BNM Perlu Naikkan OPR Secara Agresif – Manulife

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memberikan tindak balas pada ‘kadar yang lebih agresif” dari segi menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), menurut Manulife Investment Management.

Ketua Peruntukan Aset untuk Asia Luke Browne berkata memandangkan kadar inflasi di Malaysia masih dianggap rendah berbanding negara lain, beliau memilih untuk menyaksikan kenaikan kadar faedah yang agresif dan pada kadar cepat serta bergerak ke hadapan.

“Jelas sekali, ia perlu dibuat dalam konteks situasi semasa, kita memerlukan kejelasan data, memastikan ia adalah keputusan yang tepat dan kemudian bergerak dengan agresif,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai prospek pelaburan suku keempat 2022 Manulife hari ini.

BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari kelima pada 8 Sept, 2022.

Sementara itu, Ketua Strategi Makro untuk Asia Sue Trinh berkata Malaysia dijangka mendapat manfaat di rantau ini daripada kejutan makanan dan tenaga serta potensi kejutan mudah tunai berikutan ketidaktentuan inflasi negara yang kekal sederhana.

Beliau berkata persekitaran yang tidak menentu di negara ini mengurangkan tekanan ke atas BNM untuk mengekalkan dasar monetari yang agresif dan pembukaan sempadan antarabangsa turut menyokong pemulihan ekonomi negara.

Indeks Harga Pengguna Malaysia naik sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Indeks makanan meningkat 6.9 peratus dan kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi pada bulan tersebut.

Mengulas mengenai risiko yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia, Trinh berkata risiko masih boleh wujud, termasuk ketidaktentuan politik tempatan yang boleh memberi ancaman kepada pelaksanaan dasar fiskal untuk menyokong pertumbuhan.

“Malaysia juga terdedah kepada potensi kemelesetan ekonomi global berdasarkan negara ini merupakan pengeksport kepada negara-negara utama dunia seperti Amerika Syarikat, China dan Eropah,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/bnm-perlu-naikkan-opr-secara-agresif-manulife/

Previous ArticleNext Article

Bank Negara Dijangka Kekalkan OPR Pada 2.75 Peratus Sepanjang 2026 — BMI

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, demikian menurut BMI yang juga unit Fitch Solutions.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, BMI menyatakan jangkaan itu berdasarkan minit mesyuarat BNM pada November 2025 yang menunjukkan penilaian bank pusat berkenaan terhadap prospek pertumbuhan 2026 kekal tidak berubah berbanding mesyuarat September.

Pendirian itu, katanya, adalah mengambil kira sokongan daripada permintaan domestik yang berdaya tahan.

“Kami sependapat dengan BNM dan menjangkakan pertumbuhan yang perlahan pada unjuran 4.6 peratus bagi 2025 kepada 4.1 peratus pada 2026. Ini adalah di bawah paras unjuran BNM sebanyak 4.0 peratus hingga 4.5 peratus,” kata BMI.

Menurutnya, BNM pada masa mempunyai kebimbangam kecil mengenai inflasi ketika inflasi menyeluruh secara amnya di paras dijangkakan iaitu purata 1.4 peratus bagi tempoh Januari 2025 hingga November 2025.

“Mengambil kira pelaksanaan fasa kedua kenaikan gaji penjawat awam pada Januari 2026 dan pemberian tunai RM100 kali kedua kepada semua rakyat pada Februari, kami menyemak naik unjuran inflasi kepada purata 1.9 peratus pada 2026 daripada 1.7 peratus sebelum ini,” katanya.

BMI juga menyifatkan semakan semula unjuran itu adala dalam julat unjuran kerajaan Malaysia iaitu antara 1.3 peratus hingga 2.0 peratus dan secara keseluruhannya sejajar dengan purata 1.8 peratus bagi tempoh 2020 hingga 2024.

Cabang penyelidikan Fitch Solutions itu turut menyemak unjuran kadar pertukaran mata wang asing dan kini menjangkakan ringgit pada paras RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2026.

“Pasukan kami di AS telah menyemak turun unjuran kadar faedah dan kini menjangkakan kadar dana Persekutuan negara maju itu akan menyaksikan pengurangan tambahan sebanyak 50 mata asas kepada kadar asas 3.25 peratus berbanding unjuran terdahulu kami sebanyak 3.50 peratus.

“Oleh itu, memandangkan BNM dijangka mengekalkan pendiriannya, perbezaan pulangan itu akan lebih cenderung untuk berpihak kepada ringgit,” katanya.
— BERNAMA