Di Mana Saya Boleh Laburkan RM1,000?

Topik pelaburan memang sangat digemari di kalangan rakyat Malaysia. Kalau sembang di kedai kopi, berjam-jam boleh habiskan masa membincangkannya.

Tetapi tahukah kita apa yang dimaksudkan dengan pelaburan ini?

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, pelaburan bermaksud:

1. Jumlah wang (modal dan sebagainya) yang dilaburkan dalam sesuatu usaha niaga dan sebagainya, penanaman modal; 2. sesuatu yang dibeli dan sebagainya dengan harapan akan mendapat keuntungan yang berlipat ganda, penanaman modal: pembelian tanah merupakan suatu bentuk ~ yang menguntungkan;

– (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Secara ringkas, pelaburan memerlukan modal. Untuk melabur, kita perlukan duit, dan dengan modal tersebut, kita harap ia dapat menjana keuntungan.

Biasanya, pelaburan memerlukan masa untuk berkembang. Lagi panjang tempoh masa, lagi tinggi potensi pulangan yang kita boleh dapat.

Berapa Modal Yang Diperlukan?

Pelaburan sebenarnya tidak memerlukan modal yang besar. Ada yang bersusah payah mengumpul modal tetapi sampai ke sudah tidak memulakan pelaburan.

Tahukah anda bahawa dengan modal sebanyak RM1,000 pun kita sudah boleh mula melabur?

Jom kita lihat beberapa tempat yang kita boleh mula melabur dengan modal RM1,000.

Baca juga Meminjam Untuk Melabur? Pertimbangkan 3 Faktor Ini Terlebih Dahulu

1. Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)

Tidak dapat dinafikan bahawa ASNB ialah pelaburan yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia.

Ditubuhkan pada tahun 1981, ASNB kini mengurus 16 dana unit amanah, dengan 6 dana berharga tetap dan 10 dana berharga berubah-ubah. Ia memenuhi citarasa setiap rakyat Malaysia, dengan nilai lebih daripada RM264 bilion unit dalam edaran dan 14.5 juta akaun.

Bagi golongan bumiputera, pelaburan yang paling terkenal ialah Amanah Saham Bumiputera (ASB). Ia merupakan amanah saham dengan kadar tetap iaitu RM1 dan kita akan dapat dividen setiap tahun.

2. Unit Amanah

Seterusnya kita ada pelaburan dalam unit amanah yang hampir sama seperti ASB. Tetapi dalam unit amanah ini ada banyak pilihan; ada yang berisiko tinggi, ada yang berisiko sederhana dan ada juga yang berisiko rendah.

Jangka masa bagi pelaburan unit amanah adalah sekurang-kurangnya tiga tahun ke 20 tahun untuk mendapat pulangan yang baik. Kita perlu bersabar untuk melihat hasilnya, lebih-lebih lagi di kala ekonomi baru nak pulih seperti hari ini.

Antara syarikat amanah yang popular ialah PMB Investment, Public Mutual, Principal Asset Management dan banyak lagi.

Panduan:

3. Robo Advisor

Dengan arus pemodenan yang semakin pesat, kini kita boleh gunakan teknologi untuk membantu kita dalam pelaburan. Kalau nak tahu, Robo Advisor ialah sebuah platform pengurusan dana pelaburan dan khidmat nasihat kewangan secara online dan diuruskan sepenuhnya oleh mesin dan robot dengan interaksi manusia yang sangat minimum.

Dari proses pembukaan akaun sehinggalah pengeluaran wang, segalanya dilakukan sepenuhnya oleh mesin dan robot yang dikawal selia oleh sistem.

Kita boleh pilih sama ada ingin melabur dalam platform Robo Advisor seperti Stash Away, MyTheo atau Wahed Invest. Setakat ini, hanya platform Wahed Invest merupakan satu-satunya platform Robo Advisor yang patuh syariah.

Panduan:

4. Saham

Bagi mereka yang mahukan pulangan yang lebih tinggi, maka saham ialah jawapannya. Namun, risikonya juga lebih tinggi daripada instrumen pelaburan yang lain.

Untuk mula menjual beli saham, kita perlu buka akaun CDS terlebih dahulu, dan pembelian minimum saham ialah 100 unit dan bukan 1 unit.

Walau dengan modal RM1,000 sekalipun, ada beratus-ratus saham syarikat yang kita boleh beli di pasaran saham. Pastikan anda ada ilmu Analisis Asas dan Analisis Teknikal sebelum membuat sebarang keputusan untuk membeli atau menjual saham.

Panduan : Ini 15 Panduan Beginner Perlu Tahu Tentang Pelaburan Saham di Bursa Malaysia

Fahamkan Istilah ‘High Risk High Return’

Dalam dunia pelaburan, kita kena fahamkan terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘High Risk High Return’.

Bagi memperoleh potensi pulangan yang tinggi, kita harus sanggup berdepan dengan risiko yang tinggi juga. Sebaliknya, jika kita tidak sanggup rugi, maka melaburlah dalam pelaburan yang berisiko rendah, sesuai dengan pepatah “Biar lambat asal selamat”.

Artikel ini ditulis dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Mencari tip-tip kewangan? Dapatkan artikel, infografik dan bahan ilmiah yang lain tentang pelbagai topik kewangan oleh AKPK di ask.akpk.org.my

Previous ArticleNext Article

Belum Rancang Masa Depan Anak? Ini Senarai Akaun Simpanan Dan Pelaburan Terbaik Untuk Anak Bawah 18 Tahun

Merancang simpanan dan pelaburan untuk anak sejak mereka kecil adalah langkah bijak bagi memastikan masa depan kewangan yang kukuh. Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis akaun simpanan dan pelaburan yang boleh dibuka untuk kanak-kanak, termasuk bagi bayi yang baru lahir, remaja, dan juga mereka yang telah mula bekerja separuh masa.

Berikut adalah senarai akaun simpanan dan pelaburan yang sesuai, beserta had umur pembukaan, syarat, modal minimum, ciri utama, kelebihan dan kekurangan.

1. Tabung Haji (Akaun Kanak-kanak)

Had umur pembukaan: Sejak lahir

Syarat: MyKid atau surat beranak anak, dibuka oleh penjaga sah

Modal minimum: RM10

Ciri utama: Patuh Syariah, dividen tahunan sekitar 2.5 hingga 3 peratus, tiada caj bulanan, pendaftaran haji awal boleh dibuat.

Kelebihan: Stabil, risiko rendah, sesuai untuk simpanan jangka panjang dan tujuan ibadah haji.

Kekurangan: Pulangan lebih rendah berbanding instrumen pelaburan lain.

2. Akaun Simpanan Junior Bank

Contoh: Maybank Yippie-i Savings, CIMB Junior Savers, RHB Junior, Bank Islam Young Savers

Had umur pembukaan: Sejak lahir (kad ATM biasanya diberi pada umur 12 tahun ke atas)

Syarat: MyKid atau surat beranak anak, dibuka oleh penjaga sah.

Modal minimum: RM1 hingga RM20 bergantung kepada bank

Ciri utama: Kadar keuntungan/faedah rendah antara 0.25 hingga 1 peratus setahun, mempunyai buku simpanan dan kad ATM pada umur tertentu.

Kelebihan: Mudah diakses, sesuai untuk mengajar anak mengurus wang sejak kecil.

Kekurangan: Pulangan rendah dan tidak sesuai sebagai instrumen pelaburan utama.

3. Amanah Saham Bumiputera (ASB / ASB 2)

Had umur pembukaan: Sejak lahir (Bumiputera sahaja)

Syarat: MyKid atau surat beranak anak, dibuka oleh penjaga sah.

Modal minimum: RM10

Ciri utama: Harga unit tetap, dividen sekitar 4 hingga 6 peratus setahun dan bebas cukai.

Kelebihan: Risiko rendah, pulangan stabil, sesuai untuk simpanan jangka panjang.

Kekurangan: Terhad kepada Bumiputera sahaja.

Baca juga Sejarah Pulangan Dividen ASB Dari Tahun 2014 – 2024 [KEMASKINI]

4. Unit Amanah ASNB (ASN Imbang, ASN Sara dan lain-lain)

Had umur pembukaan: Sejak lahir

Syarat: MyKid atau surat beranak anak, dibuka oleh penjaga sah.

Modal minimum: RM10

Ciri utama: Harga unit berubah mengikut prestasi pasaran, potensi pulangan lebih tinggi berbanding ASB.

Kelebihan: Sesuai untuk pelaburan jangka panjang, berpotensi memberi pulangan besar.

Kekurangan: Ada risiko kerugian jika harga unit jatuh.

5. Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN Prime)

Had umur pembukaan: Sejak lahir

Syarat: MyKid atau surat beranak anak, dibuka oleh penjaga sah

Modal minimum: RM20

Ciri utama: Dividen tahunan sekitar 3 hingga 4 peratus, pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma.

Kelebihan: Sesuai untuk pendidikan anak, memberi manfaat cukai kepada ibu bapa.

Kekurangan: Kurang fleksibel untuk tujuan selain pendidikan.

6. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Had umur pembukaan: Minimum 14 tahun

Syarat: Mempunyai pekerjaan dan gaji, majikan perlu mendaftar caruman

Modal minimum: Tiada, caruman dibuat melalui potongan gaji

Ciri utama: Simpanan persaraan rasmi, dibahagi kepada Akaun 1 dan Akaun 2, dividen sekitar 4 hingga 6 peratus setahun, termasuk perlindungan sosial.

Kelebihan: Modal terkumpul besar dengan caruman majikan, pulangan konsisten.

Kekurangan: Wang simpanan hanya boleh dikeluarkan mengikut syarat tertentu.

Sejarah Pulangan Dividen KWSP Dari Tahun 2014 – 2024

Bagi anak bawah 18 tahun, pilihan akaun simpanan dan pelaburan bergantung pada tujuan utama simpanan. Jika matlamat adalah demi kestabilan, Tabung Haji, SSPN Prime dan ASB adalah pilihan utama. Bagi tujuan pelaburan jangka panjang dengan potensi pulangan lebih tinggi, Unit Amanah ASNB, robo-advisor dan pelaburan emas boleh dipertimbangkan. Untuk anak yang sudah mula bekerja, KWSP adalah simpanan wajib yang memberi manfaat besar dalam jangka panjang.