“Bro, Apa Yang Best Sangat Melabur Saham Ni?”

Tengah google “kelas saham”, “belajar saham” ke? Tahniah, anda berada di tempat yang betul.

Setiap satu ada baik dan buruk.
Setiap pelaburan mempunyai risiko dan kelebihannya tersendiri. Tiada satu pun pelaburan yang langsung tiada risiko (kecuali ASB sebab harga sahamnya kekal RM1).

Apakah kelebihan melabur di pasaran saham Bursa Malaysia? Jika zero sangat tentang pelaburan saham (“stock market”) boleh baca banyak artikel di sini.

Di sini kami kongsikan 14 kelebihan jika anda terlibat dalam bidang pelaburan saham:

1 – Orang Terkaya Di Dunia Juga Melabur Saham

Orang-orang kaya di dunia melabur dalam saham, dan mereka melakukannya untuk 1 sebab mudah, cara ini dapat menambahkan kekayaan mereka.

Tidak seperti founder Microsoft, Bill Gates; seluruh hidup Warren Buffett adalah konsisten memilih saham terbaik dan dia melakukannya dengan baik sekali sehingga berjaya menjadi orang terkaya di dunia! Tahu tak beliau mula membeli saham seawal usia 11 tahun?

Jadi jika kita ada duit lebihan, cara terbaik untuk kembangkan duit tadi adalah dengan melaburkannya di pasaran saham.

Jika ada masa baca juga 25 Nasihat Warren Buffet.

2 – Sah, Selamat & Patuh Syariah

Ini bukan skim cepat kaya. Ini juga bukanlah forex trading. Aktiviti pelaburan dan proses jual beli saham di Bursa Malaysia sentiasa dipantau oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC – Securities Commission) bagi mengelakkan sebarang manipulasi.

Siapa kata melabur saham tu haram? Untungnya kepada pelabur beragama Islam di Malaysia, Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti (SC) sentiasa menilai aktiviti perniagaan syarikat-syarikat awam yang tersenarai. Syarikat yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh MPS sahaja akan diklasifikasikan sebagai patuh syariah.

Kalau nak melabur di pasaran global seperti NASDAQ, NYSE, SGX (Singapura), HKEx (Hong Kong) juga tiada masalah. Pastikan anda memilih saham-saham yang patuh syariah saja. Sebagai contoh saham Facebook, Apple, Amazon, Netflix dan Google (Alphabet) buat masa ini masih patuh syariah.

3 – Jadi Sebahagian ‘Pemilik’ Syarikat Ternama

Bila kita memiliki saham dalam sesebuah syarikat, kita dianggap sebagai pemegang saham. Sebagai pemegang saham, kita adalah sebahagian daripada pemilik syarikat, dan berhak ke atas keuntungan (dividen) yang dijana oleh syarikat, walaupun tak bekerja dengan mereka.

Sehingga 23 November 2017 Ogos 2018, terdapat 686 694 saham syarikat patuh syariah yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Pilih saja yang mana suka. Tak perlu modal yang besar pun bro.

Tak nak ke jadi sebahagian dari syarikat seperti Ajinomoto, F&N, Petronas Gas, Petron Malaysia, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional, Takaful Malaysia, DRB-HICOM, Pos Malaysia, SP Setia, Mah Sing dan banyak lagi? Biasa dengar kan nama syarikat-syarikat ternama ni?

Suka beli produk-produk seperti Milo, Kit Kat dan Maggi? Tak nak ke jadi sebahagian dari syarikat Nestle?

Baca juga:

i) Kenali Industri-Industri Dalam Pasaran Saham Bursa Malaysia

ii) Peram Saham ‘Telur’ Pun Boleh Untung 100%

4 – Tidak Remeh, Tidak Cerewet. Semuanya Online

Selepas permohonan buka akaun saham diluluskan oleh Investment Bank atau Broker berdaftar, kita akan dapat akses ke sistem/platform online tempat menjalankan aktiviti beli jual saham.

Urusniaga jual beli saham adalah mudah kerana boleh dibuat melalui laptop atau smartphone.

Tidak perlu lagi telefon dealer/remisier macam zaman dulu-dulu. Tapi kalau ada masalah atau tak tahu cara nak jual beli, boleh saja hubungi remisier/dealer tu.

Baca juga:

i) Tutorial Cara Beli Saham Melalui Smartphone (Apps HLeBroking)

ii) Ini Tutorial Cara Beli Saham Melalui Smartphone (Apps Maybank)

5 – Boleh Beli & Jual Pada Bila-Bila Masa, Di Mana-Mana Saja

Modal boleh dimasukkan ke dalam akaun saham pada bila-bila masa atau bila kita sudah bersedia untuk mula membeli saham dari 9.00 pagi – 5.00 petang, Isnin hingga Jumaat. Untung yang diperolehi juga boleh dikeluarkan pada bila -bila masa, sama macam kita nak transfer duit ke akaun simpanan atau ke mana-mana bank. Tak perlu tunggu setahun baru nak merasa untung.

6 – Kira-Kira Yang Sangat Mudah

Minima kena beli 100 unit sahaja. Bukan macam dulu perlu beli 1,000 unit. Kalau harga sesaham tu RM0.30, darab saja 100 unit.

Modal nak beli ni ikut harga saham tu. Modal juga ikut poket masing-masing ada berapa. Jangan sibuk tengok poket orang lain. Gunakan wang lebihan yang kita ada saja. Jangan buat loan pula.

Katakan kita beli saham Tenaga Nasional Berhad masa harga RM 8.00 sebanyak 1,000 unit. Katakan selepas 6 bulan, harga saham naik menjadi RM14 dan kita ambil keputusan untuk jual semua saham tersebut.

Contoh pengiraan keuntungan adalah seperti berikut:

Kos beli : 1,000 x RM 8.00 = RM 8,000
Kos jual : 1,000 X RM 14.00 = RM 14,000

Untung = RM 14,000 – RM 8,000 = RM 6,000

Pengiraan pulangan atas pelaburan (ROI)
= ((14,000 – 8,000)/8,000) x100) = 75%

*Pengiraan di atas tidak termasuk kos-kos lain yang terlibat. Baca lagi di sini untuk lebih memahaminya.

7 – Layak Dapat Keuntungan Dari Dividen

Sumber gambar : The Edge
Sumber gambar : The Edge

Nak buat duit dalam pelaburan saham ni bukan hanya semasa kita jual pada harga yang lebih tinggi. Kalau kita ambil keputusan untuk simpan saham tu, maka kita mungkin akan berpeluang untuk dapat dividen.

Syarikat akan memberikan dividen sebagai cara berkongsi keuntungan operasi syarikat kepada para pemegang saham mereka. Ada yang beri dividen setahun sekali atau 2 kali setahun atau 4 kali setahun (interim dividen). Bergantung kepada polisi syarikat.

Dividen hanya diberi jika syarikat tersebut mendapat keuntungan. Logik lah tu. Jadi kenalah pandai memilih syarikat yang suka beri dividen. Anda hanya perlu beli saham tu sebelum EX-DATE dan anda akan layak menerima dividen.

Baca juga:

i) Apa Itu Dividen Saham?

ii) Senarai Saham Dengan Dividen Yang Semakin Meningkat Sejak 3 Tahun Lalu (2016-2018)

iii) Senarai Syarikat Yang Beri Dividen Tertinggi Di Bursa Malaysia

8 – Layak Hadiri AGM Syarikat (Mesyuarat Agung)

Bila dah jadi seorang pelabur saham, menghadiri AGM mahupun EGM syarikat yang dimiliki adalah sangat penting bagi mengetahui perkembangan semasa syarikat dan juga resolusi-resolusi yang akan dibentangkan bagi mengetahu halatuju syarikat. Seronoknya bila pergi AGM ni, biasanya macam-macam freegift kita akan dapat.

9 – Boleh Terlibat Secara Part Time

Anda nak jadi pelabur jangka sederhana atau jangka panjang kan? Maka sesibuk mana juga anda setiap hari, tiada masalah untuk terlibat.

Tidak perlu berhenti kerja.
Tidak perlu tengok harga saham setiap hari (boleh set alert dekat apps).
Tidak perlu tergesa-gesa membeli saham sesuatu syarikat. Kita boleh buat analisa di waktu lapang. Waktu malam atau hujung minggu juga boleh. Setelah yakin dengan saham yang ingin dibeli, baru beli.

10 – Bebas Membuat Keputusan Sendiri

Seorang pelabur saham boleh membuat keputusan sendiri sama bila nak beli & jual saham, nak untung cepat atau hanya bercadang meraih dividen. Tiada siapa akan marah anda dan tiada siapa boleh mengarah kita. Duit kita adalah 100% tanggungjawab kita. Tetapi jika tiada ilmu, memang susah nak buat keputusan.

Orang kita ramai yang suka minta tips saham apa nak beli. Hentikanlah tabiat ni. Orang yang rekemen saham tu beli ke tak saham tu?

Baca juga:

“Bro, Kasi Tips Sikit Nak Beli Saham Apa..?”

11 – Hari-hari Cerita Saham Keluar Suratkhabar, TV, Radio

Beleklah suratkhabar di ruangan bisnes atau ekonomi. Cuba tengok berita di TV jam 8.00 – 8.30 malam. Jika tak terdaya juga cuba google “Bursa Malaysia” atau “Malaysia stock market”. Selain cerita tentang turun naik harga saham, ada juga cerita tentang syarikat-syarikat.

Setiap hari mesti ada berita tentang penerimaan tender, projek-projek baru dan sebagainya. Berita sebegini ini penting supaya kita sentiasa peka dengan isu semasa dan ia mungkin akan memberi kesan kepada harga saham syarikat.

Berita negatif kena tengok juga. Sesetengah saham ada yang dalam mod menurun dan boleh dinyahkan (delisted) kerana gagal menghantar laporan kewangan kepada Bursa Malaysia. Misalnya seperti isu syarikat Felda Global Ventures (FGV) Berhad dan Utusan Melayu Berhad.

Kalau nak kaji selok belok syarikat juga mudah. Nak tahu untung rugi syarikat serta prestasi saham mereka semuanya di hujung jari. Boleh selidik maklumat ini dekat laman web BursaMarketPlace.

12 – Jumlah Pulangan (ROI) Tiada Batasan

 

Gambar : Contoh saham yang dipegang ini telah untung 132%

Kadar pulangan bergantung pada kebijaksanaan si pelabur (kajian membuktikan orang perempuan lebih bijak dalam hal ini).

Jika melabur dalam unit amanah, keuntungan hanyalah berdasarkan apa yang diumumkan oleh unit amanah tersebut. Namun pelaburan saham di Bursa Malaysia, jika anda mempunyai ILMU yang betul, keuntungan yang diperolehi adalah tiada batasan. Malah untuk meraih keuntungan 100% atau lebih adalah tidak mustahil. Jika silap timing beli dan tak tahu uruskan risiko, boleh rugi sehingga 100%. Opss…Apa yang penting, walaupun rugi, anda tetap tak jatuh miskin sebab melabur menggunakan wang lebihan.

Baca juga 10 Saham Patuh Syariah Terbaik 2018 (Pulangan Kaw Kaw…) dan Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Rugi 2018

13 – Keuntungan Saham Belum Dikenakan Cukai (Income Tax)

Keuntungan pelaburan saham adalah dikecualikan cukai kerana ianya adalah keuntungan modal (Capital Gain Tax). SST juga tidak dikenakan. Namun 1 Mac 2019 nanti SST 6% akan dikenakan untuk Perkhidmatan Penyediaan Pembrokeran atau Brokerage Fees.

Keuntungan modal yang dikenakan cukai di Malaysia adalah yang membabitkan jual beli hartanah. Jadi, tidak kira berapa banyak sekalipun keuntungan pelaburan kita, ianya masih bebas cukai.

14 – Keuntungan Saham Boleh Dizakatkan

Bila saham yang dijual mendapat keuntungan, maka keuntungan ini boleh dizakatkan. Pemilik saham boleh mengasingkan pengiraan zakat atas saham kepada 2 kumpulan iaitu saham yang masih dimiliki melebihi setahun dan saham–saham yang dijualbeli untuk tempoh kurang daripada setahun.

Jika anda seseorang yang baru hendak bermula mencari cara untuk melabur, perkara yang terbaik tentang pelaburan saham adalah anda boleh bermula dengan modal yang kecil. Bak kata orang Jawa, “start small”. Mulakan perjalanan menuntut ilmu anda sekarang. Banyak buku-buku dalam Bahasa Melayu tentang pelaburan saham.

“Modal belum cukup lagi bro…”

Duit boleh dicari. Melabur dalam diri sendiri dulu. Ada duit puluh ribu tapi tak pandai nak kembangkan pun tak guna.

Kepada yang bekerja, cukup ke duit KWSP untuk bersara nanti?

Kami tolong jawabkan – Mostly tak cukup.

Jadi apa nak buat?

Kami tolong jawabkan – Belajar kembangkan duit lebihan yang ada. Mulakan dari sekarang.

Semua bermula dari langkah pertama, yang penting berani buat dan tak takut gagal.

When you are young, work to learn, not to earn.”
– Robert Kiyosaki

3 tahun pertama adalah untuk LEARN, kemudian baru buang L”
– Tak Ingat Siapa Cakap

InshaAllah dalam artikel yang seterusnya, kami akan berkongsi pula apakah kekurangan dalam pelaburan saham.

Boleh baca Saham Memang Lubuk Duit. Tapi Ini Sisi Gelapnya.

Artikel ini adalah olahan MajalahLabur.com dari sumber asal Asri Ahmad Academy

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pinduoduo: Ancaman Baharu kepada Shopee dan MR DIY?

Selama ini, pengguna Malaysia sudah terbiasa membeli barangan murah melalui Shopee. Untuk barangan rumah, aksesori, perkakasan dan keperluan harian pula, MR DIY menjadi antara pilihan utama pengguna yang mementingkan harga berpatutan.

Tetapi kini, muncul satu lagi pemain yang berpotensi mengubah landskap persaingan tersebut: Pinduoduo.

Platform e-dagang dari China ini mula menjalankan kempen khusus untuk pengguna Malaysia pada Disember 2025. Menjelang Mac dan April 2026, aplikasinya semakin mendapat perhatian apabila pengguna berkongsi penemuan produk yang dijual pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran tempatan.

Menurut laporan The Edge Malaysia pada September 2026, seorang pengguna membeli krim pada harga RM8 berbanding lebih RM24 di pasaran tempatan. Seorang lagi membeli 30 gulung tisu tandas pada harga RM20.

Malah, laporan yang sama membandingkan harga selipar di kedai fizikal, sekitar RM16 dengan produk serupa di Pinduoduo pada harga RM3.50. Perbezaan harganya kira-kira 78%!

Ini bukan lagi sekadar persaingan antara dua aplikasi membeli-belah. Ia membuka persoalan lebih besar tentang bagaimana produk dihasilkan, diedarkan dan dijual kepada pengguna.

1. Apa sebenarnya kelebihan Pinduoduo?

Pinduoduo diasaskan di China pada 2015 dan syarikat induknya, PDD Holdings, disenaraikan di Nasdaq pada 2018.

Model perniagaannya menggabungkan beberapa pendekatan yang menarik.

Pertama, platform ini menghubungkan pengguna dengan rangkaian pengeluar dan penjual, termasuk pengeluar yang mampu membekalkan barangan pada kos rendah.

Kedua, Pinduoduo membangunkan model social commerce, termasuk pembelian berkumpulan atau team purchase. Pengguna boleh berkongsi tawaran dengan orang lain bagi mendapatkan harga yang lebih menarik.

Ketiga, platform ini memanfaatkan skala permintaan. Apabila ramai pengguna membeli produk yang sama, penjual mempunyai peluang untuk meningkatkan jumlah jualan dan mengoptimumkan kos pengeluaran serta pengedaran.

Walau bagaimanapun, harga murah bukan bermaksud semua produk semestinya lebih berkualiti rendah atau setiap produk pasti lebih murah daripada Shopee. Pengguna masih perlu membandingkan spesifikasi, kualiti, kos penghantaran dan syarat pembelian.

2. Berapa murah produk Pinduoduo berbanding pasaran tempatan?

Laporan The Edge Malaysia memberikan beberapa contoh yang menunjukkan jurang harga yang ketara.

ProdukHarga di PinduoduoHarga perbandingan tempatan
KrimRM8Lebih RM24
30 gulung tisu tandasRM20Dilaporkan 30%–40% lebih murah berbanding kedai runcit tempatan
SeliparRM3.50Sekitar RM16 di kedai fizikal

Sumber: The Edge Malaysia, September 2026. Harga ialah contoh yang dilaporkan, bukan purata harga pasaran atau perbandingan bagi semua produk.

Bagi selipar, perbezaan RM12.50 bersamaan kira-kira 78.1% daripada harga runcit RM16.

Namun, perbandingan ini perlu dilihat secara berhati-hati. Produk yang kelihatan serupa mungkin berbeza dari segi bahan, ketahanan, spesifikasi, jaminan dan kos selepas jualan.

Selain itu, laporan tersebut menyatakan bahawa penghantaran percuma melalui laluan laut boleh mengambil masa sekitar 15 hingga 30 hari untuk transit, tidak termasuk keseluruhan proses pemenuhan pesanan.

Maka, pengguna sebenarnya membuat pertukaran antara harga dengan masa menunggu dan kemudahan mendapatkan produk.

3. Adakah Shopee berada dalam bahaya?

Shopee bukan pemain kecil yang mudah diketepikan.

Shopee dikendalikan oleh Sea Limited, syarikat teknologi yang turut mempunyai perniagaan permainan digital Garena serta perkhidmatan kewangan digital Monee.

Berdasarkan keputusan kewangan tahun penuh 2025, Sea Limited mencatatkan:

  • Hasil kumpulan sebanyak US$22.9 bilion, meningkat 36.4% berbanding 2024.
  • Keuntungan bersih sebanyak US$1.6 bilion, berbanding US$447.8 juta pada 2024.
  • Shopee merekodkan nilai barangan kasar atau GMV sebanyak US$127.4 bilion, meningkat 26.8%.
  • Hasil Shopee mencapai US$16.6 bilion, meningkat 33.4%.
  • Shopee mempunyai kira-kira 400 juta pembeli aktif dan 20 juta penjual sepanjang 2025.

Angka ini menunjukkan bahawa Shopee masih mempunyai skala operasi yang besar.
Sumber: Sea Limited, keputusan kewangan 2025.

Tetapi skala besar tidak bermaksud tiada tekanan persaingan.

Shopee perlu mengekalkan keseimbangan antara harga yang menarik, kos penghantaran, subsidi promosi, komisen penjual dan keuntungan platform.

Jika pengguna mula membandingkan setiap produk dengan harga terus dari China, penjual yang bergantung kepada produk generik mungkin berdepan tekanan margin keuntungan.

Sebahagian penjual juga mungkin perlu mengurangkan harga, mencari pembekal lebih kompetitif atau menawarkan produk yang mempunyai nilai tambah.

Dalam jangka panjang, persaingan bukan hanya tentang siapa yang mempunyai aplikasi paling popular, tetapi siapa yang mampu menawarkan gabungan harga, kualiti, penghantaran dan pengalaman pelanggan yang paling menarik.

4. Bagaimana pula dengan MR DIY?

Bagi MR DIY, ancamannya berbeza daripada Shopee.

MR DIY mempunyai rangkaian kedai fizikal dan menawarkan pelbagai barangan perkakasan, aksesori rumah, produk dapur, alat tulis serta keperluan harian.

Pengguna boleh datang ke kedai, melihat barangan dan membawanya pulang pada hari yang sama. Kelebihan ini tidak mudah digantikan oleh penghantaran rentas sempadan yang mengambil masa lebih lama.

Namun, terdapat kategori produk yang lebih mudah dibandingkan dari segi harga, seperti bekas penyimpanan, aksesori dapur, barangan plastik, hiasan rumah dan peralatan kecil.

Jika produk serupa boleh diperoleh pada harga yang jauh lebih rendah melalui platform luar negara, sebahagian pengguna mungkin mengubah tabiat membeli-belah mereka.

Prestasi kewangan MR DIY masih menunjukkan pertumbuhan

Bagi tahun kewangan 2025, MR DIY mencatatkan:

  • Hasil sebanyak RM4.95 bilion, berbanding RM4.65 bilion pada 2024.
  • Keuntungan bersih sebanyak RM632.69 juta, berbanding RM568.94 juta pada 2024.
  • Rangkaian sebanyak 1,556 cawangan, meningkat 8.4% berbanding tahun sebelumnya.
  • Jumlah transaksi sebanyak 197.8 juta, meningkat 8.2%.
  • Purata nilai setiap bakul pembelian menurun 1.6%.

Angka tersebut dilaporkan oleh Bernama berdasarkan keputusan kewangan MR DIY.
Sumber: BernamaBiz, Februari 2026.

Data ini penting kerana ia menunjukkan bahawa MR DIY masih berkembang ketika persaingan e-dagang semakin sengit.

Penurunan purata nilai bakul pembelian pula tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan Pinduoduo. Ia hanya satu petunjuk yang wajar diperhatikan bersama faktor lain seperti strategi harga, campuran produk dan keadaan pengguna.

Bagi MR DIY, cabarannya ialah memastikan pengguna masih mempunyai sebab untuk membeli di kedai fizikal walaupun terdapat alternatif lebih murah dalam talian.

5. Berapa harga saham PDD Holdings, Sea Limited dan MR DIY?

Jika mahu melihat isu ini daripada perspektif pelaburan, tiga saham yang boleh diperhatikan ialah PDD Holdings di Nasdaq, Sea Limited di New York Stock Exchange dan MR DIY di Bursa Malaysia.

Berikut ialah harga penutupan pada 23 Oktober 2026.

SyarikatKod sahamHarga penutupanPasaran
PDD HoldingsNASDAQ: PDDUS$79.04Amerika Syarikat
Sea LimitedNYSE: SEUS$74.63Amerika Syarikat
MR DIY GroupBursa: 5296RM1.15Malaysia

Sumber: StockAnalysis, Sea Limited Investor Relations dan The Star Market Watch. Harga dalam mata wang asal dan bukan harga masa nyata.

Saham PDD Holdings, syarikat induk kepada Pinduoduo dan Temu, pernah mencecah paras tertinggi 52 minggu pada US$139.41 pada 29 Oktober 2025. Namun, pada 23 Oktober 2026, sahamnya ditutup pada US$79.04, iaitu penurunan sekitar 43.3% daripada paras tertinggi tersebut. Berdasarkan semakan terkini pada Oktober 2026, saham PDD Holdings diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah oleh beberapa platform saringan saham Islam seperti Musaffa dan HalalScreener.

Ini bermakna harga penutupannya kira-kira 43.3% di bawah paras tertinggi 52 minggu yang dipaparkan. Walau bagaimanapun, pergerakan tersebut tidak boleh dianggap berpunca daripada persaingan di Malaysia kerana PDD Holdings mempunyai operasi besar di China dan turut mengendalikan Temu.

Bagi Sea Limited, harga penutupannya ialah US$74.63. Sea turut mempunyai pendedahan kepada permainan digital dan perkhidmatan kewangan, jadi prestasi sahamnya tidak mencerminkan Shopee sahaja.

Sementara itu, saham MR DIY ditutup pada RM1.15, penurunan 25.81% sejak awal tahun (YTD), bersamaan susut RM0.40 sesaham daripada RM1.55 pada awal tahun.

Nota: Ketiga-tiga saham ini tidak boleh dibandingkan secara terus berdasarkan harga seunit. Jumlah saham diterbitkan, struktur modal, mata wang, pertumbuhan keuntungan dan penilaian pasaran mereka berbeza. Harga saham yang menurun juga tidak membuktikan bahawa Pinduoduo telah menjejaskan prestasi kewangan pesaingnya.

6. PDD Holdings sendiri mencatatkan hasil lebih RMB400 bilion

Saiz perniagaan syarikat induk Pinduoduo turut menjelaskan mengapa model perniagaannya wajar diberi perhatian.

Bagi tahun kewangan 2025, PDD Holdings melaporkan:

  • Hasil sebanyak RMB431.85 bilion, meningkat kira-kira 9.7% berbanding 2024.
  • Keuntungan bersih sebanyak RMB97.84 bilion, menurun daripada RMB112.43 bilion pada 2024.

Angka ini merangkumi perniagaan kumpulan PDD Holdings, termasuk Pinduoduo dan Temu, bukannya prestasi Pinduoduo di Malaysia sahaja. Sumber: Laporan tahunan PDD Holdings 2025 kepada SEC.

Hasil yang besar memberikan gambaran tentang skala operasi kumpulan tersebut. Namun, penurunan keuntungan bersih pada 2025 menunjukkan bahawa pertumbuhan hasil tidak semestinya membawa kepada pertumbuhan keuntungan pada kadar yang sama.

Bagi pelabur, perkara yang lebih penting ialah sama ada syarikat dapat mengekalkan pertumbuhan, mengurus kos, mempertahankan margin dan memenuhi keperluan kawal selia di pasaran yang diceburinya.

7. Isu lebih besar: Adakah semua pemain bersaing di padang yang sama?

Persaingan harga bukan semata-mata isu antara platform e-dagang.

Peniaga tempatan perlu menanggung pelbagai kos, termasuk sewa premis, gaji pekerja, caruman berkanun, pergudangan, pengedaran dan pematuhan peraturan yang berkaitan.

Penjual yang menghantar barangan terus dari luar negara mungkin mempunyai struktur kos yang berbeza. Perbezaan ini boleh memberi kesan kepada harga yang mampu ditawarkan kepada pengguna.

Dalam laporan September 2026, The Edge Malaysia mengetengahkan kebimbangan pemain industri tentang kesamarataan syarat persaingan, termasuk isu pematuhan dan struktur kos.

Pada masa yang sama, pengguna mendapat manfaat daripada pilihan yang lebih banyak dan harga yang lebih kompetitif.

Cabaran kepada pihak berkuasa ialah memastikan peraturan dilaksanakan secara adil tanpa menafikan manfaat e-dagang rentas sempadan kepada pengguna.

Bagi peniaga Malaysia, jawapannya juga bukan sekadar meminta perlindungan daripada pesaing luar. Mereka perlu meningkatkan produktiviti, memperkukuh jenama, memperbaiki pengalaman pelanggan dan membangunkan produk yang tidak mudah digantikan oleh barangan generik.

Kesimpulan: Persaingan baharu bukan lagi sekadar siapa menjual paling murah

Kehadiran Pinduoduo memberi isyarat bahawa persaingan runcit semakin merentas sempadan.

Shopee mempunyai skala pembeli dan penjual yang besar. MR DIY mempunyai rangkaian kedai fizikal serta kemudahan pembelian segera. Pinduoduo pula membawa pendekatan yang menekankan harga rendah dan hubungan terus antara pengguna dengan penjual.

Ketiga-tiganya mempunyai kekuatan dan cabaran yang berbeza.

Bagi pengguna, perkembangan ini membuka lebih banyak pilihan. Bagi peniaga dan pelabur, ia menimbulkan persoalan tentang kemampuan mengekalkan margin keuntungan apabila pengguna semakin mudah membandingkan harga di seluruh dunia.

Akhirnya, syarikat yang mampu menggabungkan harga kompetitif, kualiti, kemudahan, kepercayaan dan keuntungan yang mampan akan mempunyai kedudukan lebih baik dalam persaingan jangka panjang.

Persoalannya, adakah peniaga tempatan mampu menyesuaikan diri dengan era harga terus dari China, atau mereka akan terus bersaing menggunakan model perniagaan yang sama?

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global (China, Hong Kong, Singapura, Indonesia)

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.