Kenapa Peguam Suka Caj ‘Mahal’ Dalam Jual Beli Hartanah

Dalam pembelian hartanah jenis subsale, kita biasanya perlu sediakan sebanyak 15% daripada harga rumah. Downpayment dah 10%, lagi 5% adalah untuk kos guaman, duti setem, valuation dan macam-macam lagi.

Jom kita dengarkan perkongsian Tuan Syakir Zainol, seorang perunding hartanah berdaftar mengenai isu peguam suka caj ‘mahal’ ini.

Semalam saya uruskan penjualan sebuah rumah berharga lebih kurang RM700 ribu.

Pembeli bersetuju untuk beli rumah tersebut dan kami berbincang berkenaan struktur pembayaran yang diperlukan untuk transaksi pindahmilik rumah tersebut.

Berikut adalah perbualan ringkas berkenaan dengan kos guaman yang diperlukan:

Pembeli: “Berapa kos lawyer saya Encik Syakir?”

Saya: “Anggaran kos guaman tuan untuk urusan pindahmilik rumah ini adalah sekitar RM22k.”

Pembeli: “Mahalnya peguam caj, tak boleh diskaun lagi ke?.”

Saya: “Sebenarnya yuran guaman hanya lebih kurang enam ribu lebih saja tuan. Duti setem saja sudah lebih RM13k, selebihnya pula adalah bayaran-bayaran lain kepada pihak-pihak seperti pejabat tanah dan LHDN.”

Pembeli: “Lawyer ni caj mahal sangat, padahal buat agreement copy paste je kut. Kalau saya buat 10 minit je boleh siap.”

Ini satu salah tanggap masyarakat setiap kali sebut sahaja tentang caj guaman peguam: kerja peguam senang, siapkan surat perjanjian yang boleh diulang pakai dan kenakan bayaran tinggi kepada klien.

Penjualan rumah bukan selesai setakat sediakan perjanjian jual-beli sahaja.

Untuk memahami bagaimana seorang peguam mengenakan caj selayaknya kepada klien mereka dalam urusan pindahmilik rumah, kita harus kenalpasti jenis-jenis urusan, keperluan serta tempoh masa yang diperlukan oleh peguam untuk sempurnakan urusan satu-satu pindahmilik.

Peguam perlu berurusan dengan berbilang pihak selain daripada penjual & pembeli termasuklah pejabat tanah, bank, LHDN, mahkamah, majlis perbandaran, pihak-pihak berkuasa tempatan dan banyak lagi. Urusan-urusan ini memakan masa yang panjang dan melibatkan kerja-kerja dokumentasi yang rumit serta urusan-urusan kaunter yang kerap. Jadi kita bayar masa serta penat-lelah yang ditanggung oleh seorang peguam.

Sebagai pihak yang menguruskan transaksi pindahmilik hartanah, peguam juga perlu menguasai undang-undang yang terlibat termasuklah Kanun Tanah Negara, Akta Kontrak, Akta Setem dan beberapa akta lain.

Selaku pihak yang dilantik atas kapasiti profesional untuk menguruskan urusan-urusan yang melibatkan kelayakan dalam kerja-kerja perundangan maka selayaknya seorang peguam mengenakan caj yang setimpal dengan kelayakan, pengetahuan dan pengalaman beliau. Senang hidup kita, tak perlu bertungkus-lumus untuk belajar undang-undang hanya kerana mahu beli sebuah rumah.

Begitu juga satu-satu urusan pindahmilik hartanah pasti melibatkan prosedur-prosedur yang rumit serta berbeza-beza sesuai dengan kemahuan setiap pihak yang mereka sedang berurusan. Sebagai contoh, setiap bank akan memiliki prosedur yang berbeza, begitu juga setiap pejabat tanah turut memiliki SOP mereka tersendiri. Jadi lebih senang sekiranya kita bayar penat-lelah seorang peguam yang terpaksa berhadapan dengan karenah-karenah birokrasi supaya kita sendiri tidak perlu bersusah-payah mengendalikannya.

Mungkin ramai di antara kita yang tidak sedar tetapi tahukah kita yang seorang peguam berhadapan dengan liabiliti terhadap setiap kes yang mereka kendalikan? Risiko yang mereka ambil menguruskan urusan yang melibatkan urusan undang-undang perlu dibayar dengan nilai yang setimpal.

Tanya diri kita, beranikah kita berhadapan dengan risiko liabiliti perundangan sekiranya hanya dibayar dengan bayaran kecil yang nilainya ibarat “sisa yang terselit di celahan gigi”?

Bayangkan kesukaran-kesukaran yang perlu dilalui oleh seorang peguam yang terpaksa melalui semua perkara yang saya sebut di atas ini untuk satu jangka masa panjang selama lebih-kurang 6 bulan hingga satu tahun (adakalanya memakan masa bertahun-tahun untuk kes-kes yang rumit).

Jadi adalah tidak wajar sekiranya kita mempersoalkan bayaran yang selayaknya diterima oleh mereka. Apatah lagi caj yang mereka kenakan itu pula adalah sangat berpatutan dan berpadanan pula dengan skala yang telah ditetapkan oleh kerajaan berdasarkan nilai hartanah yang diseliakan oleh mereka.

Itu belum lagi kita congak kos-kos logisitik yang perlu dikeluarkan oleh peguam seperti pengangkutan dan sebagainya. Perlu kepada duit, duit dan duit.

Adakah anda rasa peguam masih caj mahal? Fikirkan semula.

Sumber: FB Syakir Zainol

Previous ArticleNext Article

1 Comment

  1. Dah baca artikel, still rasa mahal, hehe. Dlm profesion lain kerja penat lelah full time sebulan bolehlah dpt RM6000, tp kalau lawyer nak settlekan satu SPA yg caj RM6000 tu, bukan berpenat lelah tu ambil masa masa full time sebulan pun kan? Rasanya dlm sebulan siapkan 10 SPA pun boleh kot? Mmg lumayan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian