2 Faktor Utama Isu Kewangan Rakyat Malaysia Semakin Tenat

Malaysia pada hari ini tidak lagi seindah hari – hari sebelumnya. Hari ini, rakyat Malaysia dilihat lebih tertekan daripada sudut kewangan dan masalah ini dilihat kian memburuk hari demi hari.

Golongan T20 berkemungkinan tidak dapat membayangkan masalah yang dihadapi sebahagian besar rakyat Malaysia kerana mereka berkemungkinan tidak perlu :-

1. Risau dihalau dari rumah sewa

2. Hilangkan tangis bayi mereka dengan susu pekat yang dicampur air

3. Menjadi peniaga online kerana sumber pendapatan tidak mencukupi

Baca : 5 Cara Nak Tanggung Anak Di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kalau Tiada Simpanan

Apa yang lebih menyedihkan adalah, 266 rakyat Malaysia telah bunuh diri setakat November 2020 yang lalu kerana bebanan hutang, hilang pekerjaan dan masalah keluarga.

Ini bermakna secara purata, 30 orang rakyat Malaysia telah nekad meragut nyawa dalam sebulan sejak tempoh PKP dilaksanakan!

Golongan T20 mungkin sukar untuk memahami bebanan yang dihadapi golongan B40 dan M40 kerana rata – rata mereka berjumpa doktor, kerana kemurungan ekoran tidak dapat melancong dan membeli belah di toko – toko mewah sepanjang One New Change, Carnaby dan West One.

Sebenarnya, tidaklah sukar untuk menduga punca masalah ini berlaku.

Antara faktor utamanya adalah kelembapan ekonomi domestik semenjak tahun 2018 dan penarikan dana pelaburan asing dari Malaysia yang berjumlah RM25 bilion sepanjang Januari 2020 hingga Oktober 2020.

Baca : Apa Nak Jadi? 70% Rakyat Malaysia Tak Celik Kewangan

Puncanya?

Kemelut politik dalaman antara parti yang tidak berkesudahan dan pemimpin politik yang dilihat lebih mementingkan ‘survival politik’ mereka berbanding periuk nasi dan masa depan rakyat Malaysia.

Pengangguran di Malaysia meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember 2020 menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Sayangnya, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan kekal pada 65.1%.

Dan kini, kita masih lagi belum menang dari krisis kesihatan COVID-19 sungguhpun YDPA telah mengisytiharkan perintah darurat bermula 12 Januari 2020 dan bakal tamat 1 Ogos 2021.

Golongan M40 dilihat sebagai mangsa yang tersepit bak ‘sandwich’ kerana mereka tidak mampu menerima dana bantuan kewangan seperti golongan B40.

Dalam masa yang sama, mereka tidak sekaya dan hidup mewah seperti T20.

Baca : Kesilapan Kewangan Yang Perlu Dielak Dalam Setiap Dekad Kehidupan

Amalan buat dua kerja atau ‘side hustle’ kini seakan sudah menjadi kewajipan dan bukan lagi pilihan untuk golongan M40.

Ramai yang tidak tahu kepentingan golongan M40 dalam sistem sosial dan ekonomi sesebuah negara.

Golongan M40 merupakan pembayar cukai dan pengguna produk harian terbesar dan mereka merupakan orang tengah yang menguruskan pekerja B40 untuk syarikat – syarikat milik T20!

1. Kos Sara Hidup Meningkat

Umum mengetahui bahawa perdebatan kos sara hidup di Malaysia telah hangat diperdebatkan sebelum krisis kesihatan dan kewangan global lagi.

Kuasa beli isi rumah telah menurun yang menyebabkan meningkatnya bebanan kos sara hidup rakyat Malaysia khususnya golongan B40 dan M40.

Baca : 5 Petua Untuk Tepis Kenaikan Kos Sara Hidup Di Malaysia

“Tahukah anda, golongan B40 memperuntukkan 17.3% daripada gaji mereka untuk makanan dan minuman”

Setakat tahun 2019, hutang isi rumah berada pada tahap yang tinggi iaitu 82.7% daripada KDNK.

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) rakyat Sabah adalah tertinggi dengan angka 19.5% lebih tinggi daripada Putrajaya dan Selangor.

Baca : Peratus Perbelanjaan Isi Rumah Yang Disarankan

Semakan PGK pada tahun 2019 menunjukkan, keperluan kos sara hidup semasa adalah RM2,208 dan bukan lagi RM980 dengan penekanan pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti.

Ini bermakna sebagai seorang rakyat Malaysia, anda memerlukan sekurang – kurangnya RM2,200 untuk hidup.

Angka ini sangat tidak selari dengan kadar gaji minima yang diterima rakyat Malaysia secara kumulatif.

2. Penguncupan Kadar Gaji

Ekoran penguncupan ketara kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua 2020, Bank Dunia telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun 2021 kepada -4.9% berbanding -3.1%.

Baca : Gaji RM6,000 Di Kuala Lumpur Dan Putrajaya Dikira B40

Kadar inflasi Malaysia pada tahun 2020 telah memasuki angka -1.2% dan kesan daripada deflasi ini adalah :-

  • Kadar upah tidak meningkat
  • Peningkatan jumlah pengangguran

Sedangkan, pada tahun 2018, nisbah pampasan pekerja (CE) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara ini masih rendah berbanding negara maju, iaitu 35.7%.

Tidak sedikit rakyat Malaysia yang kini ‘underemployed’ dan menghadapi masa kerja lebih pendek dan pengurangan gaji yang menyebabkan kuasa beli isi rumah semakin tipis.

Nasib graduan lepasan institusi pengajian tinggi tempatan juga masih tidak terbela.

Baca : 10 Pekerjaan Dengan Gaji Paling Tinggi Di Dunia

Sangat menyedihkan apabila ramai graduan yang terpaksa mengaut apa sahaja kerja yang ada di pasaran sungguhpun gaji bulanan yang ditawarkan adalah RM1,200 – RM1,500 sebulan.

Data terbaru daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar pengangguran rakyat Malaysia adalah 4.9% pada Januari 2021.

77.7% rakyat Malaysia adalah golongan pekerja, 15.7% bekerja sendiri, 3.5% pekerja keluarga tanpa gaji dan baki 3% adalah majikan.

Majoriti siswazah memasuki pasaran pada tahun 2020 menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 yang direkodkan pada 2019.

Rakyat Malaysia wajar menikmati upah gaji yang lebih tinggi dan menjadi satu masalah apabila gaji permulaan siswazah tidak meningkat hatta selepas tempoh 10 ke 20 tahun.

Baca : Masa Yang Fleksibel Dan Isu Gaji Peyumbang Kepada Kepuasan Pekerja Di Malaysia

Rakyat Malaysia khususnya golongan B40 dan M40 telah lama sengsara dan kecewa dengan penguncupan kadar gaji.

Barangkali, kos sara hidup yang meningkat boleh dimaafkan seketika, tetapi sukar untuk rakyat Malaysia memaafkan pemimpin negara yang dilihat gagal menyelesaikan isu nasional ini.

Natijahnya, pemimpin negara, golongan profesional dan bijak pandai digesa bertindak segera dengan solusi holistik jangka panjang.

Sumber Rujukan:

Jom belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang, klik www.bukuBMW.com. Topik ini terkandung dalam modul kewangan dalam Buku Bijak Merancang Wang yang mengandungi modul kewangan secara tersusun:

1. Aliran tunai
2. Pengurusan aset dan hutang
3. Simpanan
4. Perlindungan
5. Pelaburan
6. Penyucian
7. Pewarisan

Sebagai pengguna, kita patut tahu fungsi dan peranan setiap produk kewangan. Ia saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Dapatkan di www.bukuBMW.com

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.