Permintaan Perumahan Meningkat Di Malaysia, Indonesia Di Sebalik Ketidaktentuan Global

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Malaysia, Thailand dan Indonesia menunjukkan peningkatan dalam permintaan perumahan di sebalik ketidaktentuan global kata Ketua Risikan Hartanah Kumpulan PropertyGuru, Dr Lee Nai Jia.

Lee dalam satu kenyataan berkata pada suku kedua tahun ini, pasaran kediaman di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Vietnam mencatatkan kenaikan harga walaupun jualan di Singapura dan Vietnam semakin perlahan.

Berkongsi penemuannya dalam laporan ‘Asia Tenggara: Trend Ekonomi Makro dan Kesan kepada Pasaran Kediaman (Oktober 2022) dibangunkan oleh PropertyGuru For Business, Lee berkata tidak semua merudum bagi pasaran hartanah kediaman di Asia Tenggara.

“Apa perkara positif pada asas ekonomi di Asia Tenggara walaupun dua rakan perdagangan utama ASEAN – China dan Amerika Syarikat telah memberi petunjuk penurunan pada suku kedua tahun 2022 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat mencatatkan kemerosotan kadar tahunan 0.6 peratus pada suku kedua 2022, meneruskan penurunan 1.6 peratus pada suku pertama,” kata kenyataan itu.

Keyakinan itu wujud berikutan pasca pandemik dan kelonggaran sekatan membawa sedikit kelegaan, ditambah dengan pasaran buruh yang kukuh, ia menyokong pasaran perumahan yang mantap, aliran stabil pelaburan langsung asing ke Asia Tenggara juga berperanan sebagai penampan terhadap perubahan pasaran yang disebabkan oleh pandemik dan peperangan.

“Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam merekodkan peningkatan semula berikutan pembukaan semula pintu sempadan dan kelonggaran sekatan terhadap membendung COVID-19.

“Faktor yang menyokong pertumbuhan pasaran Malaysia sudah pun wujud, Malaysia dan Vietnam kedua-duanya merekodkan peningkatan KDNK tertinggi, masing-masing pada kira-kira 8.9 peratus dan 7.7 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2022. Apabila ekonomi pulih sama seperti paras sebelum pandemik, pasaran buruh semakin ketat di lima negara ASEAN,” kata Lee. 

Ini membawa kepada kedudukan kewangan yang lebih baik yang seterusnya memudahkan penyelenggaraan pembayaran gadai janji dan menaikkan harga yang diminta.

Beliau berkata pada masa depan dan tanpa mengambil kira sebarang kejutan kepada ekonomi, pertumbuhan ekonomi untuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand dijangka menjadi sederhana pada separuh pertama 2023 manakala Vietnam diunjurkan mengalami pengembangan ekonomi.

“Kami menjangkakan bahawa pasaran kediaman di Malaysia dan Indonesia akan beralih, di mana harga meningkat tetapi jumlah jualan menurun pada separuh pertama 2023,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/permintaan-perumahan-meningkat-di-malaysia-indonesia-di-sebalik-ketidaktentuan-global/

Previous ArticleNext Article

Harga Purata Pangsapuri Baharu Malaysia Cecah RM582,887 Pada Suku Pertama – Juwai IQI

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) — Harga purata bagi pangsapuri baharu di Malaysia mencecah RM582,887 pada suku pertama 2024 manakala purata harga jualan bagi kediaman sekunder bernilai RM521,614, menurut kumpulan teknologi hartanah Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Kashif Ansari berkata, harga purata ini lebih tinggi berbanding harga yang dilaporkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) untuk 2023 iaitu RM467,144.

“Kami yakin kelainannya terarah kepada gabungan hartanah yang dijejaki dan dalam tempoh masa yang sedikit berbeza,” katanya dalam kenyataan susulan pelancaran Laporan Pasaran Jualan Kediaman suku pertama 2024 Juwai IQI bagi Malaysia hari ini.

Laporan itu adalah berdasarkan analisis lebih daripada 70,000 jualan kediaman dalam pasaran sekunder dan projek baharu di seluruh Malaysia sejak 2018.

Menurut Kashif, Kuala Lumpur memegang rekod sebagai hartanah paling mahal di negara ini dengan purata harga rumah sekunder bernilai RM801,557 manakala rumah baharu secara perbandingannya adalah lebih mampu milik dengan harga purata RM708,462.

“Selepas Kuala Lumpur, tiga negeri dengan rumah sekunder paling mahal adalah Sarawak, Sabah dan Johor. Tiga negeri seterusnya dengan harga termahal bagi jualan rumah baharu adalah Johor, Sabah dan Kedah,” katanya.

Kashif berkata Terengganu mencatat harga paling murah bagi kediaman sekunder dengan harga purata sebanyak RM293,714, diikuti Perak, Kedah dan Pahang.

Melaka adalah negeri yang menjual unit baharu paling murah dengan harga purata RM305,463, diikuti Pahang, Perak dan Kelantan.

Sementara itu, Kashif berkata kebanyakan pembelian rumah berlaku dalam julat harga yang lebih rendah, dengan lebih separuh daripada pembeli unit baharu membayar RM500,000, dan satu perempat daripada pembeli membayar lebih RM750,000 untuk unit baharu pada suku pertama 2024.

“Di pasaran sekunder, anda melihat taburan yang sama, dengan hampir separuh daripada pembeli memperuntukkan RM500,000 ke bawah. Ini berita yang baik bahawa pembeli rumah mampu milik boleh mencari rumah yang menarik untuk dibeli.

“Ini bermakna pasaran menyediakan perumahan yang banyak untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah serta seimbang dengan penawaran yang mencukupi untuk pembeli di semua paras harga,” katanya.

— BERNAMA