Perdana Menteri Lancar Program Bakat Pasaran Modal Untuk Graduan

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini telah melancarkan inisiatif terbaharu pasaran modal bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membangunkan saluran bakat mampan. Inisiatif ini dijangka mengatasi kekurangan tenaga mahir dalam pasaran modal.


Inisiatif tiga tahun ini, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023, diterajui oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Ia diadakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Bursa Malaysia, serta permain industri pasaran modal yang terkemuka. Ia juga merupakan kolaborasi pertama antara SC, industri pasaran modal, dan universiti.


Turut serta dalam majlis pelancaran yang dihadiri lebih 1,000 orang ini termasuk Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pemimpin-pemimpin industri pasaran modal, naib-naib canselor universiti awam dan swasta, serta mahasiswa universiti.

Pengerusi SC, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin menegaskan bahawa pelaburan dalam pendidikan serta pembangunan bakat merupakan agenda utama bagi SC dan pasaran modal.


“Dengan kadar peralihan bakat yang tinggi terutamanya dalam industri seperti pasaran modal, tumpuan terhadap pembangunan bakat-bakat tersebut adalah amat penting,” katanya.

“Program ini diperkenalkan bagi membantu mengatasi masalah ketidaksepadanan bakat (mismatch of talent) antara graduan dan keperluan industri, yang sedang mengalami peralihan ke dunia digital. Oleh itu, adalah penting bantuan ‘last mile’ diberikan kepada graduan untuk mengurangkan mismatch ini.”
“Kami berharap inisiatif ini akan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membolehkan mereka mendapat pelbagai peluang pekerjaan dalam pasaran modal,” katanya.

Program ini dibiayai oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) dengan peruntukan sebanyak RM30 juta. Dalam majlis pelancaran tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan nama rasmi inisiatif tersebut iaitu investED, Melahirkan Tenaga Mahir Pasaran Modal, bagi membantu 9,000 mahasiswa mengembangkan kemahiran dan kebolehpasaran terutamanya dalam industri pasaran modal, dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

investED dijangka membuka peluang pekerjaan kepada sebanyak 600 graduan dalam tempoh tiga tahun tersebut melalui penempatan pekerjaan dan latihan dalam pekerjaan yang disediakan oleh firma dalam industri pasaran modal di bawah Program Kepimpinan investED.

Selain itu, sebanyak 2,400 graduan akan mendapat manfaat daripada Program Asasi investED, sebuah program pensijilan berstruktur yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), badan pembelajaran dan pembangunan SC.

Dato’ Seri Dr. Awang Adek menyatakan bahawa investED selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkukuhkan sistem pendidikan tinggi, melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Semasa pelancaran investED, Perdana Menteri turut melawat pameran kerjaya dengan penyertaan oleh bank pelaburan, broker saham, dan pengurus dana. Beliau juga berinteraksi dengan lebih daripada 400 mahasiswa yang hadir dalam acara tersebut.

Sesi perkongsian kerjaya yang melibatkan penceramah dari SC dan industri pasaran modal turut diadakan. Mahasiswa daripada lebih 15 universiti awam dan swasta turut serta dalam sesi tersebut bagi mendapatkan prospek peluang kerjaya dalam industri pasaran modal. Permohonan untuk Program Kepimpinan investED kini dibuka kepada graduan baru serta pelajar yang bakal menamatkan pengajian pada tahun ini. Permohonan boleh dibuat di https://www.invested.my/leadership-programme/.

Program Kepimpinan investED melibatkan pembelajaran komprehensif selama sebulan dan penempatan kerja selama enam bulan di syarikat-syarikat yang ditetapkan. Graduan yang terpilih akan menerima elaun sebanyak RM2,000 dalam tempoh latihan formal dan elaun bulanan minimum sebanyak RM2,400 dalam tempoh penempatan kerja.

Setakat ini, Program Asasi investED telah menerima lebih daripada 1,000 permohonan, melebihi sasaran 800 permohonan. Program Kepimpinan pula telah menerima lebih daripada 250 permohonan, melebihi sasaran 200 permohonan. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 100 graduan telah dipilih sebagai kohort pertama Program bagi menjalani penempatan di tempat kerja selama enam bulan.

Program Kepimpinan investED yang pertama kali dianjurkan ini melibatkan penyertaan lebih 70 syarikat pasaran modal. Program ini menyediakan lebih 200 penempatan pekerjaan kepada pelajar yang mengambil bahagian, termasuk 150 pekerjaan tetap.

Untuk maklumat lanjut mengenai investED dan program-programnya, sila layari https://www.invested.my/.

Previous ArticleNext Article

FBM KLCI Malaysia Di Bawah Nilai Sebenar, Boleh Meningkat Ke Paras 1,680 Mata – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) – FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ketika ini berada di bawah nilai sebenar dan boleh mencecah ke paras 1,680 mata sekiranya nisbah harga pendapatan (PER) bursa tempatan kembali kepada purata jangka panjangnya, kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas prestasi permodalan pasaran ekuiti Bursa Malaysia yang mencecah paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM2 trilion pada Selasa.

Bursa tempatan menerajui pasaran rantau Asean dengan jumlah rekod melebihi 1,000 syarikat tersenarai awam.

“Setelah meneliti PER FBM KLCI, ternyata ia kini didagangkan pada 15 kali, berbeza dengan purata jangka panjang kira-kira 17 kali. Ini menunjukkan bahawa FBM KLCI berada di bawah nilai sebenar.

“Memandangkan trajektori positif ekonomi dan pendapatan syarikat, terdapat kewajaran untuk FBM KLCI meningkat lebih kukuh.

“Saya menjangkakan FBM KLCI mencecah sekitar paras1,680 mata jika PER kembali ke paras puratanya,” katanya kepada Bernama sambil menambah pelabur asing kini telah mula kembali ke bursa tempatan.

Menurutnya, terdapat perubahan ketara aliran pelaburan asing ke dalam pasaran saham Malaysia baru-baru ini.

“Mesyuarat terbaharu Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada minggu lepas mungkin bertindak sebagai pemangkin kerana keputusan Rizab Persekutuan AS untuk tidak menaikkan kadar faedah memberi kelegaan yang besar kepada pasaran,” kata Mohd Afzanizam.

Beliau berpendapat komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal, bersama-sama dengan perubahan dalam dasar cukai dan rasionalisasi subsidi bahan api yang bakal dilaksanakan, akan menyediakan kestabilan ekonomi.

“Mengekalkan momentum penyatuan fiskal berpotensi meningkatkan kedudukan kredit kerajaan, menarik lebih banyak dana asing ke dalam pasaran,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Nizam Jaafar, profesor madya di Arshad Ayub Graduate Business School, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata lonjakan permodalan pasaran baru-baru ini membuktikan kekuatan dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

Namun begitu, katanya, selain permodalan pasaran penting juga untuk mempertimbangkan pelbagai penunjuk dalam menilai iklim ekonomi tempatan.

“Ini termasuk kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), yang mempamerkan prestasi keseluruhan aktiviti ekonomi, kadar pekerjaan yang mencerminkan keadaan pasaran pekerjaan dan pengaruhnya terhadap perbelanjaan pengguna serta kadar inflasi – yang mana penting untuk mengukur kuasa beli dan kestabilan ekonomi.

“Selain itu, pelaburan langsung asing merupakan penunjuk utama keyakinan antarabangsa dan aliran masuk modal, manakala baki akaun semasa menunjukkan dinamik perdagangan dan impaknya terhadap kedaulatan kewangan.

“Kekuatan fiskal, yang menggambarkan impak pengurusan belanjawan kerajaan ke atas pelaburan awam, juga penting,” kata Mohamad Nizam.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa cabaran seperti turun naik pasaran, perubahan harga komoditi, ketidakstabilan politik dan potensi penilaian harga melebihi nilai sebenar  dalam pasaran boleh menjejaskan kenaikan ini.

“Oleh itu, walaupun trajektori pertumbuhan Bursa Malaysia kelihatan positif, kemampanannya akan sangat bergantung kepada keseimbangan strategik dalam menangani cabaran ini sambil memanfaatkan peluang untuk menarik lebih ramai pelabur.

“Mendukung prinsip dasar Malaysia MADANI dan memastikan komitmen teguh terhadap amalan tadbir urus yang baik akan menjadi penting dalam mengekalkan pertumbuhan pasaran yang teguh dan mampan dalam jangka panjang,” katanya. 

— BERNAMA