Kadar Dasar Semalaman (OPR) Turun Kepada 2.75%, Sebab Nak Suruh Rakyat Belanja

22 Januari 2020: Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) kepada 2.75 peratus. Oleh itu, kadar koridor tertinggi dan terendah bagi OPR masing-masing diturunkan kepada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.

Ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana. Penunjuk terkini dan pertikaian perdagangan yang semakin reda baru-baru ini menunjukkan aktiviti perdagangan global menjadi bertambah baik. Pelonggaran dasar monetari merentas ekonomi utama pada separuh kedua tahun 2019 telah membantu melegakan keadaan kewangan dan langkah ini dijangka terus menyokong aktiviti ekonomi. Walau bagaimanapun, masih wujudnya risiko pertumbuhan ekonomi global menjadi lebih rendah disebabkan oleh ketegangan geopolitik dan ketidakpastian dasar di beberapa negara. Hal ini boleh mengakibatkan mendadaknya semula keadaan volatiliti di pasaran kewangan sekali gus menjejaskan prospek pertumbuhan global.

Bagi Malaysia, penunjuk ekonomi terkini dan gangguan bekalan dalam sektor berkaitan komoditi menunjukkan kegiatan ekonomi pada suku keempat berkembang dengan sederhana. Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka tetap berada dalam lingkungan yang diunjurkan pada tahun 2019. Bagi tahun 2020, pertumbuhan dijangka bertambah baik secara beransur-ansur, dengan sokongan perbelanjaan isi rumah yang berterusan dan prestasi eksport yang lebih baik. Aktiviti pelaburan secara keseluruhan dijangka pulih sedikit disokong oleh projek yang sedang dilaksanakan dan projek baharu dalam sektor awam dan swasta. Namun begitu, masih wujud risiko pertumbuhan menjadi lebih rendah. Risiko ini termasuk ketidakpastian tentang pelbagai rundingan perdagangan, risiko geopolitik, pertumbuhan yang lebih rendah daripada jangkaan bagi rakan-rakan perdagangan utama Malaysia, volatiliti pasaran kewangan yang ketara, dan faktor-faktor dalam negeri termasuk kelemahan dalam sektor berkaitan komoditi dan kelewatan pelaksanaan projek.

Purata inflasi keseluruhan pada tahun 2019 ialah 0.7%. Pada tahun 2020, purata inflasi keseluruhan dijangka lebih tinggi tetapi kekal pada kadar yang sederhana. Trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung pada perkembangan harga minyak dan harga komoditi sedunia serta masa pemansuhan harga siling bagi harga runcit bahan api domestik. Inflasi asas pada amnya dijangka stabil mencerminkan kegiatan ekonomi yang terus berkembang dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar.

Pelarasan terhadap OPR merupakan langkah awalan untuk memastikan trajektori pertumbuhan yang bertambah baik kekal kukuh dalam keadaan harga yang stabil. Pada kadar semasa OPR ini, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.

Sumber: Bank Negara Malaysia

Apa itu OPR?

Overnight Policy Rate (OPR) atau Kadar Dasar Semalaman adalah faedah yang dikenakan bagi pinjaman di antara bank. Untuk makluman, bank juga membuat pinjaman di antara satu sama lain.

Pendeposit membuat simpanan di bank dan bank akan menggunakan semula duit tersebut bagi tujuan memberikan pinjaman. Apabila pendeposit mengeluarkan duit secara mendadak dan bank kekurangan tunai, bank akan membuat pinjaman daripada bank lain dan dikenakan faedah.

3 Kesan Penurunan OPR

1. Pengurangan Kadar Faedah (Konvensional) atau Kadar Keuntungan (Perbankan Islam)

Apabila OPR diturunkan, bank juga akan menurunkan Kadar Asas Pinjaman. Ini disebabkan kos pinjaman di antara bank telah berkurang, maka bank juga akan menurunkan kos pinjaman kepada peminjam. Secara automatik, pembayaran bulanan peminjam akan berkurang.

Namun perlu diingat, ia hanya melibatkan pinjaman/pembiayaan yang menggunakan kaedah ‘floating rate’.

2. Pengurangan Inflasi

Apabila pengguna mempunyai lebihan tunai akibat daripada pengurangan kadar faedah / kadar keuntungan, inflasi juga akan berjaya dikurangkan. Inflasi adalah penurunan kuasa beli pengguna untuk mendapatkan sesuatu barangan atau perkhidmatan berbanding sebelumnya.

Dengan lebihan tunai yang banyak, kuasa beli pengguna akan meningkat, mereka akan berbelanja, dan seterusnya mengurangkan kadar inflasi.

3. Sektor Hartanah Dan Automotif Melonjak

Kali terakhir BNM menurunkan kadar OPR adalah pada 7 Mei 2019. Apabila pengguna mempunyai lebihan wang, kebarangkalian bagi pihak bank untuk meluluskan pinjaman/pembiyaan adalah tinggi.

Ini akan meningkatkan peratusan kelulusan pinjaman atau pembiayaan. Secara tidak langsung, hartanah yang dijual akan cepat laku kerana pembeli mudah mendapatkan kelulusan dari pihak bank.

Hasil daripada penurunan OPR yang sebelum ini:

  • Peningkatan pembelian rumah sebanyak 13%
  • Peningkatan pembelian kereta penumpang sebanyak 23.3%
  • Peningkatan pembelian motosikal sebanyak 7.8%

Secara keseluruhannya, apabila semua bayaran bulanan pengguna berkurang, pengguna akan mempunyai lebihan tunai untuk dibelanjakan yang mana ianya boleh merangsang pertumbuhan ekonomi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kerajaan Akan Terus Pantau Kadar Inflasi Susulan Kenaikan Gaji Penjawat Awam – PM

PUTRAJAYA, 1 Mei (Bernama) — Kerajaan MADANI akan terus memantau kadar inflasi dan impaknya kepada negara susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan meneliti dari segi pelaksanaan kenaikan gaji tersebut sekali gus memastikan hasil negara meningkat menerusi pemantauan yang lebih kemas.

“Sebab itu kenaikan (inflasi) (dijangka) secara berperingkat pada Disember dan diikuti pada tahun berikutnya. 

“Justeru, kalau (inflasi) naik pun, (ia) dalam keadaaan terkawal kerana seperti yang kita tahu, inflasi di negara kita paling rendah di Asia,” kata beliau pada program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ yang disiarkan oleh semua stesen TV tempatan termasuk Bernama TV hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kebimbangan mengenai kenaikan inflasi dalam negara susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam.

Terdahulu, pada sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat Kebangsaan di sini pagi ini, Anwar  mengumumkan kenaikan tersebut, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara dan  melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion. 

Anwar berkata kerajaan akan terus memantau untuk memastikan kenaikan inflasi tidak akan membebankan rakyat.

Menurut Bank Negara Malaysia, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana, antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus pada tahun ini, berikutan tekanan kos yang terkawal susulan keadaan bekalan global yang bertambah baik.

Menyentuh mengenai kos sara hidup, Perdana Menteri menafikan rungutan daripada beberapa pihak bahawa kos sara hidup pada masa ini adalah paling tinggi dalam sejarah.

“Itu bohong. Saya pernah dulu mempengerusikan (mesyuarat) berpuluhan tahun yang lepas mengenai pengawalan harga barang selaku Menteri Kewangan ketika itu. Memang kita andaikan setiap tahun sebelum raya, mesti harga ayam naik tetapi kali ini, tidak.

“Kemudian tentang harga sayur dan ikan, kita juga pantau. Ada beberapa yang naik. Saya tidak menafikan tetapi kita pantau,” kata beliau, sambil menambah kos sara hidup di Malaysia masih dikawal baik berbanding Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. 

Temu bual khas hampir sejam bersama Perdana Menteri Malaysia Ke-10 itu dikendalikan penyampai RTM Sayed Munawar Sayed Mustar, Pasha Abdul Rahim (Bernama TV), Muhammad Zulfitri Yusof (Awani) dan Azaria Tagaya (TV3).

— BERNAMA