektor pasaran modal. Program ini disampaikan dalam dua fasa:

  1. REFRESH (kesediaan profesional & peribadi)

Tertumpu kepada membina keyakinan, memperkenalkan semula budaya tempat kerja dan meningkatkan kemahiran insaniah melalui klinik kerjaya, bimbingan peribadi dan networking untuk menyediakan peserta bagi penempatan kerja.

  1. RESKILL (kecekapan teknikal & pasaran)

Melengkapkan peserta dengan kemahiran teknikal dan pengetahuan industri terkini yang berkaitan dengan pasaran modal, disokong oleh latihan berstruktur, pendedahan industri dan sokongan susulan semasa enam bulan pertama pekerjaan.

Kedua-dua fasa menyediakan laluan komprehensif untuk wanita kembali ke dunia pekerjaan dengan jayanya. Peserta yang melengkapkan kedua-dua fasa akan menerima insentif sebanyak RM2,000 beserta sijil.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata program ini sejajar dengan usaha SC dalam meningkatkan kepelbagaian dan keterangkuman tenaga kerja pasaran modal, yang mana wanita mewakili sebahagian besar daripadanya.

“Dalam 100 syarikat tersenarai teratas di Bursa Malaysia, lebih 34% daripada jawatan lembaga pengarah dipegang oleh wanita setakat 1 Okt 2025.

“Dengan pasaran modal yang semakin canggih, serta dalam menghadapi kekurangan bakat, program ini bertujuan untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran profesional untuk kembali memperkukuh daya tahan pasaran,” katanya.

Sama seperti pendekatan yang diambil untuk Program Kepimpinan investED SC, investED for Returning Women menggabungkan pembelajaran bilik darjah, bimbingan dan penempatan industri.

SC juga akan memudahcarakan penempatan pekerjaan dengan menghubungkan peserta dengan syarikat rakan kongsi. Peserta juga akan menerima bimbingan daripada profesional berpengalaman dalam firma terkemuka.

Program ini disokong oleh 30% Club Malaysia, LeadWomen Sdn Bhd, Securities Industry Development Corporation (SIDC), PricewaterhouseCoopers Malaysia Holdings Sdn Bhd (PwC) dan Talent Corporation Malaysia Berhad. Rakan kongsi memainkan peranan aktif dalam mereka bentuk modul latihan dan menawarkan penempatan tempat kerja.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati https://www.invested.my/invested-for-women/.