Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Unit Trust Dan 5 Kelebihan Unit Trust

Unit trust ialah unit amanah atau amanah saham, dan amanah saham yang paling popular di Malaysia ialah Amanah Saham Bumiputera(ASB). Selain daripada ASB dan dana-dana yang dikawalselia oleh Permodalan Nasional Berhad(PNB), ada beratus lagi dana-dana unit trust yang dikawalselia oleh syarikat pengurusan unit amanah.

Secara asasnya, para pelabur akan melabur sejumlah wang yang kemudiannya akan dikumpul ke dalam satu dana pelaburan. Dana pelaburan ini akan diuruskan oleh pengurus dana yang profesional dan berpengalaman.

Dana dari para pelabur ini akan dilaburkan ke dalam secara kolektif/bersama untuk mendapatkan pulangan.

Setiap dana yang diuruskan mempunyai kriteria tertentu yang telah ditetapkan. Ini penting supaya para pelabur tahu ke mana wang mereka dilaburkan.

Dana yang lebih agresif akan lebih banyak dilaburkan ke dalam saham atau ekuiti, manakala dana yang lebih selamat akan dilaburkan ke dalam pasaran wang dan sukuk.

Sekarang kita dah tahu pelaburan unit trust, jom tengok pula kelebihan melabur di dalam unit amanah.

1. Modal Permulaan Yang Rendah

Kebanyakan dana unit amanah membenarkan pelabur untuk melabur dengan modal permulaan yang rendah. Pelabur boleh mula melabur ke dalam unit amanah dengan modal permulaan serendah RM1,000 sahaja.

Hal ini tidak menjadi masalah buat unit amanah kerana pengurus dana akan menguruskan modal pelaburan daripada ramai pelabur.

2. Kepelbagaian Portfolio / Diversification

Para pelabur boleh menggunakan strategi untuk melabur ke dalam pelbagai portfolio pelaburan. Cara ini dapat mengurus risiko dengan lebih baik.

Ini selari dengan konsep jangan letakkan semua telur dalam satu bakul yang sama.

3. Kecairan Pelaburan

Kecairan pelaburan merujuk kepada kebolehan sesuatu pelaburan itu untuk ditukar menjadi wang tunai. Pelaburan yang sukar atau lambat untuk ditukar menjadi wang tunai lebih berisiko untuk mengalami kerugian.

Sebagai contoh, sekiranya anda terlibat dalam pelaburan hartanah, rumah yang anda miliki merupakan kategori aset pelaburan jangka panjang.

Ini bermakna sekiranya anda tidak mendapat pulangan yang diharapkan, rumah itu sukar atau lambat untuk dijual dan ditukar menjadi wang tunai dan anda mungkin terpaksa menanggung lebih kerugian dari masa lama yang terluang untuk menjual aset rumah.

Pelaburan dalam unit amanah mempunyai kadar kecairan yang baik. Ini bermakna sekiranya pulangan tidak seperti yang diharapkan, pelaburan unit amanah boleh segera ditukar menjadi wang tunai dan kemudian boleh digunakan untuk pelaburan yang lain.

4. Pengurusan Yang Profesional

Dana pelaburan unit amanah akan diuruskan oleh pengurus dana yang berlesen, profesional dan berpengalaman luas.

Ini sangat penting supaya setiap keputusan yang dibuat berpegang kepada prinsip pelaburan yang akan menguntungkan pelabur.

5. Akses Kepada Pasaran

Unit amanah memberikan akses kepada pasaran dalam dan luar negara. Ada syarikat pengurusan unit amanah yang menawarkan dana pelaburan unit amanah yang fokus kepada pelaburan ekuiti di China, Asia Pacifik dan lain-lain lagi.

Selain itu, pelabur boleh memilih dana pelaburan berdasarkan kelas aset bergantung kepada profil risiko masing-masing. Antara yang ditawarkan ialah pasaran wang, ekuiti, sukuk dan bon.

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.

Jangan lupa baca:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pos Malaysia Memperkenalkan Pos ArRahnu Gold-i, Platform Simpanan Emas Patuh Syariah Bermula Serendah RM10

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 –Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia” atau “Syarikat”) hari ini melancarkan Pos ArRahnu Gold-i, sebuah perkhidmatan emas digital patuh Syariah yang membolehkan rakyat Malaysia mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10 menerusi platform yang mudah dan selamat.

Majlis pelancaran diadakan di ibu pejabat Pos Malaysia di Dayabumi, Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh Encik Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, bersama-sama Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth Sdn Bhd, dan Encik Hong Kok Wah, Pengurus Besar Go Capital Growth Sdn Bhd. Turut hadir ialah wakil daripada Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM QAS International Sdn Bhd, Pasukan Pengurusan Kanan Pos Malaysia, wakil media serta tokoh berpengaruh (key opinion leaders).

Dilancarkan dengan kerjasama Go Capital Growth Sdn Bhd, Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan runcit dan digital Pos Malaysia yang dipercayai dengan kepakaran emas Go Capital Growth, sekali gus memberikan pelanggan cara yang praktikal dan mudah diakses untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, emas kekal sebagai simpanan kekayaan yang bernilai. Pos ArRahnu Gold-i menyahut permintaan ini dengan menjadikan pelaburan emas lebih mudah dimulakan bagi penyimpan kali pertama, golongan belia yang bekerja, keluarga dan pelanggan B40.

“Emas sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan rakyat Malaysia, melambangkan keselamatan, kestabilan dan sesuatu yang boleh dibina serta diwariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya,” kata Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia.

“Menerusi Pos ArRahnu Gold-i, kami memudahkan pelanggan untuk memulakan simpanan secara kecil-kecilan dan membina simpanan mereka dengan cara yang mudah serta berpatutan. Dengan titik permulaan hanya RM10, pelanggan boleh mengambil langkah pertama ke arah membina jaminan kewangan jangka panjang menerusi perkhidmatan dan rangkaian yang telah pun mereka kenali.”

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Pos Malaysia dan Pos ArRahnu sebagai pembekal dipercayai bagi emas tempaan premium dan platform emas digital untuk Pos ArRahnu Gold-i. Komitmen kami adalah untuk sentiasa menyediakan produk emas fizikal yang memenuhi piawaian kebangsaan yang diiktiraf, termasuk SIRIM MS1247 dan NMIM. Emas bukan sekadar logam berharga; ia merupakan warisan kepercayaan, ketahanan dan nilai yang berkekalan. Menerusi kerjasama ini, kami berbangga dapat menyokong Pos Malaysia dalam menjadikan warisan itu lebih mudah diakses, berkualiti tinggi dan boleh dipercayai, sekali gus membantu membentuk masa depan kewangan yang lebih kukuh untuk seluruh rakyat Malaysia,” kata Encik Fong Pok Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth.

Memperluas Akses kepada Simpanan Emas

Berteraskan lebih 200 tahun kepercayaan dan jangkauan seluruh negara, Pos Malaysia terus memperluas perkhidmatannya melangkaui tawaran pos dan logistik tradisional bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah menerusi penyelesaian yang mudah, praktikal dan bernilai tambah.

Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan nasional Pos Malaysia dengan jaminan emas yang diiktiraf, titik permulaan yang rendah serta fleksibiliti untuk membeli, menjual atau menukar emas menerusi saluran digital atau cawangan Pos ArRahnu di seluruh Malaysia.

Memudahkan Simpanan Emas

Pos ArRahnu Gold-i menawarkan pelbagai kelebihan yang memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mula menyimpan dan memiliki emas dengan mudah:

  • Mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10.
  • Beli, jual dan kumpul emas secara digital berdasarkan harga pasaran masa nyata.
  • Nikmati jurang harga beli dan jual emas yang rendah, antara yang terendah dalam pasaran, menjadikan simpanan emas lebih kompetitif dan mudah diakses.
  • Tukar emas digital kepada emas fizikal atau tunai apabila diperlukan.
  • Jejak, beli dan urus pegangan emas menerusi platform digital mesra pengguna (posarrahnugold.ace2u.com) dengan paparan portfolio masa nyata.
  • Nikmati had belian semula (buyback threshold) yang fleksibel bermula daripada 0.5g.
  • Akses kepada platform yang patuh Syariah sepenuhnya, disokong oleh pentauliahan dan pengesahan yang diiktiraf.

Emas yang ditawarkan menerusi Pos ArRahnu Gold-i disokong oleh pentauliahan dan pengesahan daripada badan berkaitan yang diiktiraf termasuk London Bullion Market Association (LBMA), SIRIM dan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), memberikan jaminan yang lebih tinggi terhadap ketulenan, kualiti dan ketelusan.

Sempena pelancaran ini, Pos ArRahnu turut memperkenalkan produk emas pilihan, termasuk jongkong emas edisi khas “Pos World” 1g, yang dihadkan kepada 500 keping sahaja dan boleh diperoleh bersama-sama produk lain di cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara.

Menyokong Rangkuman Kewangan yang Lebih Meluas

Bagi Pos Malaysia, rangkuman kewangan (financial inclusion) bermakna menjadikan penyelesaian yang praktikal dan dipercayai lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Dengan lebih sedekad pengalaman berkaitan emas menerusi Pos ArRahnu, Syarikat menggabungkan kemudahan digital, jaminan yang diiktiraf serta akses patuh Syariah dalam satu penyelesaian yang fleksibel.

Menerusi gabungan tradisi dan teknologi, perkhidmatan ini bertujuan membantu pelanggan membina tabiat menyimpan yang sihat dan mengukuhkan masa depan kewangan mereka.

Pos ArRahnu Gold-i tersedia mulai 13 Julai 2026 di outlet Pos ArRahnu yang mengambil bahagian di seluruh negara serta menerusi perkhidmatan digitalnya. Pelanggan yang berminat untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka boleh melayari posarrahnugold.ace2u.com, mendaftar, melengkapkan eKYC dengan mengimbas kad pengenalan, dan membeli emas serendah RM10 terus menerusi laman web tersebut. Pelanggan digalakkan untuk menyemak terma produk sebelum menyertainya, memandangkan harga emas tertakluk kepada pergerakan pasaran.

Berpandukan matlamatnya untuk membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang, Pos Malaysia terus mencipta akses, keyakinan dan peluang yang lebih luas untuk komuniti yang dilayaninya.

Ikuti perkembangan Pos Malaysia menerusi www.pos.com.my atau saluran media sosial kami di Facebook, X, Instagram, TikTok, YouTube dan LinkedIn.