Harga Rumah Turun Kerana Covid-19? Realiti Atau Spekulasi?

Disember 2019 yang lalu, seluruh dunia kaget dengan penemuan wabak pandemik koronavirus 2019 atau dikenali sebagai Covid-19 yang bermula di bandar Wuhan yang terletak di Hubei, China.

Menjelang 11 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akhirnya mengisytiharkan bahawa COVID-19 sebagai pandemik.

Akhirnya pada 17 Mac 2020, Malaysia telah mencatatkan kes kematian pertama daripada pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun bermula.

Semenjak itu, Covid-19 telah menjadi satu mimpi ngeri kepada semua industri dan tidak terbatas kepada industri pelancongan dan perhotelan sahaja.

Industri hartanah antara yang paling teruk terjejas selepas berusaha bangkit daripada kemelut hartanah yang melanda negara semenjak tahun 2015 lagi.

Baca : Lepas Habis Wabak COVID-19, Buat Ini Untuk Bangunkan Ekonomi Negara!

Ura-ura dari pakar hartanah yang tersebar luas di media sosial mahu pun di medium WhatsApp dan Telegram mengatakan harga rumah dijangka turun rentetan pandemik Covid-19 ini yang membunuh pertumbuhan ekonomi negara.

Ramai menjangkakan sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus dilanjutkan untuk beberapa bulan mendatang, harga rumah akan turun pada tahap maksimum.

Jangkaan dan ura – ura ini sungguhpun terbukti secara teorikal, tetapi belum mampu dibuktikan secara  data dan analisis.

Andai kata benarlah harga rumah jatuh sekalipun, apakah puncanya? Berapakah jumlah penurunan harga tersebut?

Adakah terdapat impak negatif secara holistik dan kolektif sekiranya harga rumah turun?

Punca Harga Rumah Boleh Turun Kerana Covid-19

1. Spekulasi

Unjuran yang dikhabarkan ramai pakar hartanah yang harga rumah akan turun selepas tempoh moratorium berakhir September 2020 menyebabkan ramai pembeli menangguhkan hasrat untuk membeli rumah buat masa ini.

Baca : Spekulasi Yang Menyebabkan Pasaran Saham Ketiga Terbesar Dunia Musnah Sekelip Mata

Hal ini kerana, ramai pembeli menjangkakan peratus harga rumah akan turun lebih tinggi sehingga 20%-30% selepas September 2020 dan ada yang sanggup melepaskan booking 10% yang telah dibayar sebelum PKPD lagi.

2. Pekerjaan

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 09 April yang lalu mendedahkan, 46.6% daripada 168,182 responden yang menyertai ‘Kajian Khas Kesan Coronavirus Terhadap Ekonomi & Individu’ telah kehilangan pekerjaan gara-gara Covid-19.

Ekoran daripada kehilangan punca rezeki, ramai pemilik rumah dilihat terpaksa menjual rumah mereka pada harga 15%-20% lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa.

3. Pemaju Terdesak

Dalam situasi yang mencabar ini, ramai syarikat dan organisasi terdesak untuk menjual produk dan servis mereka.

Memandangkan industri hartanah antara industri yang terjejas ekoran pandemik Covid-19, pemaju hartanah hartanah dilihat akan mengambil langkah kiri.

Di sana dan di sini berlaku jualan murah secara besar-besaran dengan diskaun luar dari kebiasaan.

4. Tunai

Trend berbelanja di kalangan rakyat Malaysia telah mula berkurangan seawal Januari 2020 lagi. Dengan keadaan pandemik Covid-19 yang sedang menggila ini, rakyat Malaysia dilihat cenderung untuk menyimpan tunai dan kurang berbelanja.

Kebanyakan rakyat Malaysia juga akan menangguhkan hasrat untuk beli rumah sehingga ekonomi benar – benar stabil sungguhpun ianya dijangka mengambil masa 12-18 bulan.

Bank Negara Malaysia telah mengambil langkah prokatif dengan menurunkan kadar OPR pada akhir Januari yang lalu untuk menggalakkan aktiviti jual beli di kalangan rakyat Malaysia.

5. Tempoh Moratorium Berakhir

Selepas tempoh moratorium yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia tamat pada September 2020 ini, pemilik hartanah akan mula membayar pinjaman pembiayaan hartanah seperti biasa.

Baca : Benarkah Harga Rumah Naik Setiap Dekad?

Untuk pemilik yang menghadapi masalah rumah kosong tanpa penyewa, hilang pekerjaan dan kurang tunai, mereka pasti akan mengambil langkah kurang popular dengan menjual mana-mana unit yang membebankan atau tidak mendatangkan keuntungan dalam pelaburan hartanah.

Kesan Harga Rumah Turun Kepada Ekonomi Negara

Harga rumah jatuh seiring dengan kejatuhan unjuran ekonomi negara dan kekukuhan daya tahan institusi kewangan turut akan berdepan cabaran.

Kesan terbesar dari penurunan harga rumah adalah pendapatan pemilik hartanah berkurang sekaligus menyebabkan wujud spekulasi negatif terhadap hartanah.

Baca : Buat Refinance Rumah Dengan Overdraf (OD), Apa Fungsi OD?

Besar kemungkinan pemilik rumah akan membuat pinjaman untuk bayaran balik pinjaman.

Untuk pemilik rumah yang mempunyai deposit tunai di KWSP, mereka cenderung untuk menggunakan dana persaraan bagi menyelesaikan pinjaman pembiayaan hartanah.

Andai kata harga rumah jatuh sehingga 50%, bank akan hilang dana modal hampir RM58 bilion sekaligus mewujudkan lambakan kes Non-Performing Loan dan hartanah lelong.

Sebagai penutup, dalam keadaan semasa ini hanya boleh dimenangi oleh mereka yang mempunyai tunai dan bijak dalam merancang kewangan mereka untuk berhadapan dengan hari-hari gelap seperti ini.

Baca : Bank Mana Paling Perform Di Malaysia?

Dari satu sudut lain pula, ramai pemerhati hartanah melihat fenomena ini sebagai durian runtuh kerana peratus harga rumah turun seperti hari ini kali terakhir berlaku pada tahun 2009.

Baca : Punca Dan Penentu ‘Non-Performing Loan’ (NPL) Di Malaysia

Orang bijak akan mengambil peluang dari keadaan semasa ekonomi dan orang yang kurang bijak akan terus menyalahkan pasaran, kerajaan dan kluster kayangan.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Sime Darby Property Perkenal Logo Baharu, Mengukuhkan Legasi 50 Tahun Dalam Hartanah

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Sime Darby Property Bhd hari ini telah memperkenalkan logo baharu, mengesahkan peranannya sebagai peneraju dan pembina negara dengan rangkuman legasi lebih dari 50 tahun dalam pembangunan hartanah.

Pengerusi, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata pembaharuan jenamanya merupakan evolusi strategik untuk memastikan kumpulan terus memberikan nilai yang mampan kepada semua pihak berkepentingan.

Setiap langkah kumpulan dipandu dengan pertimbangan yang teliti agar kekal relevan, untuk mewujudkan impak yang bermakna dan menyumbang kepada pertumbuhan Malaysia dengan kaedah, dari kemampanan serta biodiversiti kepada perkongsian dan pengalaman pelanggan.

“Sebagai sebuah syarikat di bawah Permodalan Nasional Bhd (PNB), mandat kami sentiasa melangkaui prestasi perniagaan. Kami berkongsi visi PNB untuk pembangunan negara dan kemajuan sosial.

“Pembaharuan jenama ini mengasah tumpuan kami terhadap tanggungjawab itu, memperkuat peranan kami dalam membangunkan komuniti yang mampan, menyokong perniagaan tempatan serta mewujudkan peluang yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya semasa majlis pelancaran pembaharuan jenama itu di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Azmir Merican berkata jenama Sime Darby Property adalah janji yang dibina melalui penyampaian yang sudah sedekad sambil menonjolkan evolusi ini akan memantapkan bertapa relevannya penawaran kumpulan itu.

Beliau berkata dari Sime UEP Properties Bhd ke Sime Darby Property hari ini, legasi kumpulan itu sentiasa tertumpu kepada mewujudkan perbandaran yang berdaya tahan dan komuniti yang berkembang maju.

“Kami tidak cuba melupakan sejarah lampau kami dan kami tidak pinggirkan apa yang telah membawa kami sejauh ini.

“Pembaharuan jenama ini datang pada masa yang penting dalam perjalanan kami. Ia mencerminkan bukan hanya siapa kami pada hari ini tetapi arah strategik yang dicarta untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Pembangunan perindustrian dan logistik kumpulan seperti Bandar Elmina dan Bandar Bukit Raja, bukan sekadar bangunan sahaja memandangkan perkembangan ini juga membentuk koridor ekonomi dan menarik perniagaan global melalui perkongsian strategik.

“Seiringan itu, platform pengurusan pelaburan aset dan pelaburan kami sedang berkembang, dengan aset runcit, komersial termasuk perindustrian yang menyediakan pendapatan berulang serta kestabilan jangka panjang bagi melengkapkan perniagaan teras kami dan menyediakan kestabilan masa depan,” katanya.

Menurut Sime Darby Property, pembaharuan jenama itu juga mencerminkan keutamaan strategik kumpulan di bawah strategi SHIFT25, yang telah memasuki fasa terakhirnya.

“Ini termasuk mengukuhkan aliran pendapatan berulang dan meletakkan dirinya sebagai penyedia penyelesaian perbandaran. Hala tuju ini ini sudah dapat dilihat dalam portfolio perindustrian dan logistik serta kemasukannya ke segmen pusat data di Elmina Business Park,” katanya.

Dengan legasi yang merangkumi lebih dari 50 tahun dalam pembangunan hartanah serta lebih daripada 200 tahun melalui warisan Guthrie, Golden Hope dan Sime Darby, kumpulan itu telah lama memainkan peranan penentu dalam membentuk perbandaran dan komuniti Malaysia.

Bermula dengan projek perintis seperti Taman Melawati dan Subang Jaya ke perbandaran yang memenangi anugerah seperti Bukit Jelutong dan Bandar Elmina, Sime Darby Property telah menyampaikan lebih daripada 100,000 kediaman di 26 perbandaran aktif, hari ini berkhidmat kepada lebih dari 300,000 rakyat Malaysia.
— BERNAMA