4 Tips Untuk Lulus Permohonan Bank Bagi Pembiayaan Rumah

Ramai yang memohon pembiayaan rumah tetapi pelik bukan, kenapa ramai yang tidak lulus?

Permohonan pembiayaan rumah biasanya ditolak disebabkan oleh sejarah kredit teruk, dokumen tidak lengkap dan pendapatan yang tidak mencapai standard yang ditetapkan oleh pihak bank.

Boleh dikatakan kira-kira 35% permohonan pembiayaan perumahan telah ditolak oleh pihak bank dari bulan Januari hingga Jun 2015. Untuk pengetahuan anda, jumlah ini semakin meningkat sebanyak 6% berbanding tahun lepas. Akibat situasi ini, ramai pihak yang kurang yakin untuk memohon pinjaman perumahan dengan bank. 

Baiklah, mari kami kongsikan tips lulus permohonan bank untuk pembiayaan rumah.

1. Patuhi Semua Syarat Yang Telah Ditetapkan

Pasti anda tahu, kebanyakan pihak bank hanya akan meluluskan permohonan pembiayaan jika ia tidak melebihi 30% daripada komitmen kewangan sedia ada. Sesetengah individu terlupa atau memandang rendah untuk melihat terma dan syarat yang dikeluarkan oleh pihak bank. 

Bagi  memastikan permohonan pembiayaan rumah anda lulus, pastikan anda menyemak had gaji minimum, umur dan juga had pinjaman yang akan diberikan oleh pihak bank sebelum memulakan permohonan. Selain itu, patuhi juga kesemua syarat yang dikeluarkan atau ditetapkan oleh pihak bank.

2. Pastikan Ada Rekod Kredit

Sesetengah bank enggan meluluskan permohonan pembiayaan bagi individu yang tidak mempunyai rekod kredit. Lebih tepat lagi, individu tersebut adalah individu yang tidak mempunyai sebarang komitmen kewangan seperti pinjaman kereta, kad kredit dan sebagainya. 

Jadi, sebelum anda memohon pembiayaan perumahan, anda disyorkan untuk memulakan rekod kredit bagi meningkatkan peluang permohonan pembiayaan perumahan anda diluluskan.

3. Berdisiplin Menyelesaikan Hutang Tertunggak

Sebelum anda memohon pembiayaan perumahan, pastikan anda telah mula berdisiplin dalam menyelesaikan hutang tertunggak seperti pembayaran balik kad kredit anda tepat pada masanya. Amalkan sikap ini sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum anda memohon pinjaman. Lebih cepat anda bermula adalah lebih baik. 

Perlu diingatkan, walaupun anda tidak berniat untuk memohon pembiayaan dalam tempoh terdekat, melunaskan semua hutang yang dimiliki lebih awal adalah sikap yang baik. 

Dengan cara ini, ia akan membantu meningkatkan peluang untuk diluluskan permohonan pembiyaan rumah dengan bank. Jadi ingat, anda harus mengekalkan disiplin untuk menyelesaikan hutang yang ada jika mahu permohonan pembiayaan rumah diluluskan.

4. Semak Rekod Kewangan Yang Dimiliki

Akhir sekali, pastikan anda menyemak terlebih dahulu keadaan rekod kewangan anda. Perkara pertama yang akan dilihat oleh pihak bank adalah rekod kewangan anda. Sekiranya anda mempunyai rekod kewangan yang teruk, ambil masa untuk memperbaiki rekod tersebut sebelum anda memohon pembiayaan perumahan.

Untuk pengetahuan anda, Bank Negara mempunyai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) yang mengumpul semua maklumat kredit pembiayaan daripada bank-bank di Malaysia. Jadi untuk mengetahui rekod kewangan anda, anda boleh datang ke Bank Negara untuk mendapatkan laporan CCRIS anda. Selain itu, pastikan rekod CTOS anda juga dalam keadaan yang baik bagi permohonan pembiayaan anda diluluskan.

Kesimpulannya, jika sebelum ini pihak bank telah menolak kelulusan untuk pembiayaan rumah yang telah anda buat, sila lihat balik sama ada tips yang disenaraikan di atas telah anda buat ataupun tidak. 

Jika tidak, pastikan anda lakukan semula mula sekarang dan mudah-mudahan permohonan anda akan diluluskan kelak dengan mengikuti tips yang kami kongsikan ini. Semoga entri ini dapat memberi sedikit sebanyak informasi yang bermanfaat kepada anda dalam mengetahui tips permohonan bank lulus untuk pinjaman rumah.

Baca juga:

Banyak perkara yang perlu anda ambil tahu sebelum memiliki rumah. 


InshaAllah, kami berhasrat untuk berkongsi ilmu yang kami ada mengenai hartanah kepada pembaca setia Majalah Labur.

Kunci pertama sebelum beli rumah adalah ilmu, ilmu dan ilmu. 

Lebih awal belajar, lebih cepat dapat menilai sesebuah rumah.Jika berminat boleh isi borang .

ILMU PREMIUM HARTANAHSEKARANG!

Previous ArticleNext Article

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian