Satu Daripada Tiga Rakyat Malaysia Yang Bekerja Masih Tidak Dilindungi’ – Zurich Malaysia

Tanggapan salah serta kekurangan maklumat dan pemahaman punca utama hampir separuh dewasa yang bekerja tidak mengetepikan wang untuk mendapatkan perlindungan.

Membina masa depan yang lebih cerah serta keupayaan untuk menghayati kehidupan sepenuhnya tentu menjadi idaman semua. Mempunyai daya tahan melalui kewangan yang stabil seperti yang disediakan insurans dan takaful adalah salah satu cara untuk mencapai impian ini.

Ianya menjadi suatu kebimbangan apabila 30% rakyat Malaysia dalam usia perancangan kewangan yang matang tidak mempunyai sebarang bentuk perlindungan peribadi. Lebih merisaukan apabila 16% daripada mereka menyatakan tidak merancang untuk mengetepikan sebarang wang untuk mendapatkan perlindungan insurans atau takaful.

Ini adalah tambahan kepada data yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia di mana 75% rakyat Malaysia tiada simpanan RM1,000 jika berlaku kecemasan dan 6.62 juta ahli KWSP di bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

Dikaji lebih lanjut tentang sebab disebalik ketiadaan tindakan dalam mendapatkan perlindungan peribadi, faktor utama adalah tanggapan salah serta kekurangan maklumat dan pemahaman.

  • Tanggapan Salah
  • Responden yang berumur antara 25 hingga 40 tahun merasakan bahawa perlindungan yang disediakan majikan adalah mencukupi (21%) dan perlindungan insurans atau takaful bukanlah satu keperluan (14%). Persepsi buruk tentang insurans/takaful (9%) juga tidak membantu meyakinkan mereka untuk melabur untuk masa depan mereka sendiri.

  • Kekurangan Maklumat Dan Pemahaman
  • Walaupun terdapat pelbagai inisiatif yang dilakukan penyedia insurans dan takaful, rakyat Malaysia menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai maklumat yang mencukupi tentang insurans dan takaful (22%). Tidak semestinya menjadi sebab, ini juga boleh menyebabkan kurangnya pemahaman (18%) tentang kepentingan dan manfaat mempunyai perlindungan insurans dan takaful.

    Dapatan ini adalah sebahagian daripada kaji selidik yang dijalankan oleh Zurich Malaysia pada penghujung tahun 2021 bertajuk ‘Impak Pandemik Terhadap Perlindungan’ yang melibatkan 1,201 responden seluruh negara. Kumpulan umur 25 hingga 40 tahun dewasa bekerja ini merupakan 41% (491 responden) daripada jumlah keseluruhan saiz sampel, dan 30% daripada kumpulan ini menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang perlindungan.

    Hasil dapatan ini juga mendapati betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh ejen insurans dan penasihat takaful dalam mengongsikan maklumat kepada masyarakat. Ini adalah penting untuk meningkatkan kadar penembusan insurans dan takaful serta mengurangkan jurang perlindungan demi kehidupan yang lebih mampan.

    Kaji selidik yang dijalankan oleh Zurich Malaysia bertajuk ‘Impak Pandemik Terhadap Perlindungan’

    Previous ArticleNext Article

    Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

    KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

    Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

    Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

    Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

    Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

    Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

    Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

    Projek Mega & Pasaran Borneo

    Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

    Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

    Prospek Cerah

    Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

    Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

    Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.